Isnin, 17 Jun 2013

3 portfolio: Kepercayaan MB Selangor kepada PAS


DETIK DAILY

"Saya tidak akan membelakangkan keputusan parti berkaitan hukum agama. Saya juga akan menamatkan perkhidmatan Ketua-ketua kampung yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab ketika men
jalankan tugas," kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, YB USTAZ SALLEHEN MOKHYI ketika ditemui di pejabatnya tingkat 15, SUK, Shah Alam, baru-baru ini.

 YB memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa. Sudah tentu tiga portfolio yang begitu besar kerana ia melibatkan pembangunan manusia.
 
 Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang beri kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas exco Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar. Kepercayaan ini mungkin satu penilaian atau satu penghormatan Tan Sri kepada saya. Ia juga kepada PAS yang cukup berkeupyaan untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini.

Saya bukan sekadar berlatarbelakang pendidikan agama, tapi saya orang kampung yang hidup dan membesar di luar bandar. Dalam waktu yang sama saya berada di persekitaran dunia pertanian di utara Selangor. Ini merupakan kawasan pertanian yang terbesar di Selangor.

Saya memang nampak kerja ini agak berat. Apabila saya menilai kerajaan Pakatan Rakyat telah mengurus tadbir Selangor sepenggal, ini bererti saya tidak menghadapi kepayahan sangat. Kita telah merintis perjalanan itu dengan rakan-rakan pada penggal lalu. Di tambah dengan moto Selangor `Meneruskan Kecemerlangan'. Tugas saya menjadi sedikit lebih ringan kerana kita telah ada program yang lepas dan boleh digunakan untuk penggal kedua ini.

Cuma perlu melakukan penambahbaikan daripada beberapa sudut dan boleh dilakukan melalui pencambahan idea dikalangan sahabat dan rakan kita samada dalam parti atau kerajaan.

Kita tidak kurang pemikir yang selama ini teruji dan berjaya dalam program kita. Saya sendiri telah menemui beberapa orang pegawai berkaitan dengan portpolio dan kerjasama sangat baik. Semua ini menjadi laluan mudah untuk mengurus tadbir tiga portfolio. Saya harap saya berjaya dan rakyat berasa puashati dengan urus tadbir yang akan saya lakukan nanti.

Bagi saya ini satu kepercayaan yang mesti saya jaga kerana boleh jadi buat pertama kali exco daripada PAS diberi tanggungjawab menyelia pertanian dan pembangunan luar bandar.

Exco Hal Ehwal Agama berhadapan dengan cabaran cukup besar memandangkan Selangor mempunyai rakyat yang majmuk. Adakalanya ia menimbulkan kontroversi apabila melibatkan bab-bab hukum. Jika ia berlaku, bagaimana YB menghadapi situasi ini?

Kadang-kadang kontroversi itu timbul bukan kerana ia suatu perkara yang sukar untuk diatasi. Mungkin timbul kontroversi boleh jadi permainan akhbar arus perdana. Ditambah dengan kenyataan yang dibuat dalam keadaan tidak ada persediaan yang terdedah dengan kesilapan dan dimanipulasi oleh golongan tertentu.

Bagi saya dalam saya mengendalikan Hal Ehwal Islam, apapun berkaitan dengan perkara dasar atau asas, saya akan pergi dulu kepada Tuanku Sultan. Manakala keputusan yang bersifat parti politik saya akan pergi kepada Presiden atau parti.

Dalam hal berkaitan agama kita ada Ketua agama di Selangor. Jadi saya perlu bekerjasama baik dengan Tuanku Sultan. Bukan sekadar melaporkan bahkan perancangan dan apa pelaksanaan untuk rakyat Selangor. Adapun perkara yang bersifat perlaksanana, saya kena merujuk pada enakmen yang sedia ada. Yang kadang timbul kontroversi ini kerana kita menjawab sesuatu yang bukan dalam bidang tugas kita.

Dalam masa terdekat ini apakah YB akan tutup kilang arak dan rumah urut?

Ini bukan bidang kuasa exco Hal Ehwal Agama. Exco Agama tidak boleh menyatakan kehendaknya menutup semua itu. Ini semua akan menimbulkan kontroversi. Jadi, biar kita bercakap dalam bidang tugasan kita. Jadi, dalam bidang kerja ini, kita sudah ada enakmen tertentu yang perlu kita patuhi dan hormati. Sebab itu, selalu kontroversi timbul mengenai perkara-perkara pertembungan yang bukan sahaja dengan orang Islam tetapi dengan orang bukan Islam.

Bidang tugas saya fokus kepada kehidupan orang Islam itu sendiri untuk meningkatkan nilai kehidupan manusia. Pertama sekali kita mesti angkat mereka sebagai hamba Allah. Kedua meningkatkan tahap kehidupan masyarakat Islam sama ada soal kemiskinan, kefakiran serta urus tadbir pendidikan Islam. Ini kita kena lihat dalam konteks bidang kuasa saya dan enakmen yang telah disediakan.

Sekiranya timbul beberapa perkara seperti berlaku pertembungan, saya fikir tidak perlu membuat kenyataan terlebih dahulu. Saya bukan orang yang suka buat kenyataan sebelum membuat penyelesaian yang berkaitan. Seperti kes serbuan tehadap kuil atau gereja suatu ketika dahulu yang mengundang kontroversi. Ini kerana keluar kenyataan demi kenyataan tanpa persetujuan dalam Pakatan Rakyat. Jadi, dalam perkara dasar seperti ini kita kena rujuk kepada Tuanku Sultan terlebih dahulu.

YB tidak akan membelakangkan parti dalam membuat keputusan berhubung hal-hal agama Islam?

Ya, perkara yang berkaitan saya, saya boleh putuskan. Manakala hal yang saya lihat perlu komitmen parti, maka saya tidak akan buat apa-ap keputusan melainkan serahkan dahulu kepada kepimpinan untuk buat keputusan. Ini dapat membantu untuk menyelesaikan sesuatu pekara.

Selangor turut memiliki kawasan pertanian iaitu sawah dari Tanjong Karang ke Sungai Besar. Bagaimanapun, seolah-olah tidak nampak keutamaan kerajaan negeri mengutamakan hasil pertanian?

Ya, memang di Selangor kita tidak boleh lari daripada negeri yang menumpukan industri sehingga menyumbang hampir 50 peratus pendapatan negara. Tetapi kita masih lagi mengekalkan kawasan hijau iaitu pertanian. Selangor tetap menjadi pembekal makanan negeri dan negara yang perlu dipertahankan.

Alhamdulillah, keputusan kerajaan negeri meletakkan kawasan pertanian di Selangor sebagai kawasan hijau tidak boleh dibuat pembangunan. Sebenarnya kita masih mempunyai kawasan pertanian yang besar walaupun Selangor sudah menjadi negeri industeri. Keputusan kerajaan ini memberikan satu tugas dan tanggungjawab kepada saya untuk menaikkan taraf pertanian di Selangor. Ini kerana Selangor antara penyumbang pada ekonomi negara. Kita juga masih menjadi pembekal dan menyumbang bekalan makanan dalam negeri yang banyak. Selangor antara negeri pengeluaran padi yang paling berkualiti di Malaysia.

Selain itu, sebahagian besar rakyat Selangor masih mendapatkan sumber pendapatan melalui pertanian. Cuma, kita harapkan kerajaan negeri akan terus mempertahankan sektor pertanian. Dalam waktu yang sama kita hendak naikkan taraf kehidupan mereka.

Sebab itu Menteri Besar memfokuskan pembangunan pada luar bandar. Ini merupakan satu pengikhtirafan luar bandar sebagai kawasan pertanian disamping meningkatkan taraf ekonomi mereka untuk bersaing dengan masyarakat luar bandar.

Ada penambahbaikan yang YB akan lakukan kepada golongan petani?

Kita bantu mereka menaikkan kos yang lain seperti bantuan sara hidup atau sediakan beberapa kemahiran lain untuk menjana ekonomi mereka. Kita banyak beri bantuan kepada golongan nelayan, kita bagi bot, petani bagi racun dan baja. Kita juga akan bantu kepakaran teknologi. Bagaimana hendak meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Umpamanya pesawah yang mengalami padi angin yang banyk sehingga mengurangkan pendapatan. Gangguan makhluk perosak atau penamanan yang tidak mengikut skema. Ini kita akan salurkan teknologi kepakaran dan bekalkan kemudahan untuk mengurangkan bebanan kewangan.

Saya akan bincang dengan rakan-rakan pertanian termasuk veterina, macam mana kita boleh beri satu program kepada rakyat dalam bentuk `mentor'. Kita bukan sekadar bagi bot tetapi kita bagi program perkongsian dan ada mentor.

Katakanlah ada lima orang beliau hendak menternak ayam. Mereka sediakan kawasan dan kerajaan negeri sediakan mentor (pengawal mereka). Ayam kita akan beri tetapi mereka mesti mengikut program kita. Apabila hasil dikeluarkan dan untung maka kita serahkan untung kepada mereka. Ini program mentor yang kita akan lakukan selain kita cuba berbincang membawa pelabur luar kepada pertanian.

YB, pembangunan desa suatu yang sukar untuk dilaksanakan jika tidak mendapat sokongan daripada penduduk. Sebagai langkah pertama, apa yang YB fikirkan untuk pembangunan desa?

Saya nampak jika negeri sediakan prasarana atau bajet banyak tetapi manusia yang hendak menggerakkan itu tidak amanah dan tidak memikul tanggungjawab, maka kita akan gagal.

Kita tidak mahu menjadi program melepaskan batu di tangga. Sebab itu, pembangunan desa ini saya mengurus Ketua-ketua kampung. Saya mengurus penghulu. Ini elemen yang penting untuk sama-sama menjayakan pembangunan desa. Jika ketua kampung gagal berfungsi bagi saya, banyak mana bajet kerajaan negeri, kita akan gagal juga.

Saya mengurus Ketua kampung lebih kurang 368 orang tidak termasuk permohonan ketua kampung yang baru. Saya fikir sebelum kita laksanakan program pembangunan desa, 368 orang Ketua kampung ini mesti berfungsi.

Saya lihat ada jawatan ketua kampung tetapi mereka tidak buat mesyuarat, tidak buat profil kampung. Akhirnya, apabila kita bagi tugas orang macma ini, terhalang semua kerja kita. Kita bukan diboikot oleh orang Umno tetapi ketua kampung yang tidak amanah tidak menjalankan tanggungjawab.

Kita hendak ketua kampung mesti amanah. Saya sudah bercakap dengan Menteri Besar, mana-mana ketua kampung yang cuai kita tamatkan perkhidmatan mereka. Kita kena berani jika kita betul-betul mahu menjayakan pembangunan desa. Elemen ini mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Sebenarnya ketua kampung bukan sekadar elaun mereka kita naikkan, kita tambah lagi seorang ketua kampung dengan peruntukkan lebih kurang RM10,000 setahun. Ada ketua kampung yang langsung tidak gunakan peruntukkan itu, ada ketua kampung yang ada program membersihkan kawasan setahun empat kali tetapi mereka hanya buat sekali. Ini yang kita tidak mahu.

Kita akan rancang penduduk kampung tidak berasa mereka tertinggal jauh dengan suasana bandar. Daripada sudut kualiti hidup, kewangan, meningkatkan taraf kehidupan keluarga dan prasarana setempat. Sebagai contoh, jika orang di bandar ada lampu jalan di kampung pun kena ada lampu jalan.

Melestari desa ini kena ikut sama berkembang dalam memahami acuan ekonomi dalam kerajaan negeri. Jika rakyat Selangor mempunyai taraf hidup yang baik, kerajaan negeri sudah mempunyai keuntungan. Walaupun bukan daripada sudut duit. Mereka tidak jadi orang susah, mereka tidak menanggung bebanan sakit kronik begitu juga golongan belia tidak menganggur dan tidak terlibat dengan gejala dadah dan sebagainya.

Kita hendak jadikan 10 hingga 20 kampung sebagai kampung contoh. Sebahagiannya kita mulakan di kampung utara Selangor iaitu dari Kuala Selangor hingga Sabak Bernam begitu juga di Hulu Bernam. Ini kerana kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu, belum dapat menembusi masyarakat kampung di utara Selangor.

Mungkin mereka masih berfikiran lama tidak mahu melakukan perubahan. Mungkin juga mereka melakukan protes kerana kerajaan negeri tidak memberikan keutamaan kepada mereka dalam pembangunan jasmani dan rohani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular