PAS bersama Pakatan Rakyat: Harus tegas kerana pendirian, bukan kerana tekanan
Perkembangan pasca "tsunami politik" membawa PAS ke persimpangan jalan, dan halatuju masa depannya dijangka akan ditentukan dalam pemilihan pada tahun 2009. Mohamad Sabu dan Husam Musa yang berpendirian lebih tegas untuk menutup pintu rundingan bersama UMNO - akhirnya gagal menawan jawatan Timbalan Presiden, sungguhpun jumlah undi kedua-dua mereka melebihi penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa.
Untuk berlaku adil kepada Presiden PAS, beliau sebenarnya telah berulang-kali menegaskan pendirian PAS untuk bersama Pakatan Rakyat selepas "Seminar Politik" tersebut. Bagaimanapun, "ketegasan" Abdul Hadi Awang tetap tidak meyakinkan sesetengah orang - misalnya Profesor Abdul Aziz Bari yang masih menuding jari terhadap kelemahan pimpinannya.
Tegas kerana terpaksa tegas?
Pemerhatian ini dilontarkan kepada Mohamad Sabu, calon Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan yang bakal berlangsung pada Jun 2011, disusuli dengan persoalan mengapa keadaan ini berlanjutan. Beliau tidak menyanggah pemerhatian tersebut, sambil berkata, "Dia satu, tegas kerana pendirian kita. Satu lagi tegas (kerana) terpaksa tegas kerana kehendak orang ramai. Kita mahu tegas di sudut pendirian, bukan tegas kerana terpaksa tegas."
Beliau yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu berkata sedemikian dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 12 Mei 2011, di Hotel Armada Petaling Jaya.
Jawapan Mat Sabu mengisyaratkan bahawa wujudnya pandangan berbeza dalam isu kerjasama antara PAS dengan gandingan parti politik yang berbeza. Dan beliau tanpa berselindung untuk mengaku bahawa dirinya bersama sekumpulan rakan perjuangan dalam PAS berpendirian untuk bersama Pakatan Rakyat buat masa kini, agar membentuk formula politik baru untuk Malaysia.
Dari sebermulanya, Mat Sabu enggan mengulas kelemahan atau kelebihan "lawan"-nya, meskipun berkali-kali diaju dengan soalan untuk menilai saf pimpinan asal. Beliau berkata, "Apa yang penting ialah apa yang saya nak buat bila saya dipilih nanti."
PAS kurang agresif
"Saya nampak bila kita sebagai parti yang tidak memerintah, ia mesti bersifat agresif. Bukan radikal, (tapi) agresif. Saya melihat Keadilan (PKR), partinya tidak sekuat mana. Tetapi dia lebih agresif dari segi menyatakan sesuatu isu, misalnya isu rasuah, penyelewengan, nampak lebih ke depan...sedangkan ahli dan kekuatan mereka tidak seberapa..."
Mat Sabu secara terang-terang menolak perjuangan radikal, misalnya mengangkat senjata; tetapi dari segi tindakan, beliau berpandangan bahawa pimpinan harus lebih progresif dan proaktif. Wartawan menyusul dengan soalan sama ada inilah yang kurang dalam pimpinan yang sedia ada, Mat Sabu menjawab, "Ya."
"Misalnya corruption (rasuah), penyalahgunaan ISA, penyalahgunaan Akta Cetak dan sebagainya, kita nampak parti lain dan pertubuhan lain lebih terkehadapan, sedangkan kita lebih berupaya..." katanya.
Mat Sabu berterus-terang bahawa PAS perlu bergerak bersama orang-orang bukan Melayu yang tidak menyokong MCA dan BN, seandainya "berangan-angan untuk memerintah Malaysia". Beliau mendakwa bahawa masyarakat Tionghua lebih gelisah dan sensitif dengan isu hak asasi, rasuah dan sebaginya, berbanding masyarakat Melayu.
Ketika ditanya apakah kekhuatiran yang membelenggu sesetengah pimpinan dalam PAS yang enggan menyertai, Mat Sabu berkata, "Mereka, setengahnya menganggap bahawa Cina dan India ini selamanya tidak boleh terima Parti Islam. Kita kata, pernahkah kita berdamping dengan mereka, bercakap, berdialog berterus-terang? Lalu benda-benda seperti ini, kami, sekumpulan mainkan peranan sehingga parti menjadi begini sekarang."
Isu Negara Kristian: Usaha Utusan yang cukup jahat
Sungguhpun demikian, "keghairahan" selepas "tsunami politik" kelihatan tidak bertahan lama. Tsunami berlaku di bandar dan airnya tersekat di luar bandar. Malah beberapa PRK kebelakangan ini, yang kebetulan berlaku di kawasan luar bandar - mungkin sedikit sebanyak melemahkan semangat Pakatan Rakyat. Mat Sabu mengingatkan, padahal pembangkang agak sukar menang dalam PRK mengikut pengalaman lalu, kerana terpaksa melawan dengan jentera negara, yang kini semakin "terang-terang" disalahgunakan.
Beliau mengupas perbezaan antara pola pengundian masyarakat Cina di bandar dengan masyarakat Melayu di kampung. Untuk Mat Sabu, gula yang ditaburkan memberi kesan kepada penduduk kampung, sungguhpun PAS terkenal untuk mengingatkan pengundi agar tetap undi PAS walaupun menerima kebaikan daripada UMNO-BN. "Sikit (orang) yang ambil (kebaikan) tapi tak balas budi," katanya.
"Masyarakat Tionghua ini sejak awal dulu dia masyarakat yang independent (berdikari). Dia tak bergantung kepada subsidi, dia tak bergantung kepada... Tak kan you nak bagi orang di Petaling Jaya 50 ringgit untuk undi dia? Jadi berlainan. Tapi saya yakin kalau sekarang berlaku pilihan raya, undi Melayu akan melonjak..."
Beliau turut menyifatkan bahawa BN "tersepit sungguh" untuk memainkan isu sebegini, kerana UMNO sedar bahawa gandingan PAS, PKR dan DAP boleh menjurus kepada pertukaran kerajaan. "PAS kalau berpisah dengan DAP, BN akan memerintah selama-lamanya," katanya, menambah bahawa ini adalah soal perkiraan matematik yang mudah.
Tidak bercita-cita untuk jadi Presiden
Ketika ditanya MerdekaReview, Mat Sabu secara terus-terang mendakwa bahawa dirinya tidak berniat untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi, iaitu Presiden, pada masa depan - setelah menilai keupayaan diri. Beliau sekadar mahu menyumbang tenaganya selaku Timbalan Presiden, seandainya direstui perwakilan dalam pemilihan parti akan datang.
Mat Sabu bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2009, memperolehi 261 undi, berbanding Nasharuddin Mat Isa (480 undi) dan Husam Musa (281 undi). Kali ini, Mat Sabu diberi laluan oleh Husam Musa, memperolehi pencalonan yang tertinggi untuk jawatan Timbalan Presiden. Beliau berdepan dengan dua orang pesaing yang sudah mengumumkan kesediaan bertanding, iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man. (Bahagian kedua, tamat)
Bahagian Pertama: Mat Sabu: Jangan terperanjat anak tokoh PAS bertanding atas tiket DAP
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan