Isnin, 21 Mei 2012

Jangan Bersangka Buruk Terhadap Bakal Isteri




Saya ada persoalan berkaitan bakal isteri saya. Kami akan berkahwin hujung tahun ini. Masalahnya saya terlalu memikirkan kisah silam bakal isteri saya. Dia mengakui yang dia pernah keluar berdua-duaan dengan kawan lelakinya, walaupun dia tidak berpegangan tangan atau sebaliknya. Hanya setakat keluar makan. Bila saya terkenang pasal itu hati saya terus tidak tenteram. Rasa sakit hati atau hendak marah. Mula memikirkan perkara yang bukan-bukan semasa mereka keluar berdua.. Mohon nasihat ustaz agar hati saya lebih redha dan tenang dengan apa yang telah berlaku sekiranya dia adalah jodoh terbaik saya. Terima kasih ustaz.

Jawapan

Perkahwinan merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang telah disyariatkan kepada sesiapa yang berkemampuan dari segi zahir dan jasmani. Sesiapa yang membuat keputusan untuk berkahwin hendaklah bersedia dari segala aspek kerana perkahwinan ini bukan sesuatu perkara yang mudah seperti kita membeli ikan di pasar. Banyak benda yang perlu kita fikir dan pertimbangkan seperti agama, rupa paras, keturunan dan harta. Islam telah menyarankan kepada hambanya supaya memilih pasangan berdasarkan agama mereka, bukan berdasarkan rupa paras yang ada kepada mereka. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Seseorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara : Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Utamakanlah yang mempunyai agama, nescaya kamu akan selamat” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam masalah anda ini, setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan dan dosa kecuali para nabi dan rasul kerana mereka adalah maksum (dipelihara Allah). Sepatutnya anda perlu memaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan oleh bakal isteri awak, betapa baiknya dia sanggup menceritakan segala kisah silamnya. Sepatutnya anda kena terima secara terbuka, ikhlas serta bersangka baik dan bukan bersangka buruk terhadapnya. Islam juga menyarankan umatnya bersangka baik terhadap orang lain dan kerana bersangka buruk boleh mendatangkan fitnah dan boleh menyebabkan hubungan anda menjadi masalah dengan bakal isteri anda.

Sepatutnya anda kena menerimanya dengan baik walaupun dirinya tidak memenuhi segala kreteria yang anda tetapkan. Hal ini boleh diterima dengan satu cara sahaja iaitu memilih bakal isteri berdasarkan agama seperti menutup aurat, melaksanakan ibadah fardu dengan baik, menghormati orang, lemah lembut, mempunyai akhlak yang mulia atau sebagainya. Anda dan keluarga anda juga tidak akan kecewa kerana wanita yang taat kepada perintah Allah telah tahu apa tugasnya sebagai isteri dan hamba Allah, anda juga tidak perlu mengajarnya menjadi seorang isteri dan menantu yang baik, malah jika anda melakukan kesalahan dia sendiri yang akan menegur dan memberi nasihat kepada anda. Betapa bahagianya bila ada isteri sebegini, sejuk mata dan lembut hati bila bersamanya.

Buangkan segala perasaan negatif terhadap bakal isteri anda kerana ia tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada diri anda dan keluarga anda. Bila berkahwin tanggungjawab anda besar dan akan bersamanya sampai bila-bila. Jika pada awalnya sudah berperasaan negatif, bagaimana anda hendak menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab? Saya juga yakin rumahtangga yang dibina pasti akan timbul masalah yang besar dan ini akan menjadi duri dalam bahtera rumahtangga anda. Bila berlaku sahaja pergaduhan dan pertengkaran masalah silam isteri akan diungkit.

Hidup anda bersamanya juga menjadi tidak nyaman kerana buruk sangka sentiasa bermain di dalam fikiran anda, lama-lama ia akan membuatkan perasaan anda tidak tenteram, waktu itu juga anda akan sentiasa mencari gaduh dengannya walaupun perkara tersebut remeh seperti masakan tidak sedap, air kopi tidak manis atau sebagainya. Masalah ini juga boleh mendatangkan penceraian, bila berlaku cerai anak-anak terabai sehingga menyebabkan anak mencari keseronokan diluar kerana mereka beranggapan ibu bapa mereka bukan tempat untuk mereka bermanja dan mengadu masalah.

Cuba kita perhatikan betapa besar inpak atau kesan dari sangka buruk tadi. Pada awalnya kecil tapi kesannya sangat dalam sehingga boleh menyebabkan pengabaian tanggungjawab di dalam rumahtangga. Bagaimana nanti bila anda mati dan berada di hari perhitungan Allah. Ya ibadah anda sempurna tetapi tanggungjawab terhadap keluarga tidak sempurna disebabkan buruk sangka anda. Keputusannya, Allah memerintahkan diri anda dihumbankan ke dalam neraka Allah disebabkan anda cuai sebagai ketua keluarga. Nauzubillahiminzalik….

Tujuan perkahwinan untuk mencari keseronokkan dan ketenteraman di dalam kehidupan. Orang berkahwin segala keperluan hidupnya dipenuhi seperti kesempurnaan ibadah, seksual, memperolehi keturunan  dan segala yang dapat dinikmati di dalam alam berumahtangga. Kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Ihya' Ulumuddin, terdapat lima tujuan pertama, dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka. Kedua, menghilangkan tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina faraj. Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang akan membawa ke arah perkara-perkara yang haram. Ketiga, Membereskan gangguan hati dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh dan lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk urusan tersebut sahaja. Keempat, dengan pergaulan dan percampuran suami isteri dapat menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini akan mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan ibadat. Kelima, dapat bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan berumahtangga.

SUMBER DAN KREDIT : USTAZ NOR AMIN SAYANI BIN ZAINAL
Sumber dan Kredit 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular