Dari Bendul Firasat Saya: Tuhan Jangan Kau Zahirkan Kesedihan Ini
SAYANG TOK GURU
|
Cuba renungi gambar Tokguruku ini dengan penuh perasaan. Fikir apa yang beliau dengar, pandangan dan harapkan! |
Entah mengapa dalam beberapa jam terakhir ini hati saya tidak
sedap, dada berdebar-debar dan bergeduk persis ombak yang tidak sudah
sampai ke tebing pantai. Ada debar kecil dan debar besar beralun dan
'berungga-rungga' menyinggahi ke segenap pembuluh darah.
Dada menjadi sebak seakan diri tidak keruan. Akan kehilangan sesuatu
yang disayangi! Saya cuba menempis agar rawan itu menjauhi saya dan
tidak menganggui benak saya. Saya mahu bahagian bersama. Saya tidak mahu
dan benci untuk melihat bayangan ini menjelma menjadi realiti. Tolong
Tuhanku.
Hati kecil pula berkata-kata yang sukar untuk difahami apa lagi
ditafsirkan untuk alam semesta. Keluhan terus bergulung didalam diri
kemudian terhempas di pengkalan hati. Rasa bimbang, cemas juga
membelenggu seluruh diri. Perasaan ini pelik dan anih buat saya. Ia
bergedung gedang...
Meskipun semalam dan kelmarin sudah saya
membayangkan kebimbangan ini, bahkan telah terlafaz kepada seseorang,
namun saya harap ia adalah ketersasulan isengan saya saja. Semoga ia
tidak menjadi kebenaran dan itu adalah ilusi kebimbangan saya yang
sangat menyayanginya dan takut kepada persaraanya.
Saya dengan dia bukan saja murabbi, pemimpin, guru, bahkan dia juga
sahabat dan kawan yang boleh ditenking dan memarahi. Dia menerima segala
ulah biadab saya dengan penuh kesabaran dan insaf yang dia dengan saya
adalah sama nilainya dari sisi Tuhan, yang kami sama-sama makhluk. Dia
juga ayah dan tempat saya mengadu dan menghempaskan perasaan.
Keribaannya sedia mendengar apa sahaja yang diluahkan ke atasnya
termasuk mendengar ucapan dan kata bodekan dan pujian munafik.
Setiap kali saya mendatangi saya tidak datang membawa duri atau datang
membawa hipokrasi. Apa lagi datang membawa kata-kata indah aku "sayang
kepadamu", "aku kasih kepadamu", "aku taat dan sujud kepadamu". Atau
we love
Tokguuru. Tidak... saya selalu datang dengan rupa diri dan sikap saya
sejati. Sikap dan fiil berterusn terang. Saya menjujung kemuliaannya
dengan apa yang ada kepada saya.
Apabila orang yang mulutnya penuh dengan pujian dan pengakuan sayang dan
kasih serta kononnya sedia akur atas apa pandangan, telah munafik
dengan kata-kata saya kira itu satu pengkhinatan buat dia. Sikap itu
menambahkan penderitaan fizikalnya yang kian lanjut usia. Kenapa berlaku
demikian? Kita seharusnya bukan menyedihkan dia tetapi mengembirakan
dia. Kita bukan menyebalkan wajahnya tetapi berbuat agar wajahnya senyum
tulus.
Dalam sehari dua ini dan membawa kepada sejam dua ini, saya dapat
merasakan dia serabut. Dadanya tertekan dengan segala macam olah anak
buahnya. Sebagai manusia dia juga tidak dapat menahan amarahnya.
Ketidaksempuraan itu menyempurnakan dirinya sebagai mahluk Allah. Maka
saya sangat bimbang takut dia juga 'merajuk' atas rasa sakit hati
ataupun kerana bisikan kecil jiwanya tidak didengari dan
keinginan-keinginan beliau yang tidak dapat disebutkan dan dileraikan.
Hakikat yang kena terima dia juga masih manusia biasa.
Saya bimbang dan saya cemas. Saya takut kini. Atas itu semua menyebabkan
fikiran huduh saya terfikir, macam mana kalau tiba-tiba dia merembaskan
segala perkakas dan serahkan kepada sesiapa saja yang berhak dan
sanggup memikulnya? Dia mengambil keputusan berundur perlahan-lahan dari
kamar tanggungjawabnya sebagai ketua dan pemimpin. Dia akan membuka
pintu amanah yang dijaganya dan beranjur-anjur keluar dari bangunan yang
membelenggunya sudah 23 tahun itu. Mungkihkan?
Saya bimbang. Dan saat saya mencatat epilog ini air mata saya berjujuran
dan sukma saya amat dukacita. Hati saya sebak dan sebal membelit
keterkilanan yang panjang. Doa saya meminta agar apa yang saya
firasatkan ini tidak terjadi. Biarlah dia berundur dan beranjur keluar
selepas segala-galanya selesai. Namun siapalah kita boleh menahan
kemahuan. Kalau dia juga ingin berbuat begitu, maka saya dan kita semua
pasrah dan berdosa panjang atas apa yang bakal berlaku. Iya kita semua
adalah pendosa... pendosa.
Cuma sekali lagi saya nak bisikkan di sini, semua antara kita carilah
sebab musabab kalau tindakan itu berlaku kelak. Tanya dan soalkan diri
kita siapakah yang bertanggungjawab. Siapakah yang membuatkan dia akur
dengan keadaan dan tiba-tiba merasa lelah amat sangat. Nah, orang yang
membikinkan itu kena bertanggungjawab. Mereka yang menjadi puncanya kena
'bertaubat'. Yang wajibnya harus melunasi segala hutang perasaan itu
dengan kemenangan yang besar.
Tuhan itu selalu adil dan tidak pernah menyimpang dari janji-janjiNya.
Pagi tadi kita gembira, petang ini kita sedih, dan malamnya tidak
mustahil kita akan pengsan dengan kedukaan yang menimpa-nimpa dan
kesalahan yang tidak akan ada penghujung yang kita sendiri menciptanya.
Cuba renung gambar dan wajahnya di atas. Tilik senyuman manisnya. Hayati
renungan jauh matanya yang teduh mengharap. Hantar perasaan kita ke
dalam kalbunnya dan hayatilah didih panas jiwanya kerana menanahan sabar
atas kerenah anak-anaknya yang jarang atau terlupa berterima kasih
sesudah mendapat semangkuk madu hasil cakiran. Tokguru aku tidak bisa
menanahan kemahuanmu yang ini. Bantulah aku...
[wm.kl.6:09 pm 09/04/13]
Kredit buat MSO : Dipetik dari http://msomelayu.blogspot.com/2013/04/dari-bendul-firasat-saya-tuhan-jangan.html#more