Ahad, 6 Jun 2010

Judi membawa bala

Judi membawa bala

ISLAM menyuruh kita bersukan kerana ia nyata memberi faedah kesihatan kepada tubuh badan. Menjelang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, maka saya lihat di negara kita juga, promosi rancak dijalankan, oleh televisyen dan syarikat-syarikat yang sibuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan hasil dari demam bola sepak ini. Namun apa yang sangat mendukacitakan saya akhir-akhir ini, apabila pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberikan keizinan dan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia ini.
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang memberi taat setia dan cintakan negara dan salah seorang yang diberi amanah untuk menjaga agama Islam yang mulia, saya dengan rasa bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara ingin memberikan pandangan dari sudut agama dan nasihat sebagai seorang warganegara yang sayangkan pemimpin yang ada mengenai hasrat kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi sempena berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram.
Pada hemat saya, hasrat tersebut tidak wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ia juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah saya berpendapat dengan pemberian lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada negara, masyarakat dan individu. Dengan itu, saya menyarankan agar pihak kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut bersandarkan kepada beberapa pertimbangan berikut;
1. Menjejas nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Sedangkan amalan judi merupakan salah satu tegahan Allah SWT yang sangat jelas. Firman-Nya; Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib merupakan amalan yang kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90)
Ulama sepakat berdasarkan ayat di atas judi itu adalah haram, malah sesiapa yang menghalalkannya selepas itu, maka gelincirlah imannya.
Dengan pemberian lesen tersebut secara tidak langsung telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membenarkan amalan judi. Hal ini amat bercanggah dengan roh dan inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dari sudut perundangan, budaya dan sosio masyarakat.
2. Menghormati sensitiviti umat Islam yang berpendapat judi sebagai aktiviti haram dari sudut syarak dan majoriti rakyat Malaysia yang memandang judi sebagai aktiviti jijik dan yang tidak bermoral. Manusia yang berfikir secara waras dan bijaksana akan menolak amalan judi biar sekali pun mereka bukan terdiri daripada orang yang kuat berpegang kepada agama atau sebaliknya. Malah mereka yang tidak beragama sekalipun tetap berpendapat judi akan merosakkan individu dan masyarakat. Berjudi merupakan pembaziran tanpa sebab, membuang masa dan melalaikan, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, melatih sifat malas berusaha dan membiasakan tabiat suka berhutang, menimbulkan kepincangan ekonomi individu secara tiba-tiba dan akhirnya memporak-perandakan keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Sepatutnya pihak kerajaan perlulah lebih prihatin dalam memberi pertimbangan mengenai perkara-perkara sebegini demi menjaga keharmonian dan kemaslahatan rakyat jelata. Umum berpendapat kerajaan dengan isu itu telah menguburkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap dirinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai dan diberi mandat untuk mempertahankan agama dan maruah umat Islam.
3. Tidak dapat dinafikan hasrat kerajaan mengawal aktiviti judi tidak berlesen adalah satu langkah yang amat positif namun penyelesaiannya bukanlah dengan cara memberi lesen. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Pemberian judi berlesen tidak akan sama sekali membawa kepada pengawalan aktiviti judi tidak berlesen. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi berlesen. Begitu juga justifikasi pihak kerajaan bahawa pemberian lesen judi akan meningkatkan kutipan hasil yang akan dapat dimanfaat untuk faedah rakyat dan kepentingan negara adalah terlalu lemah.
kepincangan
Kenapa kita hanya melihat kepada faedah jangka pendek dan melupakan segala bentuk masalah yang lebih besar dan segala macam kepincangan yang akan dihasilkan daripada pemberian judi berlesen ini. Firman Allah:
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya, (al-Baqarah: 219)
Secara umumnya, untuk menimbang tara kemaslahatan dan kemudaratan, Imam al-Syatibi mengemukakan beberapa asas utama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan seperti;
Maksudnya: “Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mengambil kemanfaatan”
Maksudnya: “Tindak tanduk pemerintah hendaklah bersandarkan maslahat”.
Persoalannya, apakah dengan memberikan lesen judi itu akan memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum untuk rakyat (maslahat)? Pada hal, pemerintah juga hendaklah bertanggungjawab mengawal, membasmi, mencegah dan menghindari kemungkaran, kefasadan yang berlaku. Saya berpendapat, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau kemaslahatan kepada kepentingan umum rakyat kecuali hanyalah kepada individu-individu tertentu yang bergelar taukeh judi semata-mata. Malah cadangan tersebut turut membelakangkan kepentingan umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan supaya rakyat tekun bekerja, giat bertani dan berniaga, membina kecerdasan intelektual dan matang, mempunyai daya saing yang tinggi di samping keluhuran peribadi dan pegangan yang utuh kepada nilai dan agama.
Akhirnya saya ingin mengingatkan kita semua dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Araf: 96: Bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan.
Nyata dalam ayat ini, bahawa hanya keimanan dan ketaatan pemerintah dan rakyat sebuah negara kepada Allah SWT saja akan membuka limpahan rezeki atau taraf ekonomi sebuah negara. Namun ketika mana maksiat berleluasa, maka Allah SWT menjanjikan azab dan kesusahan yang menimpa negara tersebut. Demi Allah! Saya risau dan takut dengan kepelbagaian masalah dan maksiat di negara kita ini yang masih tidak mampu untuk kita tangani, akan datang pula bala dari Allah tanpa kita sangka dan duga.
Justeru itu, saya menasihatkan dan merayu agar pihak kerajaan membatalkan kelulusan untuk mengeluarkan lesen judi tersebut sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan rakyat jelata dan memartabatkan negara, bangsa dan agama. Saya yakin negara tidak akan rugi, dengan membatalkan lesen judi tersebut, saya betul yakin, kerana itu adalah janji Allah SWT.

dikutip dari utusan malaysia online...

nota: sahibul samahah mengulas cara berhemah di sebelah sini ttp bila di pihak lagi satu bukan main keras ulasan nya. Mufti perlu bebas dr unsur politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular