Isnin, 9 November 2009

Bai'ah talak: PAS Pusat sedang siasat

Bai'ah talak: PAS Pusat sedang siasat


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS sedang menyiasat amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pihak dalam parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi dari PAS Pusat untuk berbuat demikian.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengarahkan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS untuk menyiasat perkara itu.

Mustafa membuat kenyataan ini bagi mengulas laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan para calonnya untuk berbai'ah (ikrar) untuk taat setia kepada parti.

Antaranya dilaporkan, calon PAS berbai'ah jika beliau menyeleweng dan mengkhianati PAS, maka terjatuhlah talak ke atas isterinya.

Ia dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Laporan ini pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Menurut laporan, PAS menjadikan bai'ah sebegini untuk memastikan tidak ada calon atau wakil rakyatnya yang mengkhianati PAS dengan cara berpaling tadah dan menyokong parti lawan.

Sehingga kini, terbukti tidak ada satupun wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti itu dengan menyokong parti lawan

Dikutip dari Harakahdaily

Kepimpinan PAS berpecah tiga?

08 November 2009


Kepimpinan PAS berpecah tiga?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Kononnya terdapat tiga golongan dalam kepimpinan PAS sekarang. Pertama, yang sangat kuat mempertahankan Pakatan Rakyat. Keutamaannya ialah menumbangkan Umno di Pusat. Siapa pemimpin Pakatan tidak penting, asal dapat diterima semua pihak dan kalangan rakyat jelata dari pelbagai kaum. Jadi tidaklah semestinya pemimpin dari parti sendiri yang memimpin Pakatan.

Kedua, golongan yang tidak dapat bertolak ansur dengan parti Pakatan yang lain, terutama dalam persoalan dasar parti. Dasar parti adalah Islam, masakan isu mencegah kemungkaran boleh dikendurkan demi toleransi dengan parti sepakatan.

Jika gabungan dalam Pakatan menyebabkan Islam dikesampingkan, apa salahnya bertoleransi dengan parti Melayu bukan Pakatan yang lebih dekat dengan Islam, berbanding parti sekular dalam Pakatan yang menolak dasar parti.

Ketiga, golongan yang bersetuju memperkasakan Pakatan tetapi prinsip perjuangan wajib dipertahankan dan PAS mesti dominan dalam Pakatan. Biar kalah tapi PAS tak gadai prinsip.

Ketiga-tiga golongan itu diwujudkan dalam ceritera politik tanahair, dipersembahkan berulang-ulang dalam pelbagai episod dan pentas sandiwara, sehingga akhirnya dipercayai dan diterima 'kebenarannya'.

Sekarang ia bukan setakat diterima oleh pemerhati politik di luar parti, tetapi semacam dipercayai juga oleh sebilangan pendokong parti.

Realiti politik di negara ini, kemunculan DAP dan KeADILan bukan satu gugatan buat Umno. DAP tidak bertanding di kawasan tradisi Umno, begitu juga sebaliknya. KeADILan pula adalah parti yang tiada akar umbi. Ahli-ahli KeADILan untuk satu Cabang (kawasan) kadangkala tidak melebihi satu cawangan PAS pun.

Jadi parti yang menjadi ancaman Umno ialah PAS. Maka menghancurkan PAS adalah agenda yang lebih aula bagi Umno dari menyatupadukan MCA yang berkelahi atau MIC yang bergaduh.

Kerja Umno sekarang ialah cuba sedaya upaya menghindarkan sokongan orang Melayu terhadap PAS atau menghancurkan PAS dari dalam. Ia boleh dilakukan dengan menghulurkan salam persahabatan dengan PAS.

Jika PAS menolak maka Umno boleh beritahu orang Melayu bahawa PAS menolak perpaduan, maka sebahagian Melayu akan membenci PAS. Jika sebahagian pemimpin bersikap lunak dengan 'pelawaan munafik' itu maka berpecahbelahlah kepimpinan dalam PAS.

"Petugas PAS juga katanya perlu sedar, Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihan raya kecil berikutnya," itu kata Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam blognya.

Umno kini, katanya, menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam Pakatan Rakyat sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.


"Strategi itu dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman Pakatan," ujarnya.

Katanya, kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.


"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulis Naib Presiden PAS itu.

Bekas pemimpin Al-Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad pernah menulis buku, "Jangan Salahkan Musuh". Perangai kita di mana-mana memang begitu. Setiap kelemahan dalaman dipersalahkan kepada musuh, kononnya yang mencipta dan mencetuskannya.

Mukadimah tulisan ini, saya menyorot ulasan pemerhati politik tanahair perihal kewujudan tiga golongan dalam PAS. Golongan pertama yang mengkagumi pemimpin di luar PAS memang wujud. Tetapi ia tidak dikonspirasikan oleh Umno.

Pernah sewaktu Almarhum Ustaz Fadzil Noor mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah, hampir separuh wakil kawasan tidak hadir. Setelah disiasat rupanya mereka hadir di program yang dihadiri oleh Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sewaktu permuafakat pembangkang berlaku antara PAS-Semangat 46 dan Semangat 46-DAP, Tengku Razaleigh dianggap sebagai pemimpin utama. Siapa yang memberinya pengiktirafan? Jika sekarang, berlaku hal yang hampir sama, cuma tokohnya berbeza, maka ia cuma ulangan opera politik dua dekad lalu.

Tanpa membicarakan golongan kedua, saya lebih tertarik untuk menjadikan golongan ketiga dalam PAS sebagai golongan yang dominan. Pilihan raya adalah kaedah mendapatkan kuasa. Tapi kuasa bukan penyudah perjuangan. Ia cuma alat bukan matlamat. Apa ertinya kuasa di tangan jika prinsip tidak dapat dipertahankan.

Misalnya, separuh abad di bawah BN habis tanah orang Melayu/Islam berpindah milik. Hingga tanah rizab Melayu pun tidak dapat dipertahankan lagi. Jika kerajaan negeri Kedah pimpinan Dato' Seri Azizan Razak menterjemahkan sikap mempertahankan hak dengan menetapkan kuota perumahan 50-50, seluruh kepimpinan parti wajar mempertahankannya dengan hujah yang dapat merasionalkan semua pihak, terutama bukan Melayu.

Tetapi ia tidak berlaku. PAS Kedah dibiar terkonteng-konteng, berhempas pulas sendiri mempertahankan tindakan. Itu sekadar satu contoh.

Sebab itu ada pihak yang mempertahankan tindakan Dato' Dr. Hassan Ali membelasah rakan sepakatan berhubung isu arak kerana mempertahankan prinsip. Cuma salah beliau ialah berbicara secara terbuka, tiada etika dalam permuafakatan politik.

Maka timbul pula hujah dari golongan pertama, "Aulawiyat kita menumbangkan BN. Realiti politik tanahair undi bukan Melayu jadi penentu. Mana lebih baik, 'pertahankan prinsip' tapi gergasi jahat BN terus berkuasa di Pusat atau korbankan sedikit kepentingan (prinsip?) buat sementara tapi BN dan Umno boleh ditumbangkan untuk pertama kali?"

Pertimbangan politik selalunya berada di cabang dilema. Lakukanlah analisis dan cerapan politik demi mencari yang terbaik.

Dikutip dari Kedah Lanie.blogspot,com

GEMPAR: Sejadah Berdiri Ketika Usrah

09 November 2009


GEMPAR: Sejadah Berdiri Ketika Usrah

3 Nov, Gombak - Fenomena sejadah berdiri berlaku ketika usrah Pemuda PAS Batu Caves malam tadi.

Kejadian tersebut menggemparkan seluruh ahli usrah berkenaan yang masing-masing sedang khusyuk mendengar pengisian usrah.



Kedudukan sejadah tersebut betul-betul menghadap kiblat di tempat usrah, yang dirahsiakan lokasinya bagi mengelakkan salah tanggap masyarakat.



Dua sejadah terbabit menyerupai kedudukan orang yang sedang duduk bersimpuh.

Ia disedari oleh salah seorang ahli usrah kira-kira jam 11 malam sewaktu usrah sedang berlangsung.


Beliau menyedari perkara itu berlaku kerana beliaulah yang mem”berdiri”kan sejadah berkenaan.

Kejadian ini memberi iktibar kepada seluruh ahli usrah tersebut dan juga seluruh ahli PAS agar hadir ke usrah kerana jika sejadah pun boleh menghadiri usrah, apatah lagi manusia terutama ahli-ahli PAS.

http://www.pemudagombak.com

Dikutip dari Kedah Lanie.blogspot.com

Pembuat Pintu Emas Kaaba Meninggal



i

MANUSIA & PERISTIWA


Isnin November 9, 2009

Pembuat Pintu Emas Kaaba Meninggal

Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979. -Foto BERNAMA

SHEIKH Ahmad bin Ibrahim Badr, tukang utama yang mereka bentuk pintu emas Kaaba, meninggal dunia pada usia 89 tahun di Makkah Jumaat lepas, demikian harian Arab Saudi berbahasa Inggeris, The Arab News melaporkan pada Ahad.

Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979.

Kerja-kerja itu dijalankan di sebuah bengkel yang dibina khusus untuk projek berkenaan. Beliau juga memperkemas dan memperindahkan lagi meezab (saluran air di atas Kaaba) dan rangka perak Hajar Aswad.

Beliau mempelajari seni berkenaan daripada bapanya, pereka dan pembina asal pintu berkenaan atas perintah Raja Abdul Aziz pada 1942, lapor akhbar itu.

Ibrahim dan dua saudaranya, Mahmoud dan Ibrahim Badr, mengacu pintu berkenaan dengan emas tulen, mengambil masa setahun menyiapkannya.

Tiang dalam dan meezab, dibuat daripada emas 24karat seberat 25 kg juga disiapkan dalam tempoh berkenaan.

Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu.

Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu. Kerja-kerja mereka termasuk rangka perak Hajar Aswad, lapor akhbar itu.

Ahmad dilahirkan di kampung halaman datuk neneknya di permukiman Qashashiya di Makkah pada 1920. Selepas belajar di sekolah alFalah tempatan beliau menyertai bapanya di bengkel emas dan perak pada usia 15 tahun.

Ahmad telah bekerja di kedai bapanya "Sheikh Ibrahim Badr" di Goldsmiths' Street sepanjang hidupnya.

Beliau lahir dalam keluarga pertukangan seni yang terkenal dengan kehalusan kerjatangan emas yang ekskuisit, kata akhbar itu. BERNAMA

Sabtu, 31 Oktober 2009

Hebatnya Anak Kedah...Lukis peta dalam 30 minit

Hebatnya Anak Kedah...Lukis peta dalam 30 minit


Oleh SHAH NIZAM OMAR

shahnizam.omar@kosmo.com.my






MOHD. YUSRI menunjukkan lakaran kartun serta peta Semenanjung Malaysia yang dilukis di rumahnya di Hutan Kampong, Alor Setar semalam.
-------------------------------------------------------------------------------
ALOR SETAR - Jika remaja sebaya dengannya sekadar pandai melukis kartun, Mohd. Yusri Mohd. Yusof, 11, pula cekap melukis peta.
Kebolehannya melukis peta banyak negara di dunia mengagumkan guru-gurunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Kampong di sini.
Dia bukan sahaja boleh melakar sempadan sesebuah negara tetapi juga rupa bentuk bumi dengan kehalusan menyamai paparan buku atlas.
Bakat Mohd. Yusri juga terserlah pada kemampuannya melukis banyak bangunan bangunan pencakar langit dunia dengan hanya menggunakan pensil 2B.
Semuanya bermula apabila dia melihat watak kartun Naruto dalam komik dan di televisyen sejak berusia sembilan tahun.
"Mula-mula saya lukis kartun watak Naruto kerana terlalu minat dan kemudian mencari asal-usulnya di laman web interaktif Google Earth.
"Apabila saya tahu Naruto berasal dari Jepun, saya mula meminati hobi melukis peta dunia,'' katanya.
Mohd. Yusri mendakwa boleh melakar peta Malaysia dengan lengkap dalam masa 30 minit.

Khamis, 29 Oktober 2009

Subsidi: Indah Khabar dari Rupa?

Wednesday, October 28, 2009

Subsidi: Indah Khabar dari Rupa?

1. Bajet 2010 telah pun dibentangkan. Seperti biasa riuh rendah yang dilihat ialah apa aku dapat dan apa kamu dapat. Hakikatnya jarang sekali Bajet kita tidak memberi rangsangan positif sehingga segala ulasan dan pujian menjadi klise.

2. Sesetengah pengulas pula sudah mula membuat pujian sebelum pembentangan dibuat pun. Dan ada pula yang membuatnya sebaik sahaja selesai mendengar ucapan.

3. Banyak isu boleh dibahaskan dan dipersoalkan termasuk isu pemberian keistimewaan potongan cukai profesional di Iskandar Malaysia tetapi tidak kepada koridor-koridor wilayah yang lain, yang lebih penting dari segi potongan cukai ini kerana berada di luar lingkungan skala ekonomi yang mapan seperti Iskandar Malaysia yang berhampiran Singapura.

4. Jika mahu diberi potongan cukai kepada profesional yang sanggup berkhidmat di koridor (wilayah) ekonomi yang diwujudkan kerajaan tentulah wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia Timur, Pantai Timur dan Utara lebih wajar diberi keistimewaan kerana kedudukan geografi dan tumpuan ekonomi yang lebih sukar menarik pelaburan dan tenaga profesional.

Buruk Sangatkah Masyarakat Bersubsidi?

5. Saya bukanlah seorang yang terdidik dalam bidang ekonomi. Justeru secara akademiknya saya tidak layak untuk mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini mengenai subsidi.

6. Namun sebagai orang pernah menjadi Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama pentadbiran saya, tentulah sedikit sebanyak saya fikir boleh memberi buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara.

7. Sejak sebulan yang lalu terdapat dua atau tiga menteri bercakap soal penghapusan subsidi dan pemberian subsidi kepada golongan yang layak sahaja. Mereka bercakap seolah-olah subsidi ini begitu buruk dan tidak sewajarnya berterusan dilaksanakan oleh kerajaan.

8. Pemikiran ini tidaklah ada bezanya dengan pemikiran semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu kita menyaksikan peningkatan mendadak harga petrol, tol, harga barang dan kos sara hidup.

9. Alasan-alasan yang sama akan terus diulang-ulang iaitu subsidi tidak membawa kemampanan (kekukuhan) ekonomi serta merugikan rakyat dan kerajaan.

10. Alasan-alasan ini dicipta oleh pemikir ekonomi berasaskan pemikiran atas kertas dan ada juga kerana mereka yang telah maju mahu mengekalkan kualiti hidup mereka dengan kesusahan kita. Hakikatnya di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri jumlah subsidi mereka mencecah berbilion dollar.

11. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada Subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

Subsidi Petrol

12. Saya terkejut dengan kenyataan dua Menteri yang menyatakan subsidi petrol hanya akan diberikan kepada kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

13. Secara sepintas lalu saya berpendapat ia bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga akan memberi kos tambahan kepada pengurusan kerajaan untuk menjalankan sistem pemberian subsidi, penguatkuasaan dan akhirnya akan wujud pelbagai penyelewengan.

14. Memang benar kerajaan tidak mungkin dapat memberi subsidi petrol yang begitu besar kepada rakyat. Sebab itu hari ini rata-rata rakyat yang rasional menerima keputusan pemberian subsidi 30 sen seliter.

15. Siapakah golongan berpendapatan rendah hari ini? Katakanlah kita ambil mereka yang berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah sebulan? Apakah mereka yang berpendapatan RM 3, 000 sebulan di Alor Setar lebih susah daripada mereka yang berpendapatan RM 5, 000 di Kuala Lumpur? Saya tidak ragu menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan RM 5, 000 sebulan di Kuala Lumpur lebih miskin daripada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 di Alor Setar.

16. Sebenarnya pemberian subsidi petrol seperti sekarang lebih besar faedahnya kepada kerajaan. Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk subsidi petrol, namun ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi berbelanja lebih untuk merancakkan ekonomi.

17. Sebagai seorang yang tidak arif dalam ekonomi, saya tertanya-tanya apakah akan terjadi jika golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk petrol, cukai pendapatan, cukai jalan mula berjimat, membeli barangan yang sebelum ini hanya untuk golongan bawahan, membeli rumah yang murah dan berhenti berbelanja hujung minggu?

18. Apa akan terjadi kepada putaran ekonomi negara?

19. Pembuat dasar atau polisi tidaklah boleh melihat sesuatu isu ekonomi terutama subsidi barangan penting kepada seluruh rakyat seperti petrol dalam bentuk yang mikro sehingga gagal melihat secara makro.

Subsidi Beras

20. Menyentuh mengenai subsidi ini juga saya tertanya-tanya apakah rasional untuk menghapuskan subsidi kepada pengilang beras yang bertujuan mengawal harga beras ST 15.

21. Menurut Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar, penghapusan subsidi ini bertujuan untuk menjimat wang kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan dan mengelakkan mereka yang tidak layak menikmatinya.

22. Kerajaan khabarnya akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.

23. Pada masa ini harga sekilo beras ST 15 ialah RM 1.80. Ini bermakna sekampit (10 kilo) beras ST 15 berharga RM 18.00. Dan mengikut maklumat ia akan naik kepada RM 24 sekampit.

24. Berdasarkan harga semasa dan harga tanpa subsidi yang dinyatakan kerajaan, ini bermakna rakyat perlu menampung kenaikan sebanyak RM 6 sekampit. Berasaskan penggunaan biasa, satu isi rumah mungkin memerlukan sekitar 20 kilogram beras sebulan. Sebanyak RM 12 sebulan perlu ditambah dalam perbelanjaan bulanan.

25. Mungkin bagi kabinet kenaikan ini tampak kecil namun ia memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

26. Berasaskan penggunaan purata 20 kilogram sebulan, susbsidi kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan; maka dianggarkan terdapat 5 juta rumah yang menggunakan beras jenis ini, (5 juta x RM 12).

27. Katakanlah terdapat kegunaan untuk kedai makan dan asrama, anggaran kovensional ialah sekitar 2 juta rumah yang menggunakannya. Jika terdapat dua hingga tiga orang di dalam rumah tersebut, maka kerajaan BN telah menyebabkan kemarahan hampir 3 juta rakyat yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.

28. Jika mereka mampu membeli beras yang lebih baik grednya tentulah mereka ini tidak membeli beras ST15. Bayangkan bila kenaikan ini berlaku.

29.Demikian juga di kalangan industri makanan seperti asrama dan kedai makan kecil yang margin keuntungan tidak seberapa terpaksa menanggung kos kenaikan ini?

30. Masalah ini akan berlarutan pula kepada proses pemberian dan pengambilan kupon subsidi. Ahli Parlimen akan mendapat beban politik kerana akan ada yang marah kerana tidak dapat kupon tersebut.

31. Pemberian kupon di Sabah dan Sarawak akan lebih bermasalah. Keadaan geografi dan pengangkutan di kawasan pendalaman mungkin menyebabkan kos pengangkutan untuk mereka yang miskin mendapat kupon lebih tinggi daripada harga kupon sendiri.

32. Ini belum lagi masalah keengganan peruncit untuk menerima kupon.

33. Jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras ini maka kerajaan juga perlu menghapuskan sebarang kawalan ke atas idustri beras termasuk pemilikan permit masuk dan pelbagai sekatan untuk membawa masuk beras luar?

34. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

35. Kita semua ada membuat kesilapan baik semasa mentadbir, namun gunakanlah pengalaman tersebut untuk membetulkannya bukannya meneruskan kenyataan-kenyataan tidak berpijak kepada realiti rakyat banyak.

36. Janganlah jadi seperti seorang bekas menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa beliau terkejut dengan begitu banyak kadar tol yang perlu dibayar sedangkan beliau berada di dalam kabinet semasa membuat keputusan menaikkan kadar tol.

37. Ketika saya menulis sebelum ini bahawa kita tidak mengharapkan kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan tetapi negara sejahtera, tentulah saya tidak sama sekali bermaksudkan kerajaan perlu menarik subsidi-subsidi penting seperti petrol dan beras.

38. Kerajaan terlalu banyak membantu golongan miskin dan orang tua sehingga melupakan golongan muda dan berpendapatan sederhana sedangkan mereka ini merupakan majoriti pengundi hari ini.

39. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional hampir kalah kerana polisi-polisinya mengabaikan kelompok pengundi terbesar iaitu orang muda dan kumpulan berpendapatan sederhana.

40. Bagaimanakah boleh menjadi sebuah negara sejahtera jika kumpulan majoriti terabai? Jangan nanti subsidi yang diberikan indah khabar dari rupa.

Nota: Saya gembira jika ramai tidak bersetuju dengan pandangan saya kali ini kerana ia akan menunjukkan polisi dan keputusan kerajaan betul dan diterima rakyat.
0 comments
Dikutip dari http://www.drkhir.com/

Rabu, 28 Oktober 2009

Tidak perlu EGM ganti pemimpin: Azizan

Tidak perlu EGM ganti pemimpin: Azizan




JITRA - Seseorang pemimpin Pas yang tidak disukai boleh diganti tanpa melalui Muktamar Khas (EGM).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, proses penggantian sebaliknya boleh diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat sahaja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Atas sebab itu, Pas Kedah berpendirian bahawa EGM tidak perlu buat masa ini, dan yang perlu diadakan hanyalah mesyuarat jawatankuasa Pusat," kata Menteri Besar Kedah itu.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah turut menyanggah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa wujudnya perpecahan serius dalam Pas susulan kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu diadakan EGM bagi menyingkir tiga pemimpin kanan parti itu yang dikatakan bermasalah.

Sebaliknya, kata Azizan, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat yang disuarakan oleh beberapa kepimpinan tertinggi parti itu, dan isu itu tidak sedikitpun memecah-belahkan perpaduan dalam Pas.

“Biasalah dalam parti mana pun, kepimpinan tertinggi menghadapi perbezaan pendapat. Namun kita bukannya berdepan dengan masalah pun, saya pun tidak pasti apa puncanya sehingga timbul kemelut ini, sebab dalam Pas tidak ada masalah pun,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri di Institut Pendidikan Guru (IPDA) Kampus Darulaman, semalam.

Menurutnya, tidak wujud dua kumpulan dalam parti itu seperti yang didakwa, dan berikutan itu, tiada keperluan untuk mengadakan EGM.

“EGM hanya untuk menyelesaikan isu-isu besar sahaja, tetapi Pas hanya berdepan dengan isu perbezaan pendapat, namun masalah ini tidak sama dengan MCA yang berdepan dengan masalah kepimpinan manakala UMNO pula meminda perlembagaan parti,” katanya.

Najib dalam satu kenyataan kelmarin berkata, percanggahan dalam Pas semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu, iaitu satu mahu bekerjasama dengan UMNO dan satu kumpulan lagi sebaliknya.

Azizan berkata, dakwaan wujudnya pihak ketiga yang cuba melaga-lagakan saf kepimpinan parti itu dengan menimbulkan semula isu pemimpin Pas pro-UMNO tidak dapat dipastikan.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada didalangi pihak ketiga atau kemungkinan Tok Guru kecewa dan meluahkan pendapat peribadinya kerana tertekan dengan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya. Saya tidak menyalahkan Tok Guru dengan tindakannya itu,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak bersabar dan menunggu keputusan yang akan diambil oleh Ahli Jawatankuasa Pusat yang akan bermesyuarat Rabu ini bagi menyelesaikan isu EGM.

Dr Asri ulas krisis dalaman PAS

Dr Asri ulas krisis dalaman PAS
BEKAS Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berpendapat krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS.
Bisikan ini, katanya, datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.
‘Pembisik’ itu, menurut Dr Asri, hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja.
Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.
Namun krisis kali ini, menurut pengamatan beliau, agak serius.
"Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS," katanya.
Jelas Dr Asri, meskipun beliau mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun beliau akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik.
Ini, katanya, bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.
"Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.
"PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung," jelasnya dalam kiriman emel sebentar tadi.
Walaupun demikian, Dr Asri berharap antara hikmah kejadian yang berlaku ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu.
"Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.
"Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata," kata tokoh agama yang disegani ini.
Satu perkara yang wajar PAS akui, jelasnya, ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul.
"Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS. Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari.
"Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis: “Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.
"Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang.
"Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah...”
"Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari," kata Dr Asri.
Dr Asri berkata, ini tidak bermakna beliau setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi cuma beliau hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan ke atas Dr Aziz pada hal tokoh akademik itu boleh dikategorikan sebagai rakan mereka.
"Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat," katanya.
Soalnya lagi, "Bagaimanakah nanti jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan? Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar."
Akhirnya, kata Dr Asri, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.
Dr Asri turut menggariskan beberapa perkara berikut yang patut difikirkan oleh PAS:
1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?
-dikutip dari Mstar-

Khamis, 22 Oktober 2009

Quranic Writing Appears on Body of a 9 Month Old Baby After Fever Source: www.youtube.com

Source: www.youtube.com
http://www.youtube.com/watch?v=fGzwtKQkyvA

Mufti Rusia komen ayat pada kulit bayi

22 October 2009

Mufti Rusia komen ayat pada kulit bayi


GAMBAR menunjukkan ayat al-Quran muncul pada kulit Ali.




ALI


MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.
Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.
Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.
Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".
Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.
Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi
( dikutip dari kedah lanie)

Ayat suci di badan bayi kuasa allah

Ayat suci di badan bayi kuasa allah






 
 
MAKHACHKALA: Seorang bayi Dagestan membingungkan doktor apabila ayat suci al-Quran ditemui pada tubuhnya.

Ibu bapa kanak-kanak berusia sembilan bulan itu, Ali Yakubov, berkata mereka terkejut apabila perkataan Allah timbul pada dagunya sejurus selepas dia dilahirkan.

Sejak itu, beberapa ayat suci dalam bahasa Arab muncul pada belakang, lengan, kaki dan perut Ali.

Keluarganya mendakwa, ayat lama akan hilang dan ayat baru pula muncul.

 
 
Biasanya, ia berlaku dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan malam Jumaat.
 
Pegawai perubatan berkata, mereka tidak dapat menjelaskan kejadian misteri itu tetapi menolak kemungkinan ditulis seseorang pada kulit kanak-kanak itu.

Ibunya, Madina, berkata dia dan suaminya semakin patuh dalam melakukan suruhan agama selepas kejadian itu.

Madina dan suaminya pada mulanya tidak menunjukkannya kepada sesiapa penemuan itu sehinggalah baru-baru ini apabila perkara itu didedahkan kepada doktor.

Ali kini menjadi tumpuan masyarakat Islam di Dagestan.

Anggota Parlimen tempatan, Akhmedpasha Amiralaev, berkata kanak-kanak itu adalah tanda kebesaran Tuhan.

“Allah menghantarnya ke Dagestan dalam sebagai tanda untuk menghentikan keganasan dan ketegangan di negeri kami,” katanya.

Menurut Madina, Ali biasanya meragam apabila kejadian aneh itu berlaku.

“Dia akan menangis dan suhu badannya meningkat. Sukar untuk memegangnya ketika itu.

“Tubuhnya pula bergerak aktif, memaksa kami meletakkannya dalam buaian.

“Sungguh sedih melihat dia menderita ketika itu,” katanya.

Seorang imam tempatan, Abdulla, memberitahu penduduk tempatan, memang ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan, Tuhan akan menunjukkan kekuasaan-Nya di pelbagai tempat dalam dunia, selain pada diri manusia sendiri untuk membuktikan bahawa al-Quran itu kitab yang benar.

“Kejadian itu tidak sepatutnya disembunyikan,” katanya. - Agensi


Wallahu alam

Rabu, 21 Oktober 2009

Beramal dengan surah al-Kahfi dapat hindari fitnah

Beramal dengan surah al-Kahfi dapat hindari fitnah
Hadith :
Daripada al-Barra r.a katanya : “ Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran.” Al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi
Huraian:
Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya'juj dan Ma'juj.
Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).
Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai Hari Akhirat, seperti mana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa a.s yang banyak belajar daripada Khidr dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar.
Semua ini perlu direnungkan oleh seluruh umat Islam kerana apabila surat ini dibaca secara keseluruhannya akan tergambar kepada kita tentang perkaitannya dengan realiti semasa yang melalui yang tahap-tahap yang berbeza iaitu permulaan, perkembangan, dan berakhirnya dunia ini dengan kedatangan nabi Isa a.s sebelum kemunculan Hari kiamat. Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jumaat, 9 Oktober 2009

Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam

Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam


Umat Islam yang menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah terbenam matahari tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada matahari terbenam.

Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam itu wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengikut kajian ilmu falak, terdapat dua hari iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai sahaja dalam setahun, kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersembahyang.

"Untuk tujuan itulah ILIM diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha menghapuskan persepsi salah masyarakat tentang ilmu falak itu mengikut hukum Islam sebenarnya," katanya kepada Bernama selepas menutup Kursus Falak (Qiblat) di Kota Bharu hari ini.

Kursus anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Mufti Kelantan (JMK), Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIAK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) disertai hampir 100 peserta terdiri kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Paimuzi berkata kebanyakan masjid dan surau dan premis hotel, dan kediaman peribadi umat Islam di negara ini masih tidak menggunakan kaedah yang betul dalam menentukan arah kiblat.

"Jika persepsi yang ini tidak dihapuskan, umat Islam akan terus berada dalam kesilapan hingga ke generasi akan datang.

"Atas dasar inilah kita mahu peserta kursus menjadi perunding atau petunjuk dalam menentukan arah sebenar kiblat, berpandukan ilmu yang diperoleh daripada kursus ini," katanya. BERNAMA
 
Dikutip dari KedahLanie.blogspot.com

Khamis, 8 Oktober 2009

Produk plum, prun kering mengandungi logam plumbum berlebihan diharamkan

Produk plum, prun kering mengandungi logam plumbum berlebihan diharamkan
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).
Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras tersebut, tindakan undang-undang akan dikenakan.
"Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau keduaduanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan U.S Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lepas.
Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".
Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".
Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.
Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.
Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangkamasa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.
Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.
"Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produkproduk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.
Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. BERNAMA

Dikutip dari Mstar

Rabu, 7 Oktober 2009

My Dear.....



Gempa Bumi : Waktu dan Nombor Surah , Kuasa Allah yg saja Mengetahui


Gempa Bumi : Waktu dan Nombor Surah , Kuasa Allah yg saja Mengetahui


Salam w.b.t

Aku peroleh sepucuk emel dari orang jauh. Sesudah baca emel tersebut, aku buka Al-Qur'an terjemahan kegemaranku

Subhnallah. Ini bukan kebetulan bukan?

Emel tersebut berbunyi begini.....................

"subhanallahh. . waktu2 gempa di indonesia :

di Tasik 15:04 ,

(Surah Al Hijr,surah ke 15,ayat keempat)

"Dan kami tidak membinasakan suatu negeri,melainkan sudah ada ketentuan yang ditetapkan baginya"

di Padang(gempa pertama) 17:16 ,

(Surah Al-Israa',surah ke 17,ayat ke 16)

"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri,maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu(agar mentaati Allah) tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu,maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan(hukuman kami) kemudian Kami binasakan sama sekali(negeri itu)"

di Padang(gempa kedua) 17:58 ,

(Surah Al-Israa',surah ke 17,ayat 58)

"Dan tidak ada suatu negeri pun(yang derhaka penduduknya),melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami siksa(penduduknya) dengan siksa yang sangat keras. yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab Luh Mahfuz"

gempa di Jampi (ke esokkannya dr padang) 08:52...

(Surah Al-Anfal,surah ke 8 ayat 52)

"(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan pengikut Firaun dan orang-orang yang sebelum mereka.Mereka mengingkari ayat-ayat Allah,maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya.Sungguh Allah Maha Kuat lagi keras siksaNya"

Wallahua'lam

anuar464

Dipetik dari Kedah Lanie.blogspot.com

Selasa, 6 Oktober 2009

TERKINI: Jabatan Meteorologi Malaysia sahkan Malaysia terselamat dari Taufan PARMA kecuali Sabah kena tempias

Selasa Oktober 6, 2009 TERKINI: Jabatan Meteorologi Malaysia sahkan Malaysia terselamat dari Taufan PARMA kecuali Sabah kena tempias Taufan PARMA bergerak ke arah tenggara dan dijangka melanda Filipina malam ini. -Sumber: JMM PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini mengesahkan ribut tropika Parma tidak akan melanda perairan Malaysia. Bagaimanapun Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Nasional JMM, Saw Bun Liong berkata, tempias ribut tropika itu akan dirasai di beberapa kawasan perairan Sabah dengan angin kencang selaju 30 hingga 50 kilometer sejam. "JMM telah mengeluarkan amaran laut bergelora serta angin kencang sehingga Jumaat ini (9 Oktober)," katanya kepada mStar Online. Bun Liong berkata, ombak setinggi 3.5 meter turut dijangka berlaku di sekitar perairan Phuket, Samui, Kelantan, Terengganu, Condore, North Reef, Layang-Layang, Wilayah Persekutuan Labuan, bahagian barat Sabah dan Palawan. Menurutnya, JMM akan memantau perkembangan ribu tropika Parma dan akan mengemaskinikan amaran dari semasa ke semasa menerusi media dan laman web JMM. Dalam pada itu, Bun Liong berkata, JMM meramalkan Taufan PARMA akan melanda Filipina malam ini. BERITA TERDAHULU PETALING JAYA: Sejak beberapa jam yang lalu, terdapat beberapa pihak yang mengedarkan SMS memaklumkan bahawa ribut taufan yang kuat dinamakan PARMA dengan kelajuan 222 kilometer sejam akan melanda negara jiran Filipina menjelang tengah malam ini. SMS tersebut memberi amaran kepada penerimanya bahawa tempias ribut ini dijangka sampai ke Malaysia beberapa jam selepas itu. “Elakkan daripada berada di tempat awam dan terbuka juga beri amaran kepada mereka yang tinggal di pantai Timur Semenanjung Malaysia,” kata pesanan ringkas tersebut. Usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak Jabatan Kaji Cuaca Malaysia. Sehingga berita ini disahkan oleh pihak berkuasa anggaplah pesanan ini sebagai satu berita yang belum tepat kesahihannya.

Dipetik dari Mstar

Khamis, 1 Oktober 2009

Muslim yang terpelihara

Muslim yang terpelihara
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Memaki orang Muslim adalah (fasiq) dan membunuhnya, kafir.” (al-Bukhari) Huraian:
Orang yang memperhatikan keadaan manusia pada zaman ini akan dapat melihat betapa hebatnya kefasikan yang telah melanda kehidupan mereka. Ini disebabkan keadaan masing-masing sesama umat Islam tidak lagi memberi erti persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh agama sebaliknya mereka saling kutuk-mengutuk, memaki hamun dan ada pula yang sampai ke tahap sanggup membunuh. Lantas terjadilah perlanggaran hukum yang akhirnya mencacatkan nama baik Islam hingga Islam itu dipandang sebagai agama yang ganas dan bersifat keras. Sesungguhnya inilah perosak ummah yang menjadi duri dalam daging bagi seluruh umat Islam. Mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dan kepentingan diri tanpa memikirkan akibat yang bakal ditanggung. Oleh itu setiap Muslim hendaklah memastikan apa jua tindakan yang dilakukannya itu tidak melanggar batasan syariat dan sekali-kali tidak menjadi fitnah pada agama kerana hal ini bukan sahaja mendatang dosa bahkan memporakperandakan kesejahteraan bersama.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Dipetik dari Mstar

Batu Terapung Palsu?...


Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular