Saturday, May 11, 2013
Mari berdoa untuk Ustaz Azizan
MUHAMAD MAT YAKIM (sinar harian)
10 Mei 2013
PAGI kelmarin, hati saya diceriakan oleh berita akhbar mengenai pertemuan Datuk Mukhriz Mahathir dengan Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang ketika itu sedang dirawat di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar. Pertemuan mereka berlangsung petang sebelumnya.
Dalam berita yang baru saya baca itu, dilaporkan Azizan berpesan kepada penggantinya, Mukhriz untuk memastikan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) dan Maktab Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri yang baru.
Bukan pesanan itu saya anggap istimewa tetapi kesediaan Mukhriz untuk menziarah Azizan yang sedang uzur sebagai tanda hormat, mendapatkan pandangan dan nasihat walaupun masing-masing berbeza pendirian politik, bagi saya cukup luar biasa!
Meskipun kunjungan itu mungkin biasa bagi sesetengah orang, namun dalam konteks politik apa lagi ketika kesan pilihan raya masih berbahang, apa yang dilakukan Mukhriz membawa nilai dan makna tersendiri bagi mereka yang mahu melihat peristiwa itu dari kaca mata perpaduan.
Bukan kita tidak pernah dihadapkan dengan cerita pertentangan antara yang mengganti dengan yang diganti termasuk sama parti. Saya masih tidak lupa apa yang berlaku di Kedah sembilan tahun lalu.
Lalu apa yang dilakukan oleh Mukhriz, juga kesediaan Azizan untuk menerima baik kunjungan 'seteru' yang baru menumbangkan kerajaannya, adalah cerita yang sangat besar bagi saya. Ia tentu dianggap besar juga oleh ramai orang lain yang ternanti-nanti akan episod perpaduan dalam politik Melayu di sebalik fenomena 'tsunami Cina' pada pilihan raya lalu.
Mukhriz membawa penampilan yang segar dalam gaya baru berpolitik yang boleh dijadikan sandaran untuk masa depan politik orang kita.
Manakala Azizan sememangnya diketahui sering bersikap terbuka terhadap pemimpin Umno hingga keterbukaan itu turut membuka dadanya sendiri untuk dijadikan sasaran oleh pihak yang menentangnya dalam Pas.
Mereka berusaha menjatuhkannya dengan tohmahan kononnya dia melebihkan orang Umno daripada orang Pas sendiri dalam pentadbiran negeri.
Azizan tetap Azizan!
Sebagai orang terpelajar, dia tidak mudah tunduk kepada budaya politik sempit. Berbekal didikan langsung daripada Datuk Fadzil Noor, istiqamah Ustaz Azizan tidak harus diragui meskipun dia sering menunjukkan sikap yang lunak dan mesra terhadap seteru politik.
"Di Kedah, Pas dengan Umno seperti adik abang," demikian dia pernah kata ketika kami bersembang di pejabatnya dua tahun lalu. Ustaz Azizan menyatakan itu ketika saya tanya mengenai kemesraannya dengan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Mahdzir yang sering saya lihat hampir berpelukan setiap kali berjalan keluar dari sidang Dewan Negeri.
Dalam saya melayan perhatian terhadap berita istimewa itu, tiba-tiba telefon bimbit berdecit: Ustaz Azizan tenat di Hospital Pulau Pinang!
Serta merta rasa sebak menyerbu dada.
Saya segera hubungi setiausaha politiknya, Sanusi dan diberitahu, bekas MB Kedah itu memang dalam keadaan kritikal akibat komplikasi diabetik.
Saya teringat, sehari sebelumnya - pagi 6 Mei - saya diberitahu Helmi Khalid, setiausaha akhbar Azizan bahawa bosnya itu berada di KMC untuk menjalani rawatan kaki.
Rupa-rupanya luka kecil - sebagaimana yang disebut Helmi - di kaki bekas MB Kedah itu yang dibiar lama, bertangguh untuk berjumpa doktor kerana kesibukan berkempen sebelum pilihan raya, telah melarat hingga menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad.
Masalah diabetik Azizan sememangnya sudah berada pada tahap yang agak serius.
Petang 6 Mei, saya difahamkan memang ada usaha daripada pihak Mukhriz untuk MB Kedah yang baru itu menziarahi Azizan di KMC selepas upacara angkat sumpah di Istana Anak Bukit.
Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila proses rawatan yang dijalani Azizan pada petang itu menghalang.
Ketika catatan ini ditulis petang semalam, saya dapat SMS memaklumkan Azizan akan jalani pembedahan major berikutan keadaannya yang agak kritikal.
"Kalau hang nak balik mai pun eloklah. Aku tau hang rapat dengan dia," kata rakan lama saya, seorang doktor dalam pasukan petugas yang merawatnya.
Rapat? Tidak, hubungan saya dengan Azizan bukanlah rapat. Malah saya percaya, dia tidak ingat pun nama saya. Sepanjang dia jadi MB Kedah, hanya beberapa kali sahaja kami bertemu.
Namun bagi saya, sanjungan kepada seseorang pemimpin tidak harus bersyarat. Jangan kita menyanjung hanya apabila kita dikenali secara peribadi. Sebagai pemimpin, mereka tentu ada terlalu ramai kenalan untuk diingat kesemua nama.
Jadi itu bukan halangan bagi saya untuk menyanjung Azizan. Apa yang saya tahu, setiap kali tulisan saya mengenainya disiarkan, Azizan pasti bertanya kepada rakan setugas di Alor Setar, Roslinda:
"Ni sapa pulak yang dok tulih merapu pasai saya ni?"
Lalu dijawab oleh Roslinda: "Lhaa Datuk Seri, Che Mat yang tulih tu. Che Mat orang Mahang, Kulim tu..."
"Oh, dia ka, kirim salam kat dia. Habaq kat dia, jangan dok tulih cerita merapu pasai saya," balasnya sambil tertawa. Apa yang dimaksudkannya sebagai 'merapu' ialah tulisan saya yang ada unsur pujian terhadapnya.
Difahamkan, dia pernah memarahi pegawai-pegawainya kerana tidak memperkenalkan saya kepadanya ketika kami sama-sama hadir satu majlis anjuran Pejabat Menteri Besar Kedah di Petaling Jaya, empat tahun lalu.
Puncanya apabila Roslinda beritahu Azizan mengenai kehadiran saya di majlis yang dihadirinya itu hingga dia bertanya kepada pegawai-pegawainya: "Awat hang pa tak bawak dia (saya) mai jumpa aku!"
Selain itu, saya juga sampai mati tidak akan lupa peristiwa 'dimarahinya' ketika sedang melangkah masuk ke pejabatnya di Wisma Darul Aman pada suatu tengah hari dua tahun lalu untuk satu pertemuan tanpa temu janji.
"Assalamualaikum Ustaz, minta maaf saya mai ganggu Ustaz tengah sibuk ni," kata saya ketika berada di muka pintu.
"Alaikum salam, dah hang tau saya sibuk, hang dok mai buat apa?" jawab Azizan yang menyebabkan saya saling pandang memandang dengan setiausahanya dengan muka masam-masam manis.
Memahami itulah cara dia bergurau, kami kemudian bersembang mesra di meja kerjanya sebelum beralih ke meja makan.
Walaupun kena marah awalnya, saya hanya melangkah keluar dari pejabat Azizan selepas hampir dua jam 'mengganggunya'.
Walaupun kerajaan telah bertukar di Kedah, saya yakin semangat yang dibawa Azizan tidak akan berubah.
Mukhriz dalam lawatan ke Seri Mentaloon pagi semalam menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha baik Azizan menjadikan kediaman rasmi itu sebagai pusat kuliah agama mingguan untuk rakyat Kedah.
Azizan kini bukan lagi menteri besar.
Namun saya percaya, dia akan sentiasa dekat di hati rakyat sebagai pemimpin yang berjiwa bapa.
Marilah kita sama-sama berdoa untuknya, yang telah menunjukkan teladan perpaduan yang baik dalam kancah politik yang telah banyak memecah belah bangsa dan umat kita mutakhir ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan