Isnin, 20 Mei 2013

Komplikasi Jiwa Muslim: Merungkai komplikasi diri


Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
16 Februari 2013
Komplikasi Jiwa Muslim oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
Komplikasi Jiwa Muslim oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

SOALAN:

Berdasarkan pengalaman Dr. Tuah dalam menangani masalah masyarakat, apakah pendapat Dr. tentang orang yang penuh dengan keluh-kesah? Setiap kali kita mendekatinya, yang kita dengar hanyalah keluhan sahaja.

Umpama seorang yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang diberi ALLAH SWT dan tidak sabar dengan sebarang bentuk ujian. Keluh-kesah golongan ini lebih ketara apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan perasaan.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan sedemikian? Mohon penjelasan Dr. agar dapat membantu orang ramai yang menghadapi komplikasi jiwa.


JAWAPAN:

Seseorang itu dikatakan mengalami komplikasi kesihatan apabila kesihatannya semakin berat atau penyakitnya kian kronik. Dalam rawatan apabila seseorang pesakit semakin tenat, ini dikatakan dirinya sedang mengalami komplikasi. Tahukah anda... sebelum seseorang itu mengalami komplikasi kesihatan, terlebih dahulu pesakit itu menghadapi komplikasi jiwa?

Bunyinya seperti tidak munasabah. Tetapi tahukah anda, seseorang akan jatuh sakit setelah seluruh kekuatan dalamannya tewas bertarung dengan punca penyakit? Bukankah kita ada sel darah putih yang sentiasa berjuang di dalam tubuh untuk memastikan kita sihat?

Sel darah putih menjadi lemah apabila unsur spiritual kita lemah. Dalam erti kata lain, kita sedang mengalami komplikasi. Apabila ketewasan ini berterusan, akhirnya penyakit akan menjadi pemenang.

Fizikal yang sakit, senang dilihat dan mudahlah di­carikan ubatnya. Tetapi dalaman yang sakit, siapa tahu? Usahkan orang lain, kadang-kadang tuan punya diri pun tidak menyedarinya.

Apabila seseorang kerap mengalami rasa kusut sama ada disebabkan oleh masalah yang jelas terlihat atau yang tidak dapat dipastikan punca, sebenarnya dia sedang mengalami komplikasi jiwa.

Kebanyakan ‘pesakit’ saya sembuh dengan beberapa nasihat yang saya berikan. Sesetengahnya memerlukan kaunseling sehingga beberapa kali dan ada juga memakan masa bertahun-tahun.

Salah seorang daripada mereka adalah seorang wanita berusia sekitar 40-an. Setakat ini telah mencapai 12 tahun lamanya namun masih juga tidak sembuh. Alangkah berat komplikasi jiwanya itu.

Jika anda tidak boleh bertenang meskipun ketika bersolat, anda mungkin mengalami komplikasi jiwa. Komplikasi ini datangnya dari emosi pada kedudukan theta dan delta yang banyak dipengaruhi syaitan yang membolak-balikkan hati.

Bayangkan sahajalah jika semasa solat pun hati tidak tenang, alangkah berat komplikasi yang dialami. Ini kerana pada ketika itulah sepatutnya syaitan tertolak, bukan?

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan sebagai persediaan untuk mengelak komplikasi jiwa daripada berlaku? Sebagai muslim, kita sepatutnya dilihat lebih tenang. Bukankah Islam diturunkan untuk memberi panduan yang terbaik dalam kita melayari kehidupan?

i.    Cubalah bertenang selalu

Ada pelbagai cara untuk mencapai ketenangan. Tenang bermaksud denyutan jantung adalah normal sebagaimana orang biasa yang damai lagi harmoni. Bukan seperti orang yang sedang penat setelah berlari, yang kerap risau atau murung.

Minum air kosong dalam kuantiti yang banyak menjadi salah satu kaedah untuk mendapat arus alpha iaitu arus ketenangan.

ii.   Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah

Aktifkan hidup pasti kita tidak akan sempat untuk melayan perasaan yang membuai-buai. Kebanyakan mereka yang mengalami komplikasi jiwa adalah mereka yang kerap mengenang kisah-kisah silam atau kenalan lama.

Ini termasuklah bekas kekasih ataupun terlalu mengenang kata-kata buruk orang terhadapnya. Dengan mengaktifkan diri melakukan sesuatu yang baik, perasaan dapat diberikan tugasan. Lantas ia tidak akan melalut pada kenangan-kenangan yang tidak memberi faedah.

iii.  Kuatkan pergantungan dengan ALLAH SWT

Dengan hanya mengingati ALLAH SWT, hati kita akan menjadi tenang. Ada banyak lagi kaedah agar kita sentiasa teguh dengan tali-NYA. Di antaranya ialah tidak sesekali meninggalkan semua suruhan yang wajib seperti solat, puasa atau zakat, selalu membaca al-Quran, menghayati sirah Nabi Muhammad SAW serta sentiasa menambah amalan-amalan kebaikan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“(Iaitu) orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenteramlah hati manusia.” - Surah ar-Ra’d: 28

Sumber: Sinar Harian 
http://www.sinarharian.com.my/buku/komplikasi-jiwa-muslim-merungkai-komplikasi-diri-1.131267

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular