Khamis, 25 September 2014

7 Amanat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary Kepada Para Usahawan Muslim


Dua hari lepas saya telah hadir ke majlis makan malam bersama orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB). Saya diberi peluang hadir di atas kapasiti GMB Kelantan di atas pelawaan mentor saya Tuan Nik Mohd Nasrudeen. Terima kasih!
Alhamdulillah, bagai mimpi jadi kenyataan apabila dapat bertemu dengan insan yang kita kagumi sejak dari bangku sekolah lagi. Lebih teruja apabila kami semua dapat mendengar sendiri ucapan ringkas daripada Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.


Malam itu kami semua bertuah kerana itu merupakan kali pertama di dalam sejarah beliau menyampaikan ucapan seperti itu!
Pada malam itu, beliau berkongsi mengenai pengalaman berniaga beliau secara ringkas yang dirumuskan melalui cerita lori dan beras. Ucapan beliau hanya berkisar mengenai dua perkara tersebut sahaja tetapi mempunyai pengajaran yang sungguh berguna untuk kami semua sebagai usahawan muda.
Setelah mendengar ucapan beliau, saya rasa sungguh malu dengan diri sendiri. Saya sungguh tidak sangka masih ada individu kaya raya yang cukup merendah diri seperti beliau.
Sepanjang ucapan beliau tidak henti-henti bersyukur kepada Tuhan dan mengatakan beliau tiada apa yang boleh dibanggakan, hanyalah insan biasa seperti orang lain.
Baiklah saya kongsikan sedikit mutiara yang saya dapat kutip daripada ucapan ringkas beliau mengenai ‘lori’ dan ‘beras’ mengikut pemahaman saya agar dapat memberi manafaat kepada semua.

#1 – Fokus Sebelum Pelbagaikan Perniagaan

Beliau nasihatkan agar para usahawan fokus kepada satu perniagaan terlebih dahulu sehingga stabil dan menguntungkan sebelum mempelbagaikan perniagaan. Beliau mempelbagaikan perniagaan setelah perniagaan pertama beliau telah stabil dan menguntungkan.
Perniagaan pertama perlu kukuh sebelum anda mempelbagaikan perniagaan supaya jika perniagaan yang baru kita ceburi tidak maju, maka kita boleh kembali kepada perniagaan pertama yang kita usahakan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya sendiri kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya sekarang, saya akan balik buat perniagaan yang mula-mula saya usahakan dulu. Perniagaan pertama saya masih beroperasi, lori dan kedai masih ada lagi di Kedah” tambah beliau dengan nada cukup rendah diri.

#2 – Kejayaan Perlukan Masa

Beliau juga nasihatkan agar usahawan muda jangan cepat nak berjaya. Setiap usaha sememangnya perlu melalui fasa kesusahan, cabaran dan sebagainya.
Beliau mengambil contoh diri beliau sendiri yang bermula dari bawah dengan membantu ayahnya menjual lembu dan kerbau di kampung sebelum mencapai tahap sekarang.
Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Biasanya apabila memperolehi kejayaan yang singkat, mudah jugalah untuk perniagaan yang kita usahakan itu jatuh. “Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang” jelas beliau ringkas.

#3 – Jangan Putus Asa

Ini adalah frasa yang kerap keluar dari mulut beliau. Beliau menjelaskan setiap perniagaan sama ada kecil ataupun besar akan mempunyai masalah, cabaran dan karenah yang tersendiri. Oleh itu, para usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan tunduk dengan masalah.
Saya ni tiada apa-apa, tiada apa yang istimewa tentang diri saya. Tetapi apa yang membezakan saya ialah bagaimana saya menghadapi setiap cabaran dan masalah di dalam perniagaan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya ni tiada apa-apa, tiada apa yang istimewa tentang diri saya. Tetapi apa yang membezakan saya ialah bagaimana saya menghadapi setiap cabaran dan masalah di dalam perniagaan” jelas beliau sekali lagi dengan nada rendah diri.
Beliau ada berkongsi susah payah mengenai perniagaan pertama yang beliau usahakan bersama rakan kongsi bukan bumiputera.
Bagaimana rakan kongsi tersebut menekan beliau sehingga terpaksa menggadaikan dua lot tanah milik keluarga untuk dijadikan modal tambahan bagi mengekalkan penguasaan share majoriti di dalam syarikat Bukhary Rice Sdn. Bhd.
“Kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya masa tu, maka kami sekeluarga boleh kehilangan tempat tinggal” jelas beliau.

#4 – Jangan Sekadar Mengharap Dibantu

Beliau sering mengingatkan bahawa beliau hanyalah orang biasa yang diberi peluang oleh kerajaan. Apabila diberi peluang, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh terhadap peluang tersebut.
Oleh itu, beliau berpesan kepada semua usahawan agar bukan sekadar berharap untuk dibantu tetapi bersedia dari segi fizikal dan mental untuk dibantu.
Ramai orang Melayu apabila kerajaan anugerahkan projek, mereka lebih cenderung untuk berikan projek tersebut kepada syarikat lain untuk usahakan kerana mengejar keuntungan jangka masa pendek. Majoriti syarikat Melayu akan memberikan projek kepada syarikat bukan bumiputera untuk mengusahakannya sebagai sub-company.
Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya diberikan 3 permit lori untuk membawa beras dan saya apply loan MARA untuk membeli lori. MARA berikan saya cukup-cukup RM110,000 untuk belikan sebuah lori. Ada usahawan Cina datang nak beli atau sewa dua lagi permit saya, tetapi saya tak bagi. Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti” kata beliau.

#5 – Yakin Dengan Diri Sendiri

Beliau juga mengharapkan agar para usahawan yakin dengan diri sendiri dan apa yang sedang diusahakan. Ramai usahawan bumiputera tidak boleh berjaya bukan kerana idea mereka tidak bagus, tetapi kerana tidak yakin dengan diri mereka.
Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita” jelas beliau.

#6 – Berniaga Bukan Untuk Diri Sendiri

Beliau terkenal sebagai seorang usahawan yang banyak memberi kembali kepada masyarakat. Malah beliau mempunyai lebih kurang 260,000 pekerja yang berkait secara langsung ataupun tidak dengan semua syarikat milik beliau. 80% diperuntukkan untuk golongan bumiputera.
Apa yang lebih menarik, beliau tidak menjual perniagaan beliau kerana memikirkan nasib golongan yang bergantung kepada syarikat beliau untuk mendapatkan sumber rezeki.
Jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Kedai dan lori-lori untuk perniagaan pertama saya masih lagi ada di Kedah. Perniagaan itu masih berjalan seperti biasa. Setiap lori akan ada tiga orang pemandu, jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan” jelas beliau.

#7 – Usahawan Islam Ada Akhirat

Beliau juga berpesan bahawa setiap usahawan Islam tidak sama dengan usahawan bukan Islam. Usahawan Islam berniaga untuk mendapat manafaat di dunia akhirat tetapi usahawan bukan Islam berniaga untuk dunia sahaja.
Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Jadi jangan risau kalau kita tengok kenapa bangsa lain yang bukan Islam lebih berjaya di dalam perniagaan kerana Allah dah janjikan dunia buat mereka. Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha” jelas beliau mengingatkan semua hadirin.

Rumusan

Itulah sedikit sebanyak mutiara kata yang sempat saya catat untuk dikongsikan dengan semua pembaca blog ini. Pada pendapat saya, beliau selayaknya dijadikan sebagai ikon usahawan Islam Melayu bumiputera yang paling berjaya.
Walaupun ada segelintir pihak melontarkan pelbagai andaian sinis terhadap kekayaan beliau, tetapi setelah mendengar sendiri ucapan beliau saya rasa beliau bukan seperti yang mereka gambarkan.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak suka kepada publisiti. Majlis makan malam ini pun beliau tidak mahu ada pihak media. Saya dapat jangkakan beliau pun tidak suka artikel yang saya hasilkan sebegini kerana terlalu memuji beliau.
Jadi banyak kebaikkan dan kebajikkan yang beliau lakukan kepada masyarakat tidak dihighlight oleh media massa seperti Yayasan Al-Bukhary, Universiti al-Bukhary dan sebagainya. Semoga bermanafaat buat semua!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini