Hari ini pemikiran Almarhum Dato'
Fadzil Mohd Noor diseminarkan. Memang tepat segala ilmu dan idea yang lahir
dari tokoh besar itu dibincangkan. Membiarkan pemikiran yang telah menghasilkan
sejarah perjuangan Islam di tanahair itu berlalu begitu sahaja tanpa dirujuk
kembali adalah pensia-siaan yang sangat merugikan. Sejarah perjuangan Islam
yang dibawa PAS masih belum panjang jarak masanya, belum menempuh pun satu
abad. Tokoh-tokoh yang hebat dalam jamaah mungkin tidak seramai Ikhwanul
Muslimin di Mesir, namun kehebatan tokoh yang sedikit ini mestilah dimanfaatkan
ilmu dan pemikirannya sepenuhnya.
Terlalu banyak aspek menarik dan
bermanfaat untuk dikaji dari sirnaan pemikiran Ustaz Fadzil, biarlah kita
mengutip sisi-sisi yang tersurat sahaja, itu pun cuma selembar dari ribuan
manfaat yang boleh digali.
Pencapaian
terbaik
Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor pergi
meninggalkan kita pada 23 Jun 2002. Sepanjang sejarah PAS meniti perjuangan,
Ustaz Fadzil adalah tokoh paling hebat kerana memimpin parti di saat
gemilangnya. PAS memimpin permuafakatan parti pembangkang apabila memenangi 27
kerusi Parlimen pada PRU 1999. Beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di
Dewan Rakyat. Sehingga kini PAS belum mampu memecahkan rekod pencapaian kerusi terbanyak
itu.
PRU 1999 adalah merupakan detik paling
perit bagi Umno kerana majoriti Melayu berpihak kepada pembangkang. Tidak dapat
dinafikan bahawa penolakan Melayu terhadap BN pada masa itu ada kena mengena
dengan Anwar dianiayai, dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, dibelasah
dalam lokap serta dipenjarakan.
Ustaz Fadzil hadir dalam sidang media
pertama selepas Anwar dipecat. Ia kelihatan sangat janggal ketika itu kerana
persepsi umum adalah, pemecatan Anwar adalah persoalan rumahtangga Umno.
Terdapat anggota PAS yang tidak menyetujui kehadiran Ustaz Fadzil bersama
Anwar. Biarlah Umno bergasak sesama mereka, mengapa PAS nak campuri urusan
dalaman mereka? Ustaz Fadzil ditempelak kerana kononnya membuat perhitungan
yang salah.
Ustaz Fadzil menubuh, memimpin dan
menggerakkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk mengembeling
tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan untuk
menentang ketidakadilan parti yang sedang memerintah. Selepas ledakan
kebangkitan rakyat yang luarbiasa berhubung isu Anwar, barulah tindakan Ustaz
Fadzil dianggap betul. Ia menjadi lebih tepat apabila PAS menjadi dominan dalam
barisan pembangkang dengan memperoleh kerusi terbanyak, mampu mempertahankan
Kelantan di samping menawan Terengganu.
Jika hari ini perpaduan parti-parti
pembangkang adalah mantap, sehingga menang di lima negeri pada PRU12 dan hampir-hampir
menumbangkan BN di Pusat dalam PRU13 lalu tetapi hakikatnya permuafakatan
pembangkang itu digagaskan di masa Ustaz Fadzil memimpin PAS lebih sepuluh
tahun lalu. PAS mengadakan permuafakatan dengan parti KeADILan dan DAP yang
dianggap parti Cina rasis. Ustaz Fadzil, Datuk Dr. Wan Azizah dan Lim Kit Siang
beberapa kali menganjurkan ceramah umum bersama menjelang PRU 1999. Ustaz
Fadzil berjaya meyakinkan ahli PAS dan orang Melayu perihal pentingnya sokongan
masyarakat Cina jika mahu memerintah negara. Cuma orang bukan Melayu pada masa
itu belum berjaya diyakinkan oleh DAP untuk menyokong PAS.
Dominasi
Melayu/Islam
Permuafakatan antara parti-parti
Melayu/Islam digembelingkan lebih awal oleh Ustaz Fadzil Noor iaitu menjelang
PRU 1990. Beliau berjaya 'mengeluarkan' Berjasa dan Hamim dari BN untuk bersama
dengan PAS, Semangat 46 dan KIMMA dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).
Angkatan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada PRU 1990 dengan kemenangan
bersih 39-0.
"Kita telah membina persefahaman
dan kerjasama dengan parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim dalam Angkatan
Perpaduan Ummah. satu usaha yang kita lakukan bersama untuk meletakkan parti
Islam dan parti-parti yang didokong oleh orang Islam dalam satu saf bagi
menghadapi BN dan memberikan alternatif kepada umat Islam dan rakyat seluruhnya,"
jelas Ustaz Fadzil. (Ucapan dasar Muktamar Tahunan ke 36, 25 Mei 1990).
Terlalu banyak aspek menarik untuk
diulas perihal kepimpinan Ustaz Fadzil selama 13 tahun selaku Presiden. Kejayaan
paling manis ialah memposisikan PAS sebagai pendokong ketuanan Islam pada
persepsi dan realiti. Dalam Muktamar PAS ke 42, tema yang dipilih ialah
Tegakkan Ketuanan Islam.
Dalam ucapan dasarnya, Ustaz Fadzil
menegaskan hanya dengan ketuanan Islam dapat menjamin kemuliaan bangsa dan
kemuliaan umat Islam itu sendiri. Meskipun Umno sejak dulu dan kini tidak
pernah berputus asa berusaha mencemarkan imej PAS dengan tuduhan tradisi bahawa
PAS telah meninggalkan asas perjuangan, namun umumnya ketika itu umat Islam
tidak percaya. PAS dominan di kawasan majoriti pengundi Melayu. Di Kedah, PAS
menang PRU 1999 sebanyak 12 kerusi langsung tanpa bantuan undi bukan Melayu
yang ketika itu memihak kepada BN.
"Senario selepas PRU telah
menampakkan Umno/BN gusar dan tertekan dengan hakikat kemerosotan sokongan
orang Melayu. taktik paling kotor mereka memanipulasi psikologi orang Melayu
iaitu menggembar-gemburkan isu perpecahan orang Melayu yang kononnya agenda
perjuangan mereka mengembalikan perpaduan orang Melayu," ujar Ustaz
Fadzil. Mengapa situasi PAS dominan di kawasan Melayu itu menjadi songsang
kini? Ia perlukan satu kajian khusus.
Ulamak
memimpin dan tarbiyah
Sepanjang 13 tahun Ustaz Fadzil memimpin PAS, beliau hanya bergandingan dengan timbalan presiden yang sama, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apabila kini Ustaz Fadzil sudah tiada, Ustaz Hadi memimpin PAS, timbalan presiden silih berganti. Ini menunjukkan kepimpinan PAS di zaman Ustaz Fadzil adalah mantap dan jelas siapa penggantinya. Pertama kali gandingan kepimpinan Fadzil- Hadi, Naib Presiden PAS ialah Dr. Daing Sanusi Daing Mariok dan Ustaz Hasan Shukri. Kepimpinan ulamak pada hairaki tertinggi parti tampak jelas ketika itu.
Kepimpinan ulamak dan persoalan tarbiyah adalah dua perkara yang jarang tidak disentuh setiap kali muktamar oleh Ustaz Fadzil, sama ada dalam ucapan dasar atau ucapan penggulungan.
Sepanjang 13 tahun Ustaz Fadzil memimpin PAS, beliau hanya bergandingan dengan timbalan presiden yang sama, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apabila kini Ustaz Fadzil sudah tiada, Ustaz Hadi memimpin PAS, timbalan presiden silih berganti. Ini menunjukkan kepimpinan PAS di zaman Ustaz Fadzil adalah mantap dan jelas siapa penggantinya. Pertama kali gandingan kepimpinan Fadzil- Hadi, Naib Presiden PAS ialah Dr. Daing Sanusi Daing Mariok dan Ustaz Hasan Shukri. Kepimpinan ulamak pada hairaki tertinggi parti tampak jelas ketika itu.
Kepimpinan ulamak dan persoalan tarbiyah adalah dua perkara yang jarang tidak disentuh setiap kali muktamar oleh Ustaz Fadzil, sama ada dalam ucapan dasar atau ucapan penggulungan.
Penegasan Ustaz
Fadzil: "Dasar kepimpinan
ulamak yang diamalkan selama ini akan terus diperkasa dan dimantapkan. Biar apa
sekalipun suasana dan perkembangan politik yang kita hadapi, kepimpinan ulamak
akan terus menjadi tonggak dan payung kepada gerakan ini. Ulamak di dalam PAS
adalah ulamak yang memimpin dan mengatur manakala ulama di dalam UMNO adalah
ulama yang dipimpin dan diatur." (Ucapan Dasar Muktamar
Tahunan PAS Ke 47, 1 Jun 2001)
Harapan yang
dipertaruhkan oleh beliau terhadap para ulama dalam PAS sangatlah tinggi.
Baginya kepimpinan ulamak bukan setakat pada simbol ketinggian dan kemuliaan,
bersesuaian dengan fungsi 'ulama adalah pewaris Nabi' tetapi ulama itu sendiri
mesti membina keunggulan sesuai dengan amanah besar tersebut. Ulama juga mesti
terus belajar dan mengkaji.
"Demi menjaga imej ulama, maka
saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah
ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat
dan membuat ijtihad atas perkar-perkara yang perlukan pandangan terkini
termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti
memimpin masyarakat agar dapat keluar dari kemelut kehidupan ini dengan
keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat
keredhaan Allah SWT," ujarnya. (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan Ke 48, 31
Mei 2002)
Beliau memberi makna yang luas
mengenai tarbiyah. Tarbiyah bukan sekadar duduk bersila mentelaah teks usrah
untuk menjadi 'orang yang baik' dalam jamaah tetapi implikasi tarbiyah mesti
terpancar ke dalam masyarakat.
"Tarbiyah adalah nadi kepada PAS
sebagai jamaah Islam. Tarbiyah dimaksudkan di sini bukan sekadar usrah dan
tamrin serta pengisian ilmu tetapi juga bersedia membentuk diri sebagai petugas
Muslim yang mampu memperlihatkan wataknya sebagai role model yang ceria kepada
masyarakat, bukan sahaja dari segi syaksiyyah, ilmu, disiplin, malah keterampilannya
sebagai mujahid," ujar Ustaz Fadzil. (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan Ke 41,
25 Ogos 1995)
Baginya tarbiyah mestilah dapat
melahirkan para petugas yang berkualiti serta mampu berhujah berlandaskan ilmu
Islam. "Program tarbiyah dan majlis ilmu yang menjadi kegiatan penting
dalam parti hendaklah menjurus ke arah melahirkan kader-kader parti yang
berkemampuan untuk menyatakan Islam dan menterjemah pelaksanaannya ke dalam
masyarakat dengan kemampuan hujah menegakkan Islam dan membatalkan segala ideologi
yang menjadi cabaran kini," terang Ustaz Fadzil. (Ucapan dasar Muktamar
Tahunan Kali Ke 44, 15 Mei 1998)
Memasyarakatkan
PAS
Konsep memasyarakatkan PAS yang
ditekankan oleh Ustaz Fadzil hakikatnya telah berjaya merapatkan jurang antara
PAS dengan rakyat, khususnya orang Melayu yang terbina sekian lama akibat
diskriminasi Umno. PAS muncul bersama masyarakat, menyelami denyut nadi rakyat
serta menyelesaikannya sekadar kemampuan. Penekanan ini dimulakan oleh beliau
melalui penegasannya, "Telah tiba masanya ahli-ahli parti mesti mampu
mengenalpasti masalah yang wujud dalam masyarakat setempat dan mesti juga dapat
menanganinya dengan baik. Bantuan tenaga-tenaga mahir dan berpengalaman dalam
pelbagai lapangan adalah penting, ia mesti diusahakan."
Di era beliau momokan cerita terpencil
kisah pulau memulau, solat dua iman, tidak makan sembelihan dan sebagainya
terpadam satu persatu. Penyertaan tenaga professional dalam PAS berlaku dengan
pesat. Ustaz Fadzil berkali-kali menegaskan supaya PAS dilebarkan sehingga
setiap kampung, taman atau jalan seboleh-bolehnya ada cawangan PAS.
Penegasan Ustaz Fadzil adalah:
"Gerakan Islam seperti PAS tidak boleh memisahkan diri dari
persoalan-persoalan yang dihadapi oleh masyarakat, peka dengan permasalahan
masyarakat dan bergerak di tengah-tengah masyarakat. Kerana itu sebagaimana
kita tidak pernah lekang dengan program tarbiyah yang sangat penting memberikan
penekanan dalam aspek aqidah dan ibadah, kita juga memberi penekanan dalam
aspek sosial dan permasalahan masyarakat yang merangkumi politik dan ekonomi,
pendidikan, kebudayaan dan sebagainya." (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan ke
36, 25 Mei 1990)
Mendalami
isu semasa
Sisi paling menarik bagi Ustaz Fadzil
ialah beliau sangat menghayati isu semasa. Ceramahnya penuh dengan kupasan isu
semasa. Ramai yang tertarik untuk mengikuti ceramah Ustaz Fadzil hanya kerana
ulasan isu semasanya. Pernah beliau bertembung program ceramah dengan Tun
Ghafar Baba dalam pilihanraya kecil Pantai Merdeka. Oleh kerana ceramah terlalu
hampir masing-masing dapat mendengar hujah pihak lawan. Ustaz Fadzil menangkis
hujah Tun Ghafar secara spontan dengan bidasan-bidasan sinis sehingga orang
ramai tak kering gusi mendengarnya. Beliau menang 'debat' yang tidak dirancang
itu.
Di Dewan Rakyat Ustaz Fadzil sangat cekap berhujah, beliau
meningkah ucapan lawan hanya secara spontan. Beliau melahirkan kekesalan kerana
permintaan rasmi untuk berjumpa Ketua Polis Negara (KPN) tidak dilayan. MP
kerajaan membidas kerana dalam majlis perasmian sidang parlimen KPN hadir,
mengapa Ustaz Fadzil tak jumpa? "Saya nak jumpa KPN bukan nak jumpa mamak
pasembor tepi jalan!" menjadi ayat bidasan beliau yang sangat masyhur
hingga ke hari ini. Iyalah, masing-masing ada pejabat, ada kerani. Kedua-duanya
adalah VIP, mestilah melalui prosedur dan protokol untuk berjumpa secara rasmi.
Jika kita meneliti ucapan dasarnya di muktamar
tahunan sepanjang 13 tahun memimpin PAS, maka beliau menggarap isu semasa
secara menyeluruh sepanjang tempoh setahun, di dalam dan luar negara.
Bukan sahaja isu luaran yang bergerak
di tengah masyarakat tetapi persoalan dalaman parti tiada satu pun yang
dipinggirkannya. Sebab itu penggulungan ucapan dasar beliau sewaktu muktamar
tahunan adalah masa yang dinanti-nanti oleh seluruh perwakilan dan pemerhati.
Ucapannya menjawab setiap persoalan, penuh muhasabah, bidasan dan tidak
ketinggalan.. kelakar. Ramai yang masih merindui ucapan penggulungannya di
muktamar.
Kepincangan
demokrasi dan penipuan pilihanraya
Almarhum Ustaz Fadzil sudah tiada
ketika PAS bersama puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di ibu kota dalam
himpunan Bersih 1, 2, 3 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.
Tiada juga bersama dalam himpunan bersiri Blackout selepas PRU13. Namun suara
beliau dalam merperjuangkan kemurnian demokrasi telah mendahului zaman kerana
kepincangan demokrasi bukan perkara baru di Malaysia.
Seawal kepimpinannya dalam PAS, Ustaz
Fadzil sudah menghidu kepincangan kerajaan mengurus demokrasi. "Apa yang
kita harapkan, pilihanraya kali ini
(1990) dapat berjalan dengan baik dan bersih dari penipuan. SPR
hendaklah benar-benar mencerminkan sebuah suruhanjaya yang bebas dalam
amalannya bukan dalam ucapan atau kenyataannya sahaja. Gejala-gejala untuk memesongkan
SPR sebagai sebuah badan bebas telah mulai dilihat di mana pemerintah dan
partinya memperlihatkan tanda-tanda mereka ingin mengongkong SPR dari
kedudukannya sebagai suruhanjaya yang bebas," ujar Ustaz Fadzil 17 tahun
sebelum himpunan Bersih kali pertama diadakan.
Beliau melahirkan kebimbangan sikap
rakus parti pemerintah yang ingin menghakis kedudukan SPR sebagai suruhanjaya
yang bebas sebagai mana mereka menghakis kebebasan sistem kehakiman sebelum
ini. Ustaz Fadzil mendesak supaya peraturan dibuat untuk menghalang parti
pemerintah menggunakan alat-alat dan jentera kerajaan serta pegawainya untuk
diguna bagi kepentingan BN.
Dekatnya
dengan akar umbi
Mencari aspek kehebatan manusia
bernama Ustaz Fadzil Mohd Noor tidaklah terlalu sukar kerana catatan susur
galur kehidupannya, beliau memang seorang yang hebat tetapi sangat dekat dengan
akar umbi. Tanpa alasan yang syarie untuk menolak, beliau tetap akan hadir ke
mana-mana program yang dijemput hatta anjuran cawangan sekalipun, sedangkan
ketika itu beliau adalah pemimpin nombor satu parti.
Sumber di petik dari http://notautara.blogspot.com/2013/06/almarhum-ustaz-fadzil-noor-yang-sukar.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan