Isnin, 1 Julai 2013

Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang sukar dicari ganti



Hari ini pemikiran Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor diseminarkan. Memang tepat segala ilmu dan idea yang lahir dari tokoh besar itu dibincangkan. Membiarkan pemikiran yang telah menghasilkan sejarah perjuangan Islam di tanahair itu berlalu begitu sahaja tanpa dirujuk kembali adalah pensia-siaan yang sangat merugikan. Sejarah perjuangan Islam yang dibawa PAS masih belum panjang jarak masanya, belum menempuh pun satu abad. Tokoh-tokoh yang hebat dalam jamaah mungkin tidak seramai Ikhwanul Muslimin di Mesir, namun kehebatan tokoh yang sedikit ini mestilah dimanfaatkan ilmu dan pemikirannya sepenuhnya.

Terlalu banyak aspek menarik dan bermanfaat untuk dikaji dari sirnaan pemikiran Ustaz Fadzil, biarlah kita mengutip sisi-sisi yang tersurat sahaja, itu pun cuma selembar dari ribuan manfaat yang boleh digali.
Pencapaian terbaik

Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor pergi meninggalkan kita pada 23 Jun 2002. Sepanjang sejarah PAS meniti perjuangan, Ustaz Fadzil adalah tokoh paling hebat kerana memimpin parti di saat gemilangnya. PAS memimpin permuafakatan parti pembangkang apabila memenangi 27 kerusi Parlimen pada PRU 1999. Beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Sehingga kini PAS belum mampu memecahkan rekod pencapaian kerusi terbanyak itu.

PRU 1999 adalah merupakan detik paling perit bagi Umno kerana majoriti Melayu berpihak kepada pembangkang. Tidak dapat dinafikan bahawa penolakan Melayu terhadap BN pada masa itu ada kena mengena dengan Anwar dianiayai, dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, dibelasah dalam lokap serta dipenjarakan.

Ustaz Fadzil hadir dalam sidang media pertama selepas Anwar dipecat. Ia kelihatan sangat janggal ketika itu kerana persepsi umum adalah, pemecatan Anwar adalah persoalan rumahtangga Umno. Terdapat anggota PAS yang tidak menyetujui kehadiran Ustaz Fadzil bersama Anwar. Biarlah Umno bergasak sesama mereka, mengapa PAS nak campuri urusan dalaman mereka? Ustaz Fadzil ditempelak kerana kononnya membuat perhitungan yang salah.

Ustaz Fadzil menubuh, memimpin dan menggerakkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk mengembeling tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan untuk menentang ketidakadilan parti yang sedang memerintah. Selepas ledakan kebangkitan rakyat yang luarbiasa berhubung isu Anwar, barulah tindakan Ustaz Fadzil dianggap betul. Ia menjadi lebih tepat apabila PAS menjadi dominan dalam barisan pembangkang dengan memperoleh kerusi terbanyak, mampu mempertahankan Kelantan di samping menawan Terengganu.

Jika hari ini perpaduan parti-parti pembangkang adalah mantap, sehingga menang di lima negeri pada PRU12 dan hampir-hampir menumbangkan BN di Pusat dalam PRU13 lalu tetapi hakikatnya permuafakatan pembangkang itu digagaskan di masa Ustaz Fadzil memimpin PAS lebih sepuluh tahun lalu. PAS mengadakan permuafakatan dengan parti KeADILan dan DAP yang dianggap parti Cina rasis. Ustaz Fadzil, Datuk Dr. Wan Azizah dan Lim Kit Siang beberapa kali menganjurkan ceramah umum bersama menjelang PRU 1999. Ustaz Fadzil berjaya meyakinkan ahli PAS dan orang Melayu perihal pentingnya sokongan masyarakat Cina jika mahu memerintah negara. Cuma orang bukan Melayu pada masa itu belum berjaya diyakinkan oleh DAP untuk menyokong PAS.

Dominasi Melayu/Islam

Permuafakatan antara parti-parti Melayu/Islam digembelingkan lebih awal oleh Ustaz Fadzil Noor iaitu menjelang PRU 1990. Beliau berjaya 'mengeluarkan' Berjasa dan Hamim dari BN untuk bersama dengan PAS, Semangat 46 dan KIMMA dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Angkatan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada PRU 1990 dengan kemenangan bersih 39-0.

"Kita telah membina persefahaman dan kerjasama dengan parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim dalam Angkatan Perpaduan Ummah. satu usaha yang kita lakukan bersama untuk meletakkan parti Islam dan parti-parti yang didokong oleh orang Islam dalam satu saf bagi menghadapi BN dan memberikan alternatif kepada umat Islam dan rakyat seluruhnya," jelas Ustaz Fadzil. (Ucapan dasar Muktamar Tahunan ke 36, 25 Mei 1990).

Terlalu banyak aspek menarik untuk diulas perihal kepimpinan Ustaz Fadzil selama 13 tahun selaku Presiden. Kejayaan paling manis ialah memposisikan PAS sebagai pendokong ketuanan Islam pada persepsi dan realiti. Dalam Muktamar PAS ke 42, tema yang dipilih ialah Tegakkan Ketuanan Islam.

Dalam ucapan dasarnya, Ustaz Fadzil menegaskan hanya dengan ketuanan Islam dapat menjamin kemuliaan bangsa dan kemuliaan umat Islam itu sendiri. Meskipun Umno sejak dulu dan kini tidak pernah berputus asa berusaha mencemarkan imej PAS dengan tuduhan tradisi bahawa PAS telah meninggalkan asas perjuangan, namun umumnya ketika itu umat Islam tidak percaya. PAS dominan di kawasan majoriti pengundi Melayu. Di Kedah, PAS menang PRU 1999 sebanyak 12 kerusi langsung tanpa bantuan undi bukan Melayu yang ketika itu memihak kepada BN.

"Senario selepas PRU telah menampakkan Umno/BN gusar dan tertekan dengan hakikat kemerosotan sokongan orang Melayu. taktik paling kotor mereka memanipulasi psikologi orang Melayu iaitu menggembar-gemburkan isu perpecahan orang Melayu yang kononnya agenda perjuangan mereka mengembalikan perpaduan orang Melayu," ujar Ustaz Fadzil. Mengapa situasi PAS dominan di kawasan Melayu itu menjadi songsang kini? Ia perlukan satu kajian khusus.
Ulamak memimpin dan tarbiyah

Sepanjang 13 tahun Ustaz Fadzil memimpin PAS, beliau hanya bergandingan dengan timbalan presiden yang sama, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apabila kini Ustaz Fadzil sudah tiada, Ustaz Hadi memimpin PAS, timbalan presiden silih berganti. Ini menunjukkan kepimpinan PAS di zaman Ustaz Fadzil adalah mantap dan jelas siapa penggantinya. Pertama kali gandingan kepimpinan Fadzil- Hadi, Naib Presiden PAS ialah Dr. Daing Sanusi Daing Mariok dan Ustaz Hasan Shukri. Kepimpinan ulamak pada hairaki tertinggi parti tampak jelas
ketika itu.

Kepimpinan ulamak dan persoalan tarbiyah adalah dua perkara yang jarang tidak disentuh setiap kali muktamar oleh Ustaz Fadzil, sama ada dalam ucapan dasar atau ucapan penggulungan.
Penegasan Ustaz Fadzil: "Dasar kepimpinan ulamak yang diamalkan selama ini akan terus diperkasa dan dimantapkan. Biar apa sekalipun suasana dan perkembangan politik yang kita hadapi, kepimpinan ulamak akan terus menjadi tonggak dan payung kepada gerakan ini. Ulamak di dalam PAS adalah ulamak yang memimpin dan mengatur manakala ulama di dalam UMNO adalah ulama yang dipimpin dan diatur." (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 47, 1 Jun 2001)

Harapan yang dipertaruhkan oleh beliau terhadap para ulama dalam PAS sangatlah tinggi. Baginya kepimpinan ulamak bukan setakat pada simbol ketinggian dan kemuliaan, bersesuaian dengan fungsi 'ulama adalah pewaris Nabi' tetapi ulama itu sendiri mesti membina keunggulan sesuai dengan amanah besar tersebut. Ulama juga mesti terus belajar dan mengkaji.

"Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat dan membuat ijtihad atas perkar-perkara yang perlukan pandangan terkini termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar dari kemelut kehidupan ini dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah SWT," ujarnya. (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan Ke 48, 31 Mei 2002)

Beliau memberi makna yang luas mengenai tarbiyah. Tarbiyah bukan sekadar duduk bersila mentelaah teks usrah untuk menjadi 'orang yang baik' dalam jamaah tetapi implikasi tarbiyah mesti terpancar ke dalam masyarakat.

"Tarbiyah adalah nadi kepada PAS sebagai jamaah Islam. Tarbiyah dimaksudkan di sini bukan sekadar usrah dan tamrin serta pengisian ilmu tetapi juga bersedia membentuk diri sebagai petugas Muslim yang mampu memperlihatkan wataknya sebagai role model yang ceria kepada masyarakat, bukan sahaja dari segi syaksiyyah, ilmu, disiplin, malah keterampilannya sebagai mujahid," ujar Ustaz Fadzil. (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan Ke 41, 25 Ogos 1995)

Baginya tarbiyah mestilah dapat melahirkan para petugas yang berkualiti serta mampu berhujah berlandaskan ilmu Islam. "Program tarbiyah dan majlis ilmu yang menjadi kegiatan penting dalam parti hendaklah menjurus ke arah melahirkan kader-kader parti yang berkemampuan untuk menyatakan Islam dan menterjemah pelaksanaannya ke dalam masyarakat dengan kemampuan hujah menegakkan Islam dan membatalkan segala ideologi yang menjadi cabaran kini," terang Ustaz Fadzil. (Ucapan dasar Muktamar Tahunan Kali Ke 44, 15 Mei 1998)
Memasyarakatkan PAS

Konsep memasyarakatkan PAS yang ditekankan oleh Ustaz Fadzil hakikatnya telah berjaya merapatkan jurang antara PAS dengan rakyat, khususnya orang Melayu yang terbina sekian lama akibat diskriminasi Umno. PAS muncul bersama masyarakat, menyelami denyut nadi rakyat serta menyelesaikannya sekadar kemampuan. Penekanan ini dimulakan oleh beliau melalui penegasannya, "Telah tiba masanya ahli-ahli parti mesti mampu mengenalpasti masalah yang wujud dalam masyarakat setempat dan mesti juga dapat menanganinya dengan baik. Bantuan tenaga-tenaga mahir dan berpengalaman dalam pelbagai lapangan adalah penting, ia mesti diusahakan."

Di era beliau momokan cerita terpencil kisah pulau memulau, solat dua iman, tidak makan sembelihan dan sebagainya terpadam satu persatu. Penyertaan tenaga professional dalam PAS berlaku dengan pesat. Ustaz Fadzil berkali-kali menegaskan supaya PAS dilebarkan sehingga setiap kampung, taman atau jalan seboleh-bolehnya ada cawangan PAS.

Penegasan Ustaz Fadzil adalah: "Gerakan Islam seperti PAS tidak boleh memisahkan diri dari persoalan-persoalan yang dihadapi oleh masyarakat, peka dengan permasalahan masyarakat dan bergerak di tengah-tengah masyarakat. Kerana itu sebagaimana kita tidak pernah lekang dengan program tarbiyah yang sangat penting memberikan penekanan dalam aspek aqidah dan ibadah, kita juga memberi penekanan dalam aspek sosial dan permasalahan masyarakat yang merangkumi politik dan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya." (Ucapan Dasar Muktamar Tahunan ke 36, 25 Mei 1990)
Mendalami isu semasa

Sisi paling menarik bagi Ustaz Fadzil ialah beliau sangat menghayati isu semasa. Ceramahnya penuh dengan kupasan isu semasa. Ramai yang tertarik untuk mengikuti ceramah Ustaz Fadzil hanya kerana ulasan isu semasanya. Pernah beliau bertembung program ceramah dengan Tun Ghafar Baba dalam pilihanraya kecil Pantai Merdeka. Oleh kerana ceramah terlalu hampir masing-masing dapat mendengar hujah pihak lawan. Ustaz Fadzil menangkis hujah Tun Ghafar secara spontan dengan bidasan-bidasan sinis sehingga orang ramai tak kering gusi mendengarnya. Beliau menang 'debat' yang tidak dirancang itu.

Di Dewan Rakyat Ustaz Fadzil sangat cekap berhujah, beliau meningkah ucapan lawan hanya secara spontan. Beliau melahirkan kekesalan kerana permintaan rasmi untuk berjumpa Ketua Polis Negara (KPN) tidak dilayan. MP kerajaan membidas kerana dalam majlis perasmian sidang parlimen KPN hadir, mengapa Ustaz Fadzil tak jumpa? "Saya nak jumpa KPN bukan nak jumpa mamak pasembor tepi jalan!" menjadi ayat bidasan beliau yang sangat masyhur hingga ke hari ini. Iyalah, masing-masing ada pejabat, ada kerani. Kedua-duanya adalah VIP, mestilah melalui prosedur dan protokol untuk berjumpa secara rasmi.

Jika kita meneliti ucapan dasarnya di muktamar tahunan sepanjang 13 tahun memimpin PAS, maka beliau menggarap isu semasa secara menyeluruh sepanjang tempoh setahun, di dalam dan luar negara.
Bukan sahaja isu luaran yang bergerak di tengah masyarakat tetapi persoalan dalaman parti tiada satu pun yang dipinggirkannya. Sebab itu penggulungan ucapan dasar beliau sewaktu muktamar tahunan adalah masa yang dinanti-nanti oleh seluruh perwakilan dan pemerhati. Ucapannya menjawab setiap persoalan, penuh muhasabah, bidasan dan tidak ketinggalan.. kelakar. Ramai yang masih merindui ucapan penggulungannya di muktamar.
Kepincangan demokrasi dan penipuan pilihanraya

Almarhum Ustaz Fadzil sudah tiada ketika PAS bersama puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di ibu kota dalam himpunan Bersih 1, 2, 3 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka. Tiada juga bersama dalam himpunan bersiri Blackout selepas PRU13. Namun suara beliau dalam merperjuangkan kemurnian demokrasi telah mendahului zaman kerana kepincangan demokrasi bukan perkara baru di Malaysia.

Seawal kepimpinannya dalam PAS, Ustaz Fadzil sudah menghidu kepincangan kerajaan mengurus demokrasi. "Apa yang kita harapkan, pilihanraya kali ini  (1990) dapat berjalan dengan baik dan bersih dari penipuan. SPR hendaklah benar-benar mencerminkan sebuah suruhanjaya yang bebas dalam amalannya bukan dalam ucapan atau kenyataannya sahaja. Gejala-gejala untuk memesongkan SPR sebagai sebuah badan bebas telah mulai dilihat di mana pemerintah dan partinya memperlihatkan tanda-tanda mereka ingin mengongkong SPR dari kedudukannya sebagai suruhanjaya yang bebas," ujar Ustaz Fadzil 17 tahun sebelum himpunan Bersih kali pertama diadakan.

Beliau melahirkan kebimbangan sikap rakus parti pemerintah yang ingin menghakis kedudukan SPR sebagai suruhanjaya yang bebas sebagai mana mereka menghakis kebebasan sistem kehakiman sebelum ini. Ustaz Fadzil mendesak supaya peraturan dibuat untuk menghalang parti pemerintah menggunakan alat-alat dan jentera kerajaan serta pegawainya untuk diguna bagi kepentingan BN.
Dekatnya dengan akar umbi

Mencari aspek kehebatan manusia bernama Ustaz Fadzil Mohd Noor tidaklah terlalu sukar kerana catatan susur galur kehidupannya, beliau memang seorang yang hebat tetapi sangat dekat dengan akar umbi. Tanpa alasan yang syarie untuk menolak, beliau tetap akan hadir ke mana-mana program yang dijemput hatta anjuran cawangan sekalipun, sedangkan ketika itu beliau adalah pemimpin nombor satu parti.

Beliau hadir sekalipun hanya untuk program jamuan durian, sekalipun kadang-kadang tidak dapat menjamahnya kerana masalah kesihatan. Semuanya lantaran sikap berbesar hati untuk meraikan ahli-ahli di akar umbi. Jika aktiviti di akar umbi pun diraikan beliau, maka tidak sukar baginya meraikan pandangan ahli-ahli di semua peringkat. Ustaz Fadzil adalah seorang pendengar yang sangat baik. Perkara ini tampak kecil namun ia tidak mampu dilakukan oleh semua pemimpin besar.

Sumber di petik dari  http://notautara.blogspot.com/2013/06/almarhum-ustaz-fadzil-noor-yang-sukar.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini