Rabu, 28 Oktober 2009

Tidak perlu EGM ganti pemimpin: Azizan

Tidak perlu EGM ganti pemimpin: Azizan




JITRA - Seseorang pemimpin Pas yang tidak disukai boleh diganti tanpa melalui Muktamar Khas (EGM).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, proses penggantian sebaliknya boleh diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat sahaja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Atas sebab itu, Pas Kedah berpendirian bahawa EGM tidak perlu buat masa ini, dan yang perlu diadakan hanyalah mesyuarat jawatankuasa Pusat," kata Menteri Besar Kedah itu.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah turut menyanggah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa wujudnya perpecahan serius dalam Pas susulan kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu diadakan EGM bagi menyingkir tiga pemimpin kanan parti itu yang dikatakan bermasalah.

Sebaliknya, kata Azizan, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat yang disuarakan oleh beberapa kepimpinan tertinggi parti itu, dan isu itu tidak sedikitpun memecah-belahkan perpaduan dalam Pas.

“Biasalah dalam parti mana pun, kepimpinan tertinggi menghadapi perbezaan pendapat. Namun kita bukannya berdepan dengan masalah pun, saya pun tidak pasti apa puncanya sehingga timbul kemelut ini, sebab dalam Pas tidak ada masalah pun,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri di Institut Pendidikan Guru (IPDA) Kampus Darulaman, semalam.

Menurutnya, tidak wujud dua kumpulan dalam parti itu seperti yang didakwa, dan berikutan itu, tiada keperluan untuk mengadakan EGM.

“EGM hanya untuk menyelesaikan isu-isu besar sahaja, tetapi Pas hanya berdepan dengan isu perbezaan pendapat, namun masalah ini tidak sama dengan MCA yang berdepan dengan masalah kepimpinan manakala UMNO pula meminda perlembagaan parti,” katanya.

Najib dalam satu kenyataan kelmarin berkata, percanggahan dalam Pas semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu, iaitu satu mahu bekerjasama dengan UMNO dan satu kumpulan lagi sebaliknya.

Azizan berkata, dakwaan wujudnya pihak ketiga yang cuba melaga-lagakan saf kepimpinan parti itu dengan menimbulkan semula isu pemimpin Pas pro-UMNO tidak dapat dipastikan.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada didalangi pihak ketiga atau kemungkinan Tok Guru kecewa dan meluahkan pendapat peribadinya kerana tertekan dengan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya. Saya tidak menyalahkan Tok Guru dengan tindakannya itu,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak bersabar dan menunggu keputusan yang akan diambil oleh Ahli Jawatankuasa Pusat yang akan bermesyuarat Rabu ini bagi menyelesaikan isu EGM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular