Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Khamis, 25 September 2014

7 Amanat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary Kepada Para Usahawan Muslim


Dua hari lepas saya telah hadir ke majlis makan malam bersama orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB). Saya diberi peluang hadir di atas kapasiti GMB Kelantan di atas pelawaan mentor saya Tuan Nik Mohd Nasrudeen. Terima kasih!
Alhamdulillah, bagai mimpi jadi kenyataan apabila dapat bertemu dengan insan yang kita kagumi sejak dari bangku sekolah lagi. Lebih teruja apabila kami semua dapat mendengar sendiri ucapan ringkas daripada Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.


Malam itu kami semua bertuah kerana itu merupakan kali pertama di dalam sejarah beliau menyampaikan ucapan seperti itu!
Pada malam itu, beliau berkongsi mengenai pengalaman berniaga beliau secara ringkas yang dirumuskan melalui cerita lori dan beras. Ucapan beliau hanya berkisar mengenai dua perkara tersebut sahaja tetapi mempunyai pengajaran yang sungguh berguna untuk kami semua sebagai usahawan muda.
Setelah mendengar ucapan beliau, saya rasa sungguh malu dengan diri sendiri. Saya sungguh tidak sangka masih ada individu kaya raya yang cukup merendah diri seperti beliau.
Sepanjang ucapan beliau tidak henti-henti bersyukur kepada Tuhan dan mengatakan beliau tiada apa yang boleh dibanggakan, hanyalah insan biasa seperti orang lain.
Baiklah saya kongsikan sedikit mutiara yang saya dapat kutip daripada ucapan ringkas beliau mengenai ‘lori’ dan ‘beras’ mengikut pemahaman saya agar dapat memberi manafaat kepada semua.

#1 – Fokus Sebelum Pelbagaikan Perniagaan

Beliau nasihatkan agar para usahawan fokus kepada satu perniagaan terlebih dahulu sehingga stabil dan menguntungkan sebelum mempelbagaikan perniagaan. Beliau mempelbagaikan perniagaan setelah perniagaan pertama beliau telah stabil dan menguntungkan.
Perniagaan pertama perlu kukuh sebelum anda mempelbagaikan perniagaan supaya jika perniagaan yang baru kita ceburi tidak maju, maka kita boleh kembali kepada perniagaan pertama yang kita usahakan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya sendiri kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya sekarang, saya akan balik buat perniagaan yang mula-mula saya usahakan dulu. Perniagaan pertama saya masih beroperasi, lori dan kedai masih ada lagi di Kedah” tambah beliau dengan nada cukup rendah diri.

#2 – Kejayaan Perlukan Masa

Beliau juga nasihatkan agar usahawan muda jangan cepat nak berjaya. Setiap usaha sememangnya perlu melalui fasa kesusahan, cabaran dan sebagainya.
Beliau mengambil contoh diri beliau sendiri yang bermula dari bawah dengan membantu ayahnya menjual lembu dan kerbau di kampung sebelum mencapai tahap sekarang.
Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Biasanya apabila memperolehi kejayaan yang singkat, mudah jugalah untuk perniagaan yang kita usahakan itu jatuh. “Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang” jelas beliau ringkas.

#3 – Jangan Putus Asa

Ini adalah frasa yang kerap keluar dari mulut beliau. Beliau menjelaskan setiap perniagaan sama ada kecil ataupun besar akan mempunyai masalah, cabaran dan karenah yang tersendiri. Oleh itu, para usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan tunduk dengan masalah.
Saya ni tiada apa-apa, tiada apa yang istimewa tentang diri saya. Tetapi apa yang membezakan saya ialah bagaimana saya menghadapi setiap cabaran dan masalah di dalam perniagaan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya ni tiada apa-apa, tiada apa yang istimewa tentang diri saya. Tetapi apa yang membezakan saya ialah bagaimana saya menghadapi setiap cabaran dan masalah di dalam perniagaan” jelas beliau sekali lagi dengan nada rendah diri.
Beliau ada berkongsi susah payah mengenai perniagaan pertama yang beliau usahakan bersama rakan kongsi bukan bumiputera.
Bagaimana rakan kongsi tersebut menekan beliau sehingga terpaksa menggadaikan dua lot tanah milik keluarga untuk dijadikan modal tambahan bagi mengekalkan penguasaan share majoriti di dalam syarikat Bukhary Rice Sdn. Bhd.
“Kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya masa tu, maka kami sekeluarga boleh kehilangan tempat tinggal” jelas beliau.

#4 – Jangan Sekadar Mengharap Dibantu

Beliau sering mengingatkan bahawa beliau hanyalah orang biasa yang diberi peluang oleh kerajaan. Apabila diberi peluang, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh terhadap peluang tersebut.
Oleh itu, beliau berpesan kepada semua usahawan agar bukan sekadar berharap untuk dibantu tetapi bersedia dari segi fizikal dan mental untuk dibantu.
Ramai orang Melayu apabila kerajaan anugerahkan projek, mereka lebih cenderung untuk berikan projek tersebut kepada syarikat lain untuk usahakan kerana mengejar keuntungan jangka masa pendek. Majoriti syarikat Melayu akan memberikan projek kepada syarikat bukan bumiputera untuk mengusahakannya sebagai sub-company.
Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya diberikan 3 permit lori untuk membawa beras dan saya apply loan MARA untuk membeli lori. MARA berikan saya cukup-cukup RM110,000 untuk belikan sebuah lori. Ada usahawan Cina datang nak beli atau sewa dua lagi permit saya, tetapi saya tak bagi. Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti” kata beliau.

#5 – Yakin Dengan Diri Sendiri

Beliau juga mengharapkan agar para usahawan yakin dengan diri sendiri dan apa yang sedang diusahakan. Ramai usahawan bumiputera tidak boleh berjaya bukan kerana idea mereka tidak bagus, tetapi kerana tidak yakin dengan diri mereka.
Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita” jelas beliau.

#6 – Berniaga Bukan Untuk Diri Sendiri

Beliau terkenal sebagai seorang usahawan yang banyak memberi kembali kepada masyarakat. Malah beliau mempunyai lebih kurang 260,000 pekerja yang berkait secara langsung ataupun tidak dengan semua syarikat milik beliau. 80% diperuntukkan untuk golongan bumiputera.
Apa yang lebih menarik, beliau tidak menjual perniagaan beliau kerana memikirkan nasib golongan yang bergantung kepada syarikat beliau untuk mendapatkan sumber rezeki.
Jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Kedai dan lori-lori untuk perniagaan pertama saya masih lagi ada di Kedah. Perniagaan itu masih berjalan seperti biasa. Setiap lori akan ada tiga orang pemandu, jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan” jelas beliau.

#7 – Usahawan Islam Ada Akhirat

Beliau juga berpesan bahawa setiap usahawan Islam tidak sama dengan usahawan bukan Islam. Usahawan Islam berniaga untuk mendapat manafaat di dunia akhirat tetapi usahawan bukan Islam berniaga untuk dunia sahaja.
Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Jadi jangan risau kalau kita tengok kenapa bangsa lain yang bukan Islam lebih berjaya di dalam perniagaan kerana Allah dah janjikan dunia buat mereka. Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha” jelas beliau mengingatkan semua hadirin.

Rumusan

Itulah sedikit sebanyak mutiara kata yang sempat saya catat untuk dikongsikan dengan semua pembaca blog ini. Pada pendapat saya, beliau selayaknya dijadikan sebagai ikon usahawan Islam Melayu bumiputera yang paling berjaya.
Walaupun ada segelintir pihak melontarkan pelbagai andaian sinis terhadap kekayaan beliau, tetapi setelah mendengar sendiri ucapan beliau saya rasa beliau bukan seperti yang mereka gambarkan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak suka kepada publisiti. Majlis makan malam ini pun beliau tidak mahu ada pihak media. Saya dapat jangkakan beliau pun tidak suka artikel yang saya hasilkan sebegini kerana terlalu memuji beliau.
Jadi banyak kebaikkan dan kebajikkan yang beliau lakukan kepada masyarakat tidak dihighlight oleh media massa seperti Yayasan Al-Bukhary, Universiti al-Bukhary dan sebagainya. Semoga bermanafaat buat semua!

Selasa, 23 September 2014

MESTI TAHU!! 14 CARA UNTUK MENYIMPAN DUIT WALAUPUN TAK BANYAK DUIT

MESTI TAHU!! 14 CARA UNTUK MENYIMPAN DUIT WALAUPUN TAK BANYAK DUIT



Tip-tip yang saya kongsikan ini boleh dipakai supaya anda dapat melihat akaun bank anda membesar dari semasa ke semasa. Lebih banyak duit anda akan tersimpan.
Siapa tak nak ada duit lebih kan? Menyimpan duit adalah kewajipan kita dalam dunia moden ni.
Kalau ada duit lebih rase tenang je hati kita. Susah kalau kita tak menyimpan.
Kita akan betul-betul rasa pentingnya duit ni betul-betul bila waktu susah nanti. Ataupun beli rumah. Atau kereta.
Ada beberapa soalan yang timbul apabila anda ingin menyimpan duit anda. Berapa banyak duit yang anda boleh jimat?
Di mana anda mahu meletakkan duit duit anda, dan bagaimana anda boleh pastikan duit anda tak pergi mana-mana?
1. HAPUSKAN Hutang Anda Terlebih Dahulu.
Kira berapa banyak anda telah habiskan untuk membayar hutang anda.
Anda akan mendapati bahawa menghapuskan hutang adalah cara terpantas yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan duit lebih untuk disimpan.
Apabila anda tidak menggunakan wang untuk pembayaran hutang, anda boleh menyimpan duit tersebut. Lagi cepat anda membayar hutang, lagi tenang hati anda kerana anda tak perlu lagi fikir pasal hutang.
Anda hanya perlu fikir tentang simpan, simpan dan simpan sahaja. Ataupun melabur ;)
2. Tetapkan Matlamat Tabungan Anda.
matlamat-diari-iphone
Berapa banyak sebenarnya yang anda nak simpan?
Jika anda ingin membeli rumah, anda tentuka berapa banyak bayaran muka yang anda perlu buat.
Untuk matlamat jangka panjang, seperti persaraan, anda perlu melakukan perancangan yang lebih rapi.
Anda kena memikirkan berapa banyak wang yang anda perlukan untuk hidup dengan selesa selama 20 atau 30 tahun selepas anda berhenti kerja dan anda juga perlu memikirkan bagaimana pelaburan akan membantu anda mencapai matlamat anda.
Bila anda dah ada duit lebih, anda boleh laburkan duit tu.
3. Buat Satu Jangka Masa Untuk Anda Menyimpan.
timeframe-simpan-duit
Sebagai contoh: “Saya nak beli sebuah rumah dua tahun akan datang bermula dari hari ini.”
Apabila anda sudah menetapkan tarikh tertentu, tarikh tersebut membolehkan anda fokus untuk mencapai matlamat itu.
Anda perlu pastikan dalam jangka masa itu anda boleh capai objektif anda.
Jika matlamat yang anda tentukan itu tidak boleh dicapai, anda akan merasa kecewa.
Cuba kira-kira berapa banyak anda boleh simpan setiap bulan.
Dari situ anda boleh tengok berapa banyak anda boleh simpan dalam jangka masa yang lebih panjang.
Dan itu membawa saya ke point seterusnya…
4. Fikirkan Berapa Banyak Yang Anda Perlukan Untuk Menyimpan.
analysis-299692_1280
Anda perlu fikir berapa banyak yang boleh anda simpan duit selama seminggu, sebulan atau setiap kali anda mendapat gaji untuk mencapai setiap matlamat penyimpanan duit anda.
Ambil kira setiap perkara yang perlu menggunakan duit dan berapa banyak yang anda perlukan untuk memulakan simpanan harian anda bermula hari ini.
YA. Fikir tentang simpan duit tu hari ini juga. Jangan tunggu-tunggu lagi.
Sebagai contoh, jika anda mahu meletakkan bayaran muka sebanyak RM20 ribu untuk sebuah rumah dalam masa 36 bulan (tiga tahun), anda akan perlu mencari jalan untuk menyimpan kira-kira RM560 (560 x 36 = RM20,160) setiap bulan.
Tetapi jika gaji anda sedikit. Sebagai contoh lebih kurang RM1,000. Saya pasti anda tahu menyimpan sebanyak itu BUKAN satu matlamat yang realistik.
KECUALILAH jika anda tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab dan anda dapat makanan percuma dan tidak perlu keluar duit minyak untuk prgi tempat kerja.
Anda kena adaptasi matlamat anda dengan hidup anda.
5. Simpan Rekod Perbelanjaan Anda.
kira-bajet
Dengan kata lain, keep track perbelanjaan anda. Ada dua perkara mengenai duit anda: berapa banyak yang anda dapat dan berapa banyak yang anda belanjakan.
Tulis perbelanjaan anda untuk setiap bulan. Buat seperinci yang mungkin, dan pastikan anda masukkan pembelian kecil sepertishavers atau syampu dan lain-lain.
Buat kategori untuk setiap pembelian seperti insuran kereta, bayaran kereta, bil telefon, bil elektrik, hiburan, dan lain-lain.
Simpan satu nota kecil dengan anda pada setiap masa (sekarang anda boleh gunakan telefon pintar anda). Jadikan satu tabiat anda untuk merakamkan setiap perbelanjaan dan simpan resit untuk setiap perbelanjaan.
Kemudian, duduk seminggu sekali dengan nota kecil dan resit anda. Rekodkan perbelanjaan anda ke dalam Microsoft Excel. Anda boleh menggunakan fungsi kira di dalam Excel.
Terdapat juga app yang anda boleh muat turun di Play Store untuk membantu anda menjejaki perbelanjaan anda.
6. Kurangkan Perbelanjaan Anda.
kurang-belanja
Dah rekodkan perbelanjaan anda?
Cuba anda lihat kembali rekod perbelanjaan anda tu.
Anda mungkin akan terkejut apabila anda melihat kembali rekod perbelanjaan anda: RM30 untuk ais krim, RM10 untuk tiket letak kereta, dan mungkin juga RM40 untuk tiket wayang (bila anda belanja kawan-kawan ataupun anak-anak anda).
Anda akan melihat beberapa banyak pembaziran yang anda lakukan.
Dan yang anda boleh kurangkan.
Bergantung kepada berapa banyak yang anda perlukan, mungkin anda perlu membuat beberapa keputusan yang sukar.
Apa yang penting?
Fikirkan tentang keutamaan anda dan potong mana-mana yang boleh potong.
Kira berapa banyak yang anda boleh berjimat kemudian tengok berapa yang akan anda dapat dalam tempoh setahun.
Anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk untuk menyimpan bila anda tahu berapa banyak anda dapat jimat.
11 soalan di bawah boleh digunakan untuk anda bertanyakan kepada diri anda mana yang anda boleh potong kos hidup anda.
  1. Bolehkah anda bergerak ke sebuah apartmen atau rumah yang sewanya lebih murah?
  2. Bolehkah anda membiayai semula (refinance)?
  3. Bolehkah anda menjimatkan wang pada minyak, atau tidak menggunakan kereta langsung? Jika keluarga anda mempunyai banyak kereta, bolehkah anda menggunakan hanya satu?
  4. Bolehkah anda mendapatkan kadar caj yang lebih baik untuk insurans anda? Telefon bank-bank dan syarikat insurans yang ada dan pastikan anda mendapat harga terbaik.
  5. Bolehkah anda berhenti menggunakan telefon landline (talian darat) dan menggunakan telefon bimbit anda atau menyimpan wang dengan menghubungi melalui internet secara percuma dengan perkhidmatan seperti Skype?
  6. Bolehkah anda hidup tanpa Astro?
  7. Bolehkah anda mengurangkan bil-bil utiliti (telefon, elekktrik dan air) anda?
  8. Bolehkah anda mengurangkan makan di luar?
  9. Bolehkah anda membeli bahan makanan secara banyak-banyak untuk mengelakkan anda kerap keluar?
  10. Bagaimana dengan menggunakan kupon?
  11. Boleh anda masak di rumah? Anda mungkin dapat menjimatkan wang yang banyak apabila membeli banyak-banyak sekali gus.
Beli hanya semasa diskaun TETAPI jangan jadikan alasan untuk membeli sepanjang masa ada diskaun. Kadang-kadang itu adalah trik pasaraya dengan letah harga tinggi dan cakap ada diskaun sebanyak tu.
Berhati-hati dengan taktik pasaraya.
Jika anda boleh jimat berbelanja sampai 50% pun dah bagus dah.
7. Nilai Semula Matlamat Simpanan Anda.
fikir-balik
Cuba buat ni: tolak perbelanjaan anda daripada pendapatan yang anda bawa pulang. Tolak juga cukai.
Berapa banyak bezanya?
Dan adakah ia sepadan dengan matlamat simpanan anda?
Katakan anda telah memutuskan anda 100% pasti anda boleh hidup dengan RM1500 sebulan, dan jumlah gaji anda ialah RM2300 sebulan.
Ini bermakna anda mempunyai RM800 untuk disimpan.
Jika anda tidak boleh memuatkan objektif simpanan anda mengikut bajet anda, lihat kembali kenapa anda menyimpan dan tolak ke tepi perkara yang kurang penting atau anda boleh menyesuaikan jangka masa simpanan anda.
Jika anda rancang dalam 2 tahun anda beli kereta baru, mungkin anda boleh tambah setahun lagi untuk membelinya (3 tahun) dan pada waktu itu pun kereta sudah semakin canggih untuk anda beli ;)
8. Buat Bajet Anda Sendiri
buat-bajet-sendiri
Bila anda dah rekod, dah tahu objektif anda, anda boleh buat bajet anda.
Sebaik sahaja anda telah berjaya untuk mengimbangi pendapatan anda dengan matlamat simpanan anda dan perbelanjaan, tuliskan bajet supaya anda akan tahu setiap bulan berapa banyak gaji yang akan anda gunakan.
Jangan lupa pasal bajet sebab selalunya bila kita nampak benda kita rasa nak beli.
Dengan bajet, kita boleh cuba elakkan benda ni daripada berlaku. Kita tetapkan terus berapa banyak kita nak belanja. Sebagai contoh: “Saya hanya akan membelanjakan RM30 sebulan pada wayang / coklat / kopi / dan lain-lain.”
9. Berhenti Menggunakan Kad Kredit.
kredit-kad-wallet
Bayar untuk segala-galanya dengan wang tunai Jangan gunakan cek.
Dengan kata lain, jangan berlagak kaya. Kita secara automatik akan lebih mudah berbelanja apabila kita tak nampak duit tu di depan mata.
Kenapa? Sebab anda tak nampak duit tu berkurangan di depan mata anda.
Jika anda guna wang tunai, anda boleh melihat duit tu berkurang dan berkurang dan sekurang-kurangnya adalah rasa menyesal bila belanja banyak sangat.
Jika anda perlu mempunyai kad kredit tetapi tak nak tergoda, letakkan dalam kertas matlamat anda dalam dompet anda.
Anda rasa nak guna je, anda nampak matlamat anda atas kertas. Kalau semangat anda kuat, anda akan ingat pelan anda dan berhenti gunakan kad untuk benda yang tak perlu.
Atau anda boleh letakkan kata-kata semangat untuk memastikan kad itu anda gunakan betul-betul untuk benda yang penting.
Kad kredit tidak semestinya jahat.
Guna kad kredit ni sebenarnya tentang bagaimana kita kawal diri kita.
Jika anda menggunakan kad kedit dengan bertanggungjawab. Bayar hutang kad kredit anda, anda boleh mendapat manfaat daripada penggunaan kad kredit ni.
Tetapi ingat. Syarikat kad kredit membuat duit apabila anda membelanjakan wang.
Syarikat kad kredit akan mempromosikan pelbagai benda kepada anda. Tawaran wang kembali, pengenalan, poin penerbangan dan macam-macam lagi.
10. Letak Duit Dalam Balang
susun-ikut-balang
Cuba anda letakkan duit yang anda nak pakai setiap bulan tu dalam balang masing-masing.
Untuk kereta, untuk minyak, untuk makan minum… Letak dalam balangnya sendiri.
Kalau nak pakai duit tu, tarik keluar duit daripada balang tu.
Pergh, anda mesti nampak betapa cepatnya duit tu habis.
Dan disebabkan itu, anda akan berfikir banyak kali sebelum nak habiskan duit.
11. Lihat Jika Anda Boleh Mencari Akaun Bank Dengan Kadar Dividen Yang Lebih Tinggi
Tidak semestinya Maybank ya. Okay?
Tidak semestinya Maybank ya. Okay?
Senang je nak faham kan poin ni?
Cari bank yang boleh bagi dividen yang lebih tinggi.
Cuba buat dalam bentuk carta ke. Itu cara termudah untuk tahu mana bank yang boleh tawarkan dividen yang tinggi.
Cuba lihat pelaburan berisiko rendah tetapi mempunyai dividen yang tinggi. Tabung Haji juga menawarkan peratus yang tinggi. Satu lagi ialah Bank Rakyat.
Cuba anda tengok semua pilihan yang ada.
12. Bayar Diri Anda Dahulu.
sayang-diri-sendiri
Simpanan harus menjadi keutamaan anda.
jadi jangan kata yang anda simpan apa yang tinggal pada akhir bulan. Anda tipu diri sendiri kalau anda cakap begitu. Anda takkan simpan.
Simpan duit sejurus selepas anda dapat gaji ke dalam akaun ataupun tabung anda.
Cara yang mudah dan berkesan untuk memulakan penjimatan adalah dengan mendepositkan 10% setiap cek dalam akaun simpanan.
Anda boleh membuat pemindahan automatik dari akaun anda ke akaun anda yang lain (yang anda takkan sentuh duit di dalamnya).
13. Jangan Mudah Kecewa atau Berputus Asa.
kenapa-jangan-menyerah
Anda mungkin tidak fikir anda boleh menjadi kaya. Dan untuk menjadi jutawan adalah mustahil. Tapi bayangkan… sedikit demi sedikit anda menyimpan.
Pada mulanya memang sedikit. Seperti tak cukup. Lama makin lama, perubahan mula berlaku. Anda akan dapat nampak duit yang dsimpan… yang sedikit itu… mula bertambah.
Sehinggalah pada satu hari anda akan berasa gembira kerana anda menjadikan menabung itu sebahagian daripada hidup anda.
Sebenarnya Banyak Cara Nak Menyimpan Kan?
Setiap kali anda pergi untuk membeli sesuatu, cuba fikir sebab yang menyebabkan anda menyimpan. Dan betapa dekatnya anda dengan objektif simpanan anda sebenarnya.
Cuba anda kongsi benda yang anda cuba buat. Anda akan dapat lihat sama ada rakan anda sokong ataupun lawan tapi cuba motivasikan mereka untuk mengikut anda kerana ini akan membentuk satu kitaran mulia (virtuous cycle).
Ingat Tentang Harta Anda!
Anda kena pandai jaga harta benda anda. Kalau anda ada berus gigi elektrik dan motor untuk biar berusnya berpusing itu rosak anda tak perlu beli baru. Guna terus. Tengok waranti barang yang anda beli.
Kalau ada ada hobi, anda perlu fikir lebih banyak.
Anda kena tentukan satu peraturan di mana anda perlu tentukan berapa banyak duit yang akan anda habiskan untuk hobi tersebut. Ini sangat penting terutama sekali kalau anda ada hobi yang mahal.
Jika anda dapat durian runtuh, anda boleh mengenepikan duit yang anda dapat tu mengikut jadual anda.
Kalau anda tetapkan diri anda kena simpan 10% daripada semua duit yang anda dapat… simpan duit sebanyak tu.
Apabila anda membuat pembelian dengan wang kertas, akan ada baki. Simpan baki anda dalam balang atau dalam mug (saya gunakan mug plastik untuk simpan duit syiling saya).
Satu mug kalau penuh boleh dapat lebih daripada RM50. Ada masa tu saja kumpul-kumpul dapat nak dekat RM100. Hanya daripada satu mug. Jangan guna duit tu pula nanti lepas dah tebus kepada wang kertas ya!
Sebenarnya kita boleh menyimpan duit tanpa mengambil kira pendapatan kita. Mula sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, RM50 secara automatik dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji anda.
Setahun dah dapat RM600. Ini hanyalah satu kiraan yang sangat konservatif. Saya rasa anda boleh simpan lagi banyak.
Bila anda mula sedikit demi sedikit tabiat menabung ni, anda akan perasan yang anda sebenarnya tidak perlu pakai duit yang banyak.
Tentang Kad Kredit Anda Tu
Kalau anda rasa anda tak boleh potong kad kredit anda. Sekurang-kurangnya anda boleh kurangkan penggunaan kad-kad anda. Jangan letakkan dalam dompet. Letakkan kad-kad itu d tempat yang lain.
Lagi susah nak capai lagi bagus. Anda hanya dibenarkan guna bila anda betul-betul perlu sahaja. Cara ini agak lawak tapi kalau anda susah nak capai, susah lah anda nak guna.
Kalau anda setiap bulan dapat gaji yang lebih kurang sama, senang untuk anda kawal bajet anda.
jika gaji anda setiap bulan berubah, susah sikit. Tapi jangan menyerah! Senaraikan perbelanjaan anda ikut kategori dan mana yang anda boleh kurangkan perbelanjaan. Jangan letakkan sasaran tinggi. Anda kena tahu had anda.
Bila anda dah boleh dapat konsisten gaji, baru anda sasarkan tahap yang lebih tinggi.
Anda perlu berikrar kepada diri anda yang anda akan simpan duit. Ulangi pada diri anda sendiri mengenai sebab anda menyimpan dan cuci minda anda sendiri mengenai hutang. Hutang bukan satu pilihan.
Jangan Lupa Berseronok
Cuba cari keseronokan tanpa perlu membazirkan duit. Mungkin anda boleh belajar menari (boleh menari dengan isteri/suami anda), atau anda bersenam, bermain teka-teki dan sebagainya.
Cuba cari sesuatu yang tidak memerlukan anda mengeluarkan duit.
Kadang-kadang anda boleh luangkan masa dengan berbincang mengenai falsafah, mungkin juga mendalami ilmu agama dan ilmu kewangan (seperti yang anda buat sekarang ini) tanpa perlu menghabiskan duit.
Sebenarnya banyak benda yang anda boleh buat tanpa perlu menghabiskan duit. Anda hanya perlu imaginasi dan lihat apa yang ada di luar sana.
Pelbagai talian persahabatan boleh terjalin bila anda terlibat dalam permainan-permainan yang ada di luar sana. Jumpa orang, dan main. Tak pakai duit dan memupuk semangat kekitaan anda.
Ada Alasan Untuk “Ponteng” Berjimat?
Setiap kali anda mencari alasan untuk ponteng berjimat, saman diri anda. Caj diri anda 50 sen untuk setiap alasan ke dalam tabung anda. Anda akan dapat tengok berapa banyak alasan sebenarnya yang anda beri pada diri anda untuk tidak berjimat.
Jika betul anda memerlukan sesuatu, cuba anda tanya diri anda, adakah anda betul-betul memerlukannya atau hanya keinginan anda semata-mata? Sebahagian besar daripada benda yang anda ingat anda perlukan, adalah sesuatu yang anda tidak perlukan.
Peringatan Untuk Mereka Yang Ingin Menyimpan Duit
Jika anda mempunyai kawan yang boros, anda mungkin perlu membuat satu senarai alasan untuk menjelaskan mengapa anda tidak boleh keluar dengan mereka sepanjang masa.
Jangan keluar window shopping dengan membawa duit. Anda lambat laun akan terdorong untuk membelanjakan wang anda. Hanya membeli-belah dengan senarai barang yang telah ditetapkan.
Selepas seminggu yang panjang bekerja, anda mungkin terdorong untuk berbelanja dengan memberitahu diri anda sendiri, “Saya berhak dapatkan ni”.
Ingat: perkara yang anda beli bukannya hadiah pada diri sendiri. Tapi adalah satu pertukaran antara wang anda dengan satu produk.
Anda boleh katakan pada diri anda: “Sudah tentu saya layak untuk beli, tetapi sebenarnya saya mampu atau tidak? Jika saya tidak mampu, saya memang layak, dan saya masih layak untuk memenuhi matlamat simpanan saya!”
Melainkan jika anda berada di dalam  yang benar-benar terdesak (seperti anak anda kelaparan ataupun ada orang mengacu pistol ke kepala anda), jangan sentuh langsung duit tu.
Jangan fikirkan perkara yang remeh-temeh seperti keluar makan dengan rakan anda ataupun buat perkara yang membazir.
Benda-benda ni boleh tunggu kemudian hari kerana apabila anda ponteng membuat tabungan, anda akan mendapat masalah pada kemudian hari.
Jangan risau kalau tak dapat ikut 100%. Anda boleh cuba lagi nanti.
14. Tip Terakhir
Bila anda dapat duit raya, jangan lupa simpan duit raya tu! Terutama sekali bila anda masih kecil.
Masa tu anda boleh dapat banyak dan bila anda dah besar, susah nak dapat duit raya banyak. Admin tak dapat langsung dah :(
Jangan lupa simpan duit raya ya... Gambar oleh arienzackary
Jangan lupa simpan duit raya ya… Gambar oleh arienzackary

KISAH BENAR] 20 CARA BAGAIMANA LELAKI TUA 70an INI MANJADI KAYA

[KISAH BENAR] 20 CARA BAGAIMANA LELAKI TUA 70an INI MANJADI KAYA
2 comments :


GAMBAR HIASAN

Cerita ini asalnya dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Dato’ Roslan Ab Hamid. Dan ia mendapat perhatian ramai dengan menerima jumlah like dan komen yang tinggi. Cerita ini memberi inspirasi kepada orang ramai bagaimana mahu hidup dengan lebih bermakna di atas muka bumi ini. Kami kongsikan kisah Lelaki Tuan Berkain Pelikat ini di bawah. Enjoy!



****
Saya jumpa lelaki tua ini. Selalu lepas Asar dia iktikaf di masjid.
Baca al Quran. Umur 70an. Duduk rumah dekat masjid.
Rumah agam besar dan menarik.

Hartanya disana sini, bangunan komesil tengah bandar. Milikan RM35juta. Pendapatan pasif kutip sewa RM70,000 sebulan. Belanja RM20,000. RM50,000 sedekah dan infaq.
Dia tenang bersendirian meladeni anak cucu.

Saya mahu ambil gambar. Dia menolak. katanya malu.

Saya minta formula. Dia berikan 15. Saya catat dan mahu kongsikan. Bolehkah saya kongsikan?
#1 – Pertama, dia kata muliakan ibu bapa. Doa ibubapa adalah segala galanya. Ia tiada hijab terus termakbul. Raikan ibubapa. jaga mereka sepanjang usia. Doakan mereka apabila telah tiada.

#2 – Jaga masa. Ia datang dan berakhir. Urus masa antara 5 waktu solat. Atur kerja dengan sebaik cara. Pada setiap waktu ada perkara yang kita mulakan. Ada di masjid sebelum azan. masuk waktu terus solat. Selepas solat bertebaran berusaha cari rezeki.

#3 – Berdoa dengan khusyuk. Serah pada Allah. Tawakal. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

#4 – Namun begitu kena usaha. Usaha pagi petang siang malam. Usaha sungguh sungguh. Usaha bermula dengan pasang niat. Lepas itu buat buat buat. Sampai dapat. Tidak dapat, usaha lain pula. Masa buat baca al Quran. Maka dia pun nasihatkan saya,
“Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
Rasulullah SAW pernah bertanya “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah UmarAl Khattab r.a telah mengatakan adalah mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.
Ali Abi Talib r.a pun membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul.
Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk kitab Al-Quran. Apabila membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang yang membaca Al-Quran sekali khatam.”
Lelaki tua itu berkata, mulut dia tidak berhenti baca surah al Ikhlas. Kadang kadang sampai 1000 kali sehari. Dan tiap lepas asar masa dia iktikaf dan baca Al Quran.

#5 – Jaga Kesihatan. Jaga kesihatan. jaga kesihatan. Banyak berjalan kaki. Banyak. minum air masak atau air mineral. Jaga makanan.Kata lelaki tua ini lagi:

#6 – Hidup kena buat target. Ada wawasan. Ikat perut. Usah membazir. Mula dengan makanan. Makanan dan minuman mesti habiskan. Usah lagak orang kaya, padahal kita teman pada syaitan. Sentiasa belanja orang. Makan dikedai kecil. Perhatikan kebersihan kedai. Apabila bersih masuk. Disitu kita temui ramai orang susah. Belanja mereka..

#7 – Waktu maghrib usah ada atas jalan. Apabila dalam perjalanan berhenti. Cari masjid. Apabila dirumah, tutup pintu rapat rapat. Malam buang sampah sarap. Basuh pinggan mangkuk. Pastikan semua teratur sebelum tidur. Gunakan waktu antara maghrib dan isyak untuk tuntut ilmu agama. Boleh dengar orang mengajar. Boleh juga baca kitab. Lepas Isyak buat kira kira untung rugi. Siapkan bahan dan pakaian untuk kerja esok hari.

#8 – Usah takut jumpa orang. Walaupun 5 minit mahu berjumpa. Pergi sendiri. Usah pakai posmen apabila depani soal penting. Kita rangkak panjat bangunan. Tunggu. Biarlah kita ambil masa berhari hari perjalanan. yang penting sampaikan dengan tangan sendiri.Tenung mata dan baca “ayat ayat pengasih”. Hehehe. (Nota tambahan: Surah Yusuf: Ayat 4)

#9 – Balik malam, usah cakap penat. Usah cakap letih. Usah cakap sakit. Apabila sakit senyum. Allah sedang luruhkan dosa. Lepas sakit kita lagi bertenaga. Siapakah dalam dunia yang tidak pernah rasa sakit. Jatuh. dihina. Semua termasuk Rasulullah SAW. Namun, baginda ajar kita maafkan semua orang.
#10 – Niat mahu kaya. Niat mahu bantu ramai orang. Niat mahu jadi manusia berguna.Niat itu macam tulis surat. Dulu tiada internet, Macam tulis surat la. Salah tulis alamat akan sampai salah tempatlah surat itu. Maka tulis alamat betul betul. Niat mahu kaya, supaya kita dapat bantu ramai lagi orang. Mahu membahagiakan ramai orang.

#11 – Mula berniaga, usah buat pinjaman. Cukup dengan apa yang ada ditangan. Itu masa kita belajar. Berniaga ini seni. Kita sahaja tahu maksud lakaran. Terbakar tangan biasa. Namun, dengan duit sedikit kita tak rasa sangat panasnya. Usah samakan orang dengan kita. Mereka lain tak serupa.
(Kedai mula mula di mulut sahaja.) Senyum mesra, mulut manis. Usah sombong.sentiasa tegur dan sapa manusia. Kita berniaga dengan manusia.Berniaga dengan siapa sahaja. Andai kata kita kaki surau. Berniaga dengan orang surau tidak jadikan kita kaya. Berniaga dengan semua orang walaupun dia haprak keparat. Yang penting tunai. Ada duit kita cerita. Ada barang kita jual.

#12 – Modal kita adalah daya penarik yang pada diri kita. Daya penarik adalah ciri yang ada dalam diri yang buat orang lain rasa senang dengan kita. Cari ilmu tentang produk. Apabila orang tanya jawab dengan lancar dan petah. Jelas. sebut satu demi satu. Usah ragu ragu dan termanggu. Kongsi bukan jual. Ingat sentiasa kongsi dengan semangat membara. Orang jatuh cinta dengan semangat kita.

#13 – Apa lagi..ahaaa..masa mula niaga biar mendalam dulu. Usah cepat mahu melebar.Fahamkah apa pakcik cakap. Maksudnya biar berjaya satu demi satu. Apabila mula guna modal sendiri, kemudian buat sungguh sungguh sampai berjaya. Lepas dah nampak hasil, mula lebarkan. Masa itu boleh la mahu buat pinjaman. Kita sudah ada ilmu bisnes.
***
(Cukuplah tu. Masa ni Lelaki Tua Berkain Pelikat sudah mahu berhenti. Saya senyum peluk dia dan kata, “baharu ada 13 anak sungai di syurga. Tambah sampai 20″. Saya buat contengan kata dia dalam kepala)
***

#14 – Kita kena buat promosi apa jua yang kita bisnes. Produk tak boleh bercakap.Sejak bila pula lah produk boleh bercakap. Orang kena tahu apa yang kita buat. Caranya buka bank emosi dengan setiap pelanggan kita. Pelanggan yang puas hati datang lagi. Datang lagi. Sekarang pun Pak Cik masih buat bisnes sikit sikit. Perumahan. Pak Ciik buat lima rumah sekali siap. Siap baharu jual. Pak Cik buat cantik. Jual mahal. Orang beratur mahu beli. Jual barang siap. Usah jual barang dalam laut yang tidak tahu tersangkut pada pukat atau tidak. Tidak berkat begitu.

#15 – Apabila bisnes sudah maju, usah berlagak. Dahulu Pak Cik suka gunting rambut kedai Nawi. Dia tanya “Bagaimana Pak Cik mahu gunting rambut? Pak Cik jawab , “Dengan senyap senyap tapi cantik”. Anak fahamkah apa Pak Cik cakap ni? Jawab saya, “Faham Pak Cik, saya juga gunting rambut disitu sejak umur 15 tahun”. Hehehe. Maksudnya usah gosip sana gosip sini, balun orang sana balun orang sini. Usah peduli rambut atas kepala orang lain. Apa yang utama rambut kita tersisir rapi.Bijak anak ni. Apa nama? Yesss. Dia sudah tanya nama saya. Maknanya saya sudah dapat Mentor Lelaki Tua Berkain Pelikat.

#16 – Anak..ingat kita hidup sungguh sebentar, macam main bola sahaja. 90 minit tamatlah permainan. Itulah lebih kurang bandingan hidup didunia ini. Kita kejar bola. Cuba jaringkan gol. Apabila sampai tiupan wisel, tahulah keputusan. Apabila malaikat maut datang jemput kita, habislah kita. Ada dunia kekal abadi di sana. Usahlah kita berlagak sombong masa berjalan atas bumi Tuhan ini.

Paku yang nampak tidak rapat ke papan, akan diketuk oleh Tuan Rumah. Itulah perumpamaan hidupan. Rapat ke bumi. Sujud pada Tuhan.
Bacalah surah ar Rahman ayat 46, “Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga”

#17 – Pak Cik bersyukur sampai ke tahap ini. Pak cik bersyukur. Syukur itu tandanya apabila Pak Cik rasa tak layak terima, namun Allah berikan juga. Pak Cik habiskan masa dalam waktu kecemasan ini dengan memandang yang memberi nikmat bukan pada nikmatnya. Anakku bersyukurlah. Masih punya masa mengatur tapak menjejaki orang hebat dalam agama.

Dunia ini tidak lebih dari sayap nyamuk sahaja. Usah letak dunia di hati. Tetapi berusahalah supaya dunia dalam genggaman tangan kita. Pak Cik pakai kereta besar, bukan untuk apa namun Pak Cik mahu menikmati apa rasa sayap nyamuk itu. Kalau sayap nyamuk itu sudah rasa nikmatnya, bayangkan nikmat di syurga.

#18 – Anak… Apabila mahu makan nasi, dapatkan beras. Cakap cakap dan sembang sembang tidak hasilkan beras. Rajin usaha. sampai waktu solat. Solat itu tiang agama. Usah terjerat dengan penyakit umat akhir zaman. Mereka cintakan dunia. Takutkan mati. Hakikatnya mati itu pasti. Namun, jangan kerana takutkan mati duduk atas masjid semata mata dan harapkan hidangan turun dari langit.

Tidak boleh begitu. Cuba beri masa untuk semua perkara. Umur macam Pak Cik sekarang, hari hari biasa, 6 jam tidur. 6 jam bekerja. 6 jam duduk atas masjid. 6 jam bersama anak cucu cicit. Anak, ada Pak Cik ingat, Nabi SAW sebut, “Peliharalah lidahmu, luaskan rumahmu dan tangislah dosamu”. Cuba anak check siapa perawinya. (nota: Hadis riwayat at Tirmizi)

#19 – Anakku kita bukan orang sufi. Mereka lain. Kita orang biasa,
“Apabila kemiskinan datang bertandang mengetuk di pintu, kasih sayang segera terbang keluar ikut jendela. Saat itu sahabat dekat mula menjauh, kesusahan bagaikan banjir besar menghanyutkan segalanya pergi dan ianya hanya kembali apabila kita kaya semula”

Rajinlah berusaha. Wang bukan segala galanya. Namun banyak perkara dalam dunia sekarang perlukan wang anakku. Wang bukan raja. Wang adalah hamba perkasa yang memudahkan banyak perkara. ramai orang sedikit sedikit sebut Tuhan, pada hal hati mereka bersimpang simpang.

#20 – Cuba sedaya upaya supaya ada wuduk pada tubuh kita. Ianya adalah cara terbaik cucikan diri. Cuba mandi setiap kali sebelum masuk waktu. Tidak dapat kerana banyak masa di pejabat, mandi 3 kali sehari. Sebelum subuh, sebelum maghrib dan sebelum isya’. InsyaAllah kita rasa bersih dan tenang dari segi luaran. Sewaktu berdiri mahu solat, rasakan ketakutan luar biasa. Kita sedang menghadap Allah Raja dan Tuan kepada segala Raja.

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular