Selasa, 19 Februari 2013

Cara Orang-Orang Dahulu Ke Mekah Menunaikan Haji


MENGHARUNGI lautan, terpaksa meredah ombak dan badai merupakan antara cabaran para jemaah haji yang mahu ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima itu satu ketika dahulu.
Seawal abad ke-15 sudah terdapat jemaah haji dari negara ini yang pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal layar yang memakan masa berbulan-bulan.
Ada antaranya kembali semua ke tanah air dengan selamat. Ada pula yang terus bermastautin di Mekah dan tidak kurang juga yang disemadikan di laut akibat meninggal dunia sama ada dalam perjalanan pergi mahupun perjalanan pulang.
Suasana Di Pelabuhan Pulau Pinang Pada Musim Haji 1960-an
Biarpun sukar dan menuntut pelbagai pengorbanan panggilan Baitullah itu tetap disahut.
Namun, apabila dunia semakin maju dengan teknologi pengangkutan semakin berkembang maka perjalanan untuk menunaikan fardu haji juga turut berevolusi.
Daripada perjalanan menggunakan kapal layar ketika zaman kesultanan Melaka, rakyat negara ini mula berubah menggunakan kapal stim dan kemudian berubah kepada yang menggunakan enjin diesel.
Perjalanan mengerjakan ibadat haji kini yang mengambil masa sekitar lapan hingga sembilan jam dengan menggunakan kapal terbang cukup mudah berbanding dahulu yang perlu menempuh lebih sebulan pelayaran pergi dan balik.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui kapal laut bernama Mendam Berahi dan Subulus Salam dari Tanah Melayu pernah berlabuh di pelabuhan Yuddah (Jeddah) sebelum adanya kapal terbang.
Bagai telur di hujung tanduk. Demikian diibaratkan kesungguhan bakal haji ketika itu. Apa tidaknya, mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga tetapi 'menyabung nyawa' dengan menumpang kapal dagang yang belayar mengelilingi Asia Tenggara dengan memakan masa berbulan-bulan untuk menuju ke Tanah Suci.
Jemaah haji tanpa mengira jantina, warga tua dan golongan kelainan upaya bersesak-sesak di samping terdedah dengan cuaca yang tidak menentu dalam kapal yang serba kekurangan terutama daripada segi jaminan kesihatan.
Kapal Malaysia Kita
Kapal "Malaysia Kita"
Panjangnya ialah 163.6m. Nama asal kapal "Malaysia Kita" ialah "Vietnam" dan ia dilancarkan pada 14 Oktober 1951 bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada bulan September 1967 nama "Vietnam" ditukar kepada "Pacific" dan menjalankan perkhidmatan Australia -- Tahiti. Pada tahun 1967 kapal ini dibeli oleh syarikat Great Malaysian Lines dan namanya ditukar kepada "Malaysia Kita" dan digunakan untuk mengangkut jemaah haji dari Malaysia ke Jeddah. Nasib malang menimpa kapal ini di mana ia mengalami kebakaran pada tahun 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan akhirnya tenggelam. Pada ketika itu saya berada di Singapura bertamu di rumah abang sulung dan sempat menyaksikan kapal ini terbakar, tapi sayang saya tidak ada kamera untuk merakam peristiwa tersebut.
http://www.merchantnavyofficers.com/hadj.html


Bagaimanapun, segala kesusahan itu bukan halangan kepada umat Islam di negara ini yang bertekad menyahut seruan ilahi ke Baitullah. Biarpun berhadapan kesukaran, jumlah bakal haji tidak pernah berkurang. Malah meningkat saban tahun tanpa mengira musim kecuali pada waktu tertentu seperti berlaku peperangan.
Menjelang abad ke-19 Masihi, pelayaran jemaah haji dari Tanah Melayu ke Mekah mula berkembang apabila kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan Pejabat Hal Ehwal Haji.
Jabatan tersebut bertanggungjawab menguruskan segala hal jemaah haji dan perjalanan haji termasuk menyediakan kapal laut bagi membawa jemaah ke Mekah.
Antara lokasi tumpuan adalah Masjid Melayu, Lebuh Acheh di Pulau Pinang.
Apabila tiba musim haji, kawasan masjid itu dipenuhi dengan orang ramai bukan sahaja dari seluruh pelosok tanah air malahan juga dari Singapura, Indonesia dan Thailand. Mereka menjadikan kawasan masjid itu sebagai tempat tidur sementara menunggu kapal bertolak ke Mekah.
Kapal Anshun sedang berlabuh di Singapura.
(Drpd : http://msaadhamid.blogspot.com)
Dahulu, jika seseorang ingin menunaikan haji, sheikh haji atau ejen penjual tiket hanya menyediakan bilik yang mampu menampung sehingga lima orang di hotel-hotel murah di sekitar masjid itu.
Bagaimanapun, sanak saudara yang mengiringi seseorang bakal haji kadangkala mencecah dua bas.
Pada tahun 1936, Pejabat Hal Ehwal Haji bekerjasama dengan syarikat Blue Funnel Line untuk membawa jemaah haji ke Mekah dengan 21 kapal laut.
Bagaimanapun, pada tahun 1951 hingga 1952, urusan tersebut dipindahkan kepada syarikat kapal laut China Navigation Line yang bernama Anshun dan Anking.
Bayaran tambang pergi dan balik termasuk penginapan di Mekah pada tahun 1970-an berbeza mengikut kelas yang diambil oleh jemaah.
Bayaran bagi Kelas I RM1,150 (satu bilik berdua di tingkat satu); Kelas II RM1,063 (empat orang sebilik di tingkat satu); Kelas III RM941 dan pelancongan adalah RM764 di (konsep dorm di tingkat dua dan tiga).
Pada tahun 50-an dan 60-an pula, bagi Kelas I, tambang pergi dan balik dari Pelabuhan Swettenham ialah RM875, kelas II (RM800). Jika mahukan tambang murah jemaah boleh duduk di atas dek hanya dengan bayaran RM600.
Jemaah haji terutama yang kurang berkemampuan terpaksa menggadaikan harta, tanaman, tanah, haiwan ternakan dan sebagainya untuk membayar tambang kapal laut ke Mekah.
Bagaimanapun, selepas 27 tahun, perjalanan haji adalah lebih sistematik. Ia berikutan penubuhan sebuah organisasi iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH).
Fungsinya mengurus kewangan dan simpanan bakal-bakal haji supaya mereka tidak perlu lagi menggadai harta benda untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
PWSBH menggunakan tiga kapal laut untuk membawa jemaah haji ke Mekah iaitu Malaysia Kita, Malaysia Baru/Ratu Timur, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 jemaah dalam setiap kapal pada satu masa.
Kapal Haji " Kuala Lumpur "
Bagi memantapkan lagi operasi pengurusan haji, kerjasama strategik antara PBSBH diwujudkan dengan Pejabat Hal Ehwal Haji. Ia membawa kepada terhasilnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 sebelum menjadi Lembaga Tabung Haji (LTH) pada tahun 28 Ogos 1997 dengan menggunakan singkatan nama TH.
Kejayaan TH mengurus jemaah haji negara mendapat pujian malah diiktiraf sebagai antara agensi terbaik di dunia termasuk oleh kerajaan Arab Saudi
Berita Harian, 8 Nov 

IBADAT haji di negara ini dipercayai bermula sejak kedatangan Islam ke gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 13. Namun, catatan sejarah yang jelas mengenai perkembangan haji di negara ini sukar diperoleh secara terperinci kerana tidak banyak maklumat mengenainya.
Dipercayai orang Melayu yang berkemampuan dan terbabit dalam aktiviti pelayaran ialah kelompok terawal menunaikan haji, namun tiada catatan atau apa-apa penunjuk aras mengenainya ditemui.
Pengamal perubatan Portugis, Tom Pires mencatatkan dua pemerintah Melaka ada menyatakan hasrat ke Makkah iaitu Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456-1477 Masihi atau 860-881 Hijrah dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488 Masihi/881-893 Hijrah). Namun, kedua-duanya tidak dapat meneruskan niat mereka kerana mangkat.
Dalam catatan itu, Tom Pires menjelaskan kedua-dua pemerintah sudah membuat persediaan, termasuk menyediakan emas yang berganda jumlahnya dan mempersiapkan kapal untuk pelayaran menunaikan haji.
Catatan Tom Pires bagaimanapun, tidak boleh dianggap sebagai rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Makkah kerana ibadah haji itu sendiri adalah satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.

Kapal Haji Kuala Lumpur sedang berlabuh di Singapura
(Drpd : http://msaadhamid.blogspot.com)

Catatan yang tidak kurang penting mengenai jemaah haji dari Kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masihi (13 Hijrah).
Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Makkah ketika berusia 18 tahun. Dicatatkan beliau mengambil masa enam bulan untuk sampai ke Makkah. Tok Kenali kemudian mengambil keputusan menetap di Makkah bagi menuntut ilmu, di samping menunaikan umrah dan haji.
Beliau kemudian kembali ke Kelantan pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam. Selain beliau, beberapa ilmuwan Islam di Kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Makkah pada akhir abad ke 16 Masihi (10 Hijrah) dan Abdul Rauf Singkel menunaikan haji pada 1643 Masihi (1052 Hijrah).
Apabila tiba abad ke 19 dan 20 Masihi, muncul bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.
Cendekiawan Malaya Harun Aminurashid bergambar di atas kapal ketika menunaikan haji pada 1960.
Antara catatan yang menarik dihasilkan Munsyi Abdullah seorang terpelajar berasal dari negara ini yang menceritakan dengan teliti pelayarannya ke Tanah Suci pada 1854 Masihi (1270 Hijrah) melalui Hikayat Pelayaran Abdullah.
Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.
Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.
Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.
Harun menceritakan perit getirnya sepanjang perjalanan dengan kapal diberi nama Anshun. Antara petikan berkenaan ialah: “susah menjadi penumpang di dalam bahagian tengah kapal…orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar… di sini tiada keseronokan atau kebebasan seperti kebiasaannya ketika di darat…kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik daripada menunaikan haji, sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik.”
Selain Harun, ada beberapa tulisan lain yang menceritakan keterujaan mereka menunaikan haji serta gambaran perjalanan ke Tanah Suci seperti Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah yang diterbitkan pada 1937 Masihi (1355 Hijrah) dan Haji Ismail Haji Ishak dalam bukunya bertajuk, Ke Mekah Mengikut Jalan Darat (1975 Masihi/ 1394 Hijrah) .
Selain catatan perjalanan, ada juga ditemui penulisan jemaah haji berkisar mengenai perasaan, pandangan dan pemikiran mereka terhadap apa yang berlaku sepanjang perjalanan yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri, termasuk karya seni seperti puisi, lukisan dan poster.
Dicatatkan seorang jemaah haji yang tidak diketahui identitinya mengubah nazam menceritakan perjalanannya dari Kedah ke Makkah.

Kapal Malaysia Raya
Kapal "Malaysia Raya".
Nama asal kapal "Malaysia Raya" ialah "Laos" dan ia mula dilancarkan pada 21 Disember 1952. Sebagaimana "Vietnam", Laos ialah milik Messageries Maritimes bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada tahun 1971 "Laos" dibeli oleh syarikat Great Malaysia Line untuk dijadikan "kapal haji" dan ditukar namanya kepada "Malaysia Raya". Kapal ini juga mengalami nasib yang sama dengan "Malaysia Kita" iaitu mengalami kebakaran pada 23 Ogos 1976 di Pelabuhan Kelang dan tenggelam.
Sumber: http://www.merchantnavyofficers.com/hadj.html

Dalam nazam tulisan jawi itu, penulis menyatakan tiga bulan dari Kedahlah dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang, Jikalau angin dari belakang sampai ke Jeddah (laut) yang tenang…Dua malam tuan sudah di Jeddah hendak berjalan pula ke Makkah disewalah unta mana yang mudah kecil sedikit daripada gajah…”
Di akhir nazam dinyatakan 120 rahmat ke atas Kaabah iaitu 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang bersembahyang dan 20 bagi yang melihatnya.
Sejak 1900 hingga 1969, jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.
Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.
Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.
Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh.

Kapal Pengangkut Diwalra
INFO: Kapal haji
# Mendam Berahi (abad ke-15)
# Subulus Salam (1854),
# Antirorchus (1936), Bellophon (1936), Cyclops (1936) dan Potesilaus (1936)
# Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Eurubates, Glaucus, Idomeneus (1940-an)
# Prometheus (1950-an),
# Malaysia Kita, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur (1970-an).
Peristiwa 1947
# 670 jemaah haji Malaya berangkat ke Makkah melalui Singapura dan 1,326 melalui Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 1,729 pulang ke Malaya, manakala 200 lagi terus tinggal di Makkah; 67 meninggal dunia iaitu 31 ketika dalam pelayaran, manakala 36 di Makkah.
# Sebelum Perang Dunia Kedua hingga negara mencapai kemerdekaan, Singapura dan Pulau Pinang menjadi dua pelabuhan penting bagi jemaah haji Malaya.
# Kebanyakan jemaah sebelum merdeka dibawa ke pelabuhan dengan lori dan cara itu sering dikritik orang ramai menerusi akhbar. Satu peristiwa pernah menimpa jemaah di Pelabuhan Klang pada 8 Julai 1962 iaitu tragedi tangga patah menyebabkan 20 cedera ketika menyambut ketibaan jemaah haji di atas kapal `Kuala Lumpur’.
# Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul `Pilgrims Economy Improvement Plan’ kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.
# Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur. Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan `kepapaan’ selepas jemaah haji kembali ke tanah air, juga semakin pupus.
IBADAT haji menghimpunkan umat Islam tidak mengira warna kulit, latar belakang, keturunan dan lokasi ke satu tempat paling suci di tanah Arab iaitu Makkah.
Peredaran zaman menyaksikan perjalanan ke Makkah untuk mengerjakan haji melalui fasa perubahan daripada keperitan dan kesusahan kepada lebih mudah dan singkat untuk ke kota suci berkenaan.
Pada waktu dulu, ibadat haji hanya boleh dicapai mereka yang berhati cekal kerana banyak pengorbanan yang terpaksa di buat.
Pengalaman jemaah ke Makkah
# Penyair Parsi yang juga ahli falsafah Isma’ili, Naser Khosraw berasal dari Iran menceritakan beliau menyertai kumpulan karavan, suatu yang biasa pada zaman itu bagi perjalanan jauh untuk menunaikan haji.
Beliau dalam bukunya Safarnama menceritakan mengembara selama tujuh tahun dari 1046 Masihi (437 Hijrah) hingga 11 Masihi (443 Hijrah) menjelajahi bandar Islam sebelum sampai di Makkah untuk menunaikan haji.
Ditemani saudara lelaki dan pembantunya bergerak melalui Nishapur, Tabriz, Aleppo, Baitul Maqdis dan destinasi terakhir Makkah. Perjalanan itu adalah titik perubahan kerohanian Naser yang mana dalam usia 42 tahun, beliau mengambil keputusan meninggalkan kehidupan bangsawan dan menuju ke Kaherah untuk menjadi ulama.
# Penyair dan ilmuwan Sepanyol dari Granada, Ibnu Jubayr atau nama sebenarnya Abu Al-Husayn Ibnu Jubayr menceritakan kesukaran diganggu Tentera Salib dan perompak yang memang suka menjadikan rombongan karavan haji sebagai mangsa. Dicatatkan kepayahan rombongan haji yang disertainya berdepan kehadiran Tentera Salib Reynald de Chatillon iaitu pasukan yang dilatih khusus menyerang karavan haji.
Dalam catatan itu, diceritakan, rombongan terpaksa menggunakan unta menuju ke selatan Kaherah untuk ke Pelabuhan Aydhab di laut Merah sebelum ke Jeddah untuk ke Makkah.
# Pengembara Islam, Ibn Battutah menulis mengenai pengalamannya ke Makkah yang penuh berliku. Beliau mencatatkan bersendirian menyusuri laluan pinggir pantai dengan menunggang unta dan kuda sebelum menyertai karavan jemaah haji di Libya.
Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold
Lapan bulan kemudian beliau tiba di Makkah bersama jemaah lain pada 1326 Masihi (726 Hijrah) dan Makkah sering menjadi tempat persinggahan beliau sepanjang pengembaraannya. Banyak yang dikongsikan Ibn Battutah sepanjang perjalanannya, begitu juga kisah dan gambaran beliau mengenai Makkah.
# Laksamana Zheng He atau lebih dikenali Laksamana Cheng Ho yang berkhidmat di bawah Dinasti Ming juga melalui kesukaran sepanjang perjalanan menunaikan haji. Zheng He, laksamana angkatan laut yang pernah mengetuai tujuh misi diplomatik negaranya dari 1405-1433 Masihi (807-836 Hijrah) menyifatkan pengembaraan ke Makkah sebagai satu yang menakjubkan, dan tiba di Makkah pada pelayaran ketujuhnya, 1423-1433 M (835-836 Hijrah). Namun, wujud percanggahan pendapat antara cendikiawan dan sejarawan sama ada Zheng He benar-benar menunaikan haji atau sekadar singgah di Makkah.
# Pengembara Itali, Ludovico Di Varthema menjadi orang Eropah pertama menceritakan pengalamannya ke Makkah mengerjakan ibadat haji dalam karya bertajuk Itinerario (Itinerary – jadual perjalanan).
Status keislaman Varthema juga diragui, namun beliau berjaya menyertai angkatan tentera Mamluk yang bertanggungjawab mengiringi karavan haji ke Tanah Suci pada 1503 Masihi (908 Hijrah). Ketika dalam perjalanan dari Damsyik ke Makkah beliau merekodkan halangan yang terpaksa ditempuhi jemaah haji di tengah padang pasir.
# Wartawan Sepanyol, Muhammad Asad dari Galicia menulis pengalaman menunaikan haji bersama isterinya Elsa dengan kapal laut dari Mesir ke Jeddah.
Beliau menceritakan jemaah haji berasak-asak di atas kapal, disertai laungan ‘labayk, Allahumma, Labayk’ yang bersahut-sahutan. Jemaah haji Mesir dan Afrika Utara memenuhi setiap ruang dan sudut dalam kapal dengan berhimpit-himpit.
# Satu lagi catatan zaman moden ditulis Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold (1867-1963 Masihi (1283-1382 Hijrah). Beliau dipercayai wanita Eropah pertama merekodkan pengalamannya mengerjakan haji.
Lady Evelyn anak sulung Earl of Dunmore yang dipercayai memeluk Islam sejak kecil memulakan perjalanan secara sendirian ke Makkah menaiki kapal laut di Kaherah ke Pelabuhan Jeddah pada usia 66 tahun dan diberi kebenaran masuk ke kota suci itu oleh Raja Abdul Aziz Ibn Saud pada 15 Zulkaedah 1351 Hijrah bersamaan 12 Mac 1933.
Beliau yang mengembara menggunakan kereta Ford kecil menceritakan 10 hari masa yang diambil oleh unta untuk menamatkan perjalanan antara Madinah dan Jeddah , tiga minggu bagi pejalan kaki yang bergerak pada waktu malam.
# Pengembara haji, Malcom X, berketurunan Afrika-Amerika yang mengerjakan haji pada 1964 menceritakan cabaran sebagai warga negara Amerika Syarikat yang mahu menunaikan haji sehingga terkandas 20 jam apabila tiba di Jeddah. Beliau yang lengkap memakai ihram tidak dibenarkan masuk kerana diragui keislamannya.
Beliau akhirnya dibenarkan masuk ke Makkah, malah menjadi tetamu pemerintah Arab Saudi, Putera Feisal. Malcom memberitahu beliau mempelajari solat yang betul dan merasai semangat ummah (persaudaraan Islam) dalam tahanan 20 jam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular