Selasa, 1 Jun 2010

Bukan Semua Subsidi Buruk Kepada Negara

Tuesday, June 1, 2010

Bukan Semua Subsidi Buruk Kepada Negara

1. Pembentangan Makmal Rasinonalisasi Subsidi baru-baru ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada rakyat negara ini. Jika saranan-saranan oleh Makmal tersebut dilaksanakan sepenuhnya saya percaya negara ini akan mengalami inflasi yang serius dan akan menjejaskan kehidupan rakyat.

2. Pada Disember tahun lalu saya mencadangkan agar diwujudkan mekanisme baru subsidi bagi menentukan had kemampuan kerajaan memberi subsidi dan menentukan sektor yang akan mendapat subsidi mengikut kepentingan masyarakat ramai.

3. Sebaliknya apa yang diumumkan ialah usaha kerajaan untuk menarik balik semua subsidi bagi menambah kantung negara untuk tujuan projek pembangunan. Mengumumkan kerajaan akan muflis pada 2019 jika kerajaan meneruskan subsidi bukan satu perkara yang bijak politik, malah pandangan tersebut masih boleh dipertikaikan ketepatannya.

Subsidi dan Monopoli
4. Mungkin kerajaan perlu menghapuskan subsidi dalam beberapa industri yang tidak begitu utama kepada rakyat seperti gula. Namun penghapusan subsidi ini perlu dijalankan serentak dengan liberalisasi industri tersebut. Benarkan sesiapa sahaja mengimpot gula dan bersaing dengan terbuka.

5. Demikian juga beras, jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras, jalan terbaik ialah menghapuskan monopoli beras dan kawalan kemasukan beras negara luar. Kerajaan tidak boleh dalam satu keadaan menarik subsidi tetapi dalam masa yang sama mahu menentukan "pemain" industri.

6. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

Subsidi Petrol dan Inflasi
7. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

8. Jika harga petrol terlalu tinggi ia akan menyebabkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak lagi keluar membeli belah, bersiar, mahu pun melancong di dalam negara. Ini sekaligus mengurangkan putaran ekonomi negara. Dalam jangka masa panjang ekonomi negara akan meleset sekaligus akan lebih merugikan kerajaan.

9. Status harga petrol sepatutnya dikekalkan seperti sekarang iaitu, Petrol RON 95 dijual dengan subsidi 30 sen seliter. Manakala Petrol RON 97 dijual mengikut harga pasaran. Ini satu yang telah diterima oleh rakyat dan sewajarnya diteruskan. Malahan saya ingin menyarankan agar harga Ron 97 ditentukan terus oleh syarikat minyak tanpa campur tangan kerajaan.

10. Dalam pada itu, pam bagi petrol RON 97 juga harus diperbanyakkan bagi membolehkan mereka yang ingin menggunakan RON 97 tidak perlu menunggu lama akibat pam yang terhad. Stesen minyak harus menyediakan pam yang sama banyak antara petrol RON 95 dan RON 97. Ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan RON 97.

Jangan Usik Subsidi Pendidikan

11. Saya berharap kerajaan tidak mengambil keputusan "mengacau" peruntukan subsidi dalam bidang pendidikan. Ini kerana ia merupakan masa depan anak-anak kita. Kerajaan sepatutnya mencari jalan memberi lebih banyak pendidikan murah dan percuma kepada rakyat bukannya berusaha menambah beban perbelanjaan pendidikan kepada rakyat.

12. Kita mungkin dapat menjimat perbelanjaan negara dengan menarik subsidi pendidikan namun dalam masa akan datang lebih banyak akan dibelanja oleh kerajaan bagi menangani pelbagi masalah sosial, jenayah dan kemiskinan apabila generasi muda tercicir dalam pendidikan.

Menambah Pendapatan Negara
13. Saya melihat kerajaan lebih ke arah mencari jalan mengurangkan perbelanjaan subsidi berbanding mencari jalan menambah pendapatan. Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Menteri tentu boleh menyelesaikan masalah pendapatan negara jika sekadar mahu mencadangkan penghapusan subsidi.

14. Sebaliknya kita mahu Menteri yang boleh mendapatkan pendapatan negara yang lebih besar bagi membantu rakyat dalam negara. Kita memerlukan menteri yang boleh meningkatkan pendapatan negara tanpa menarik terlalu banyak keitimewaan yang dinikmati rakyat. Apa salah subsidi jika ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat? Bukankah tugas kerajaan mensejahterakan kehidupan rakyat?

15. Apa yang perlu kerajaan lakukan hari ini ialah meningkatkan pendapatan negara bagi membolehkan pendapatan negara berkali ganda lebih besar daripada perbelanjaan subsidi.

16. Rakyat mahu melihat kesungguhan kerajaan meningkatkan pendapatan negara bagi membantu mereka bukannya menarik keselesaan rakyat bagi memberi lebih banyak wang kepada kerajaan.
0 comments

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular