Mohd Firdaus bergambar di hadapan rumah rehat yang dibinanya.   
HUTAN KAMPUNG - Walaupun memegang ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan dari The Universiti Of Manchester, England tetapi minatnya dalam pertukangan kayu mengatasi segala-galanya.

Mohd Firdaus Salleh, 38, dari Jalan Hutan Kampung, berkata, minatnya dalam pertukangan kayu yang diwarisi bapanya, Salleh Omar kini memberi kepuasan kepadanya walaupun pernah memegang  jawatan penting di sebuah syarikat tayar antarabangsa di Mergong, Alor Setar.

Menurut Firdaus, dia pernah memegang jawatan sebagai jurutera di syarikat antarabangsa itu selama lima tahun dan melakukan kerja pertukangan kayu sebagai sambilan sahaja.

Bagaimanapun, selepas kerja bertukang mampu memberinya kebebasan dan kepuasan, dia mengambil keputusan untuk meneruskan kerja sambilannya sebagai mata pencarian utama.

Katanya, dia tidak pernah mengikuti kursus dari pusat kemahiran tetapi belajar hanya berdasarkan kepada pemerhatian dan percubaan hingga mampu membina rumah sendiri serta hiasan rumah seperti gazebo serta perabot rumah.

"Selepas berhenti kerja, saya menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali dengan nama Nusantara Kreatif Construction yang beroperasi di Jalan Hutan Kampung, sejak 2012 lagi.

"Sehingga kini, saya sudah mula mendapat pelbagai tempahan orang perseorangan mahu pun syarikat swasta," kata bapa tiga anak ini.

Menurut Mohd Firdaus, hasilnya juga sudah mula mendapat perhatian sekali gus membuktikan kemahirannya itu boleh diterima walaupun masih baru dalam bidang berkenaan.

"Selain hasil tangan yang menarik, harga yang berpatutan seperti gazebo, pagola, papan cantik dan set kerusi hiasan menjadi daya penarik pelanggan untuk memilikinya.

"Ini adalah satu usaha saya untuk mempertahankan keunikan dan kesenian tradisional yang kini semakin dilupakan disebabkan pembangunan sektor perumahan moden yang kian rancak," katanya.

Dia berkata, kerja pertukangan berasaskan kayu itu memerlukan kemahiran dan penelitian terhadap ukiran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Mohd Firdaus juga kini sibuk dengan produknya yang berasaskan kayu pine bagi membuat kiosk, lantai rumah, dinding rumah dan perabot.

“Saya berharap suatu hari nanti saya akan dapat membuka ruang pameran serta memasarkannya ke kedai utama di negeri ini.

"Selain itu, saya sangat mengalu-alukan generasi muda dapat mempelajari seni ini supaya tidak pupus begitu sahaja,” katanya.