8 Ramuan Segar Semulajadi Penyegar Udara
KAYU MANIS
Penggunaan kulit kayu manis menjadi antara ramuan di dalam resipi masakan Melayu. Menyedari keunikan aroma kulit kayu manis berupaya menjadikan masakan lebih lazat, tidak hairan juga kulit kayu manis turut dijadikan sebagai pewangi semula jadi untuk ruang dapur. Kesegaran aromanya mampu mencipta kesegaran udara di ruang dapur. Malah perletakkan beberapa batang kulit kayu manis di atas meja makan dengan cara bersahaja atau dihias sebagai hasil kerja kraf yang unik tentu sahaja menarik untuk digayakan.
LEMON
Buah-buahan sitrus seperti lemon memiliki aroma kesegaran yang luar biasa. Meletakkan hirisan lemon di dalam bekas kaca berisi air umpamanya bukan sahaja boleh bertindak sebagai pewangi di ruang dapur malah mempunyai sentuhan dekorasi yang begitu bersahaja namun menarik.
DAUN PUDINA
Kesegaran daun pudina yang beraroma berjaya merangsang suasana ruang lebih segar dan selesa. Juga diakui bau daun pudina boleh menghalang semut daripada memasuki ruang dapur.
BUNGA KANTAN
Bunga kantan berwarna merah muda mempunyai daya tarikannya yang tersendiri untuk diperagakan di ruang dapur. Memiliki aroma yang istimewa dan ia mempunyai jangka masa yang lama untuk kekal segar. Menggayakan bunga kantan bukan sahaja dapat menyerikan ruang dan dijadikan sebagai penyegar semula jadi malah ia lebih jimat. Lebih-lebih lagi jika anda sendiri mempunyai tanaman ini di belakang rumah.
DAUN PANDAN
Diakui daun pandan mempunyai bauan yang cukup harum. Bukan sahaja digunakan di dalam resipi nasi lemak dan kuih muih untuk mencipta bau makanan lebih enak, malah di dalam minuman juga. Menyedari haruman daun pandan mampu kekal lama menjadikan ia begitu disenangi ramai untuk dijadikan sebagai pewangi kediaman. Tambah menarik jika diracik halus dan ditempatkan di dalam bekas kristal tanpa penutup. Semarak harumnya akan menyelimuti segenap ruang.
BUNGA CENGKIH
Biar pun tidak semua antara kita menggemari bau cengkih yang begitu beraroma, namun ada juga yang menggemarinya untuk dijadikan sebagai hiasan di ruang dapur. Bentuknya yang kecil apabila digubah membentuk kuntuman bunga begitu menarik untuk diperagakan di dalam pasu. Penggayaan sedemikian secara tidak langsung memberi alternatif dekorasi dan dalam masa yang sama sebagai penyegar udara di ruang dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan