Khamis, 7 Januari 2010

"Ibu Kenapa Kita Perlu Basuh Tangan?"

"Ibu Kenapa Kita Perlu Basuh Tangan?"
BAHAGIAN PERTAMA
BARU-BARU ini ketika makan di sebuah medan selera di sini, penulis terdengar seorang anak kecil cuba meminta penjelasan daripada ibunya kenapa dia perlu basuh tangan sebelum makan.
"Nak bersihkan daripada kuman. Kalau sentuh makanan dengan tangan yang ada kuman dan kita makan makanan itu, nanti kita akan sakit," jawab si ibu.
Ternyata si ibu menyedari mengenai ancaman jangkitan terhadap anak kecilnya dan pastinya beliau tidak lupa akan ancaman wabak selesema H1N1, yang juga dikenali sebagai influenza A, yang masih wujud dan menjadi pandemik di dunia sejak April tahun lepas.
Sebagai sebahagian dari tindakan yang diambil bagi membendung penularan wabak selesema ini, pihak berkuasa kesihatan di negara ini menekankan faktor kebersihan diri sendiri merupakan antara langkah yang boleh menghalang jangkitan penyakit ini.
Antara langkah ini ialah menjaga kebersihan tangan.
TANGAN YANG KOTOR
Menurut Dr P. Ragesh, pegawai perubatan kawalan penyakit di sebuah institusi kesihatan awam di sini, terdapat beberapa cara manusia boleh dijangkiti kuman.
"Antaranya dari tangan ke makanan. Kuman boleh dipindahkan dari tangan yang kotor kepada makanan. Bila anda atau orang lain makan makanan tersebut, mungkin akan sakit".
Kata beliau, situasi sebaliknya juga boleh berlaku iaitu dengan cara dari makanan ke tangan. Bila seseorang itu mengendalikan makanan mentah atau yang belum dimasak dan jika dia tidak membersihkan tangan, ada kemungkinan beliau memindahkan kuman itu ke makanan yang lain yang kemudian akan dimakan dan menyebabkan berlakunya penyakit.
Awas jika anda menukar lampin bayi yang kotor!
"Memang ada banyak kuman pada lampin bayi yang kotor. Tanpa membasuh tangan, kuman ini akan dipindahkan kepada apa saja termasuk orang lain dan juga bayi itu sendiri," kata Dr Ragesh.
Hidung, mulut dan mata juga merupakan cara lain di mana kuman boleh dipindahkan dan cara yang terbaik untuk mengatasinya ialah dengan membasuh tangan anda.
Menurut Dr Ragesh, antara bakteria yang hadir di tapak tangan dan jari ialah staphylococcus (yang boleh menyebabkan bisul dan nanah), streptococci (sakit tekak), bacillus, clostridim, Escherichia Coli atau E Coli yang boleh menyebabkan ciritbirit serta juga virus Influenza A yang menyebabkan selesema babi.
"Membasuh tangan anda ialah kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan dan walaupun anda sihat, anda mesti terus amalkan membasuh tangan, sebab kuman biasanya menjangkiti beberapa hari sebelum anda berasa sakit".
Malangnya masih ramai dalam kalangan umum yang tidak membasuh tangan mereka secara betul, bahkan hanya 'membasahkan' tangan sahaja sebelum makan.
"Contohnya bila pergi kenduri, tetamu hanya 'membasahkan' tangan sebelum makan. Mungkin tuan rumah tidak menyediakan kemudahan tempat basuh tangan seperti sinki serta sabun atau cecair pembasuh tangan," kata beliau.
BASUH TANGAN DENGAN SABUN
"Pastikan anda basuh tangan sekurangkurangnya 20 saat sebelum makan," kata Clarence Wong seorang jururawat kanan di sebuah pusat perubatan di sini.
Kenapa perlu sedemikian?
"Membasuh tangan anda dengan sabun dan air ialah cara paling baik untuk menghalang penyakit berjangkit. Tangan anda memang ada kuman dan kalau kuman ini dapat masuk ke dalam badan, ia boleh menyebabkan infeksi", kata beliau.
"Kuman-kuman ini boleh menimbulkan masalah pada kesihatan anda seperti sakit tekak, bisul, jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit, jangkitan salur kencing dan juga bengkak usus," kata Wong.
BILA PERLU BASUH TANGAN?
Kata Wong membasuh tangan ialah satu keperluan sebelum menyediakan makanan dan juga sebelum makan.
"Jangan sekali-kali lupa membasuh tangan anda dengan sempurna selepas ke tandas, juga selepas menyalin lampin bayi, dan selepas menghembus hidung, batuk atau bersin".
Bagi petugas perubatan di barisan hadapan seperti doktor dan jururawat , mereka perlu memastikan tangan mereka dibasuh selepas atau bersentuhan dengan pesakit. Serta juga sebelum dan selepas merawat luka.
"Jangan lupa membasuh tangan anda selepas mengutip dan membuang sampah," kata Wong.
PALING MURAH DAN MUDAH MENCEGAH JANGKITAN
Membasuh tangan adalah cara yang paling murah dan mudah untuk mencegah jangkitan penyakit.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, membasuh tangan ialah barisan pertahanan pertama dalam menentang jangkitan kuman.Virus, bakteria dan parasit boleh menyebabkan penyakit dan sesetengah penyakit ini amat senang berjangkit dan merebak melalui batuk, bersin dan sentuhan secara langsung.
Kata Wong: "Bayi dan anak kecil memang senang dijangkiti penyakit kerana mereka belum ada imuniti dan ketahanan secukupnya terhadap kuman yang biasa didapati di sekeliling mereka".
Orang dewasa perlu basuh tangan sebelum mengendalikan makanan atau makan, juga sebelum memberi anak makan, selepas pergi ke tandas, selepas menukar lampin anak, selepas kembali dari kerja atau melakukan aktiviti luar rumah, selepas memegang binatang peliharaan, selepas membantu anak menggunakan tandas dan juga selepas menyapu hidung dan mulut anak.
Bagi kanak-kanak, mereka perlu diajar membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan tandas, selepas bermain dengan haiwan peliharaan, selepas bermain di taman permainan dan juga bila tangan mereka kelihatan kotor.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini