Khamis, 8 Oktober 2009

Produk plum, prun kering mengandungi logam plumbum berlebihan diharamkan

Produk plum, prun kering mengandungi logam plumbum berlebihan diharamkan
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).
Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras tersebut, tindakan undang-undang akan dikenakan.
"Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau keduaduanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan U.S Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lepas.
Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".
Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".
Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.
Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.
Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangkamasa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.
Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.
"Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produkproduk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.
Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. BERNAMA

Dikutip dari Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini