Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah:275)
Riba terbahagi kepada dua jenis.
i. Riba hutang piutang.
Islam menerangkan kepada kita mengenai riba hutang piutang menerusi al-Quran.
ii. Riba jual beli 6 barang ribawi dan jenisnya.
Islam menerangkan kepada kita mengenai riba jual beli menerusi hadis.
Riba hutang piutang banyak berlaku dalam urusan perbankan konvensional. Maka, cara untuk kita mengelakkan riba hutang piutang ini adalah dengan berhenti menjadi pelanggan perbankan konvensional dan bertukar menjadi pelanggan perbankan Islam sama ada untuk simpan duit atau berhutang.
Betul, ada operasi satu, dua perbankan Islam tidak buat ikut sepatutnya. Itu ibaratnya seperti dalam masyarakat Muslim, ada seorang, dua yang suka buat maksiat. Namun adakah kesilapan seorang, dua itu bermaksud masyarakat Muslim semuanya tidak betul ?
Ya, ada pihak yang menyatakan perbankan Islam ini sama saja dengan perbankan konvensional malah lebih ‘mahal’ dan ‘zalim’. Maka, lebih baik kekal dengan perbankan konvensional yang bergelumang dengan riba.
Malangnya tindakan kita terus bersama bank konvensional akibat salah faham sebegitu terus menghilangkan keberkatan harta .
1. Hanya tukar istilah bunyi Arab
Perbankan Islam bukan sekadar menukar istilah tetapi operasinya menggunakan kaedah mencipta hutang yang berasaskan jual beli atau kaedah sewa kemudian beli.
Bank konvensional memberikan kontrak pinjaman yang menghasilkan hutang dan mengambil untung dari riba. Manakala perbankan Islam banyak menggunakan kontrak jual beli yang menghasilkan hutang dan mengambil untung darinya. Pinjaman menghasilkan hutang. Jual beli bertangguh juga menghasilkan hutang. Ini bermaksud bukan semua hutang datang dari pinjaman.
Betul, kita tetap berhutang dengan perbankan Islam tetapi hutang tersebut tercipta dari proses jual beli yang halal.
Kesan secara zahir memang sama. Hutang. Kena bayar kepada bank. Namun pada hakikatnya ia berbeza.
Kalau kita masih berpendapat masih tidak ada beza, maka apakah perbezaan suami isteri yang berjima’ dan mendapat pahala darinya dengan lelaki perempuan yang berzina dan mendapat dosa darinya?
Apakah aqad nikah itu hanya tukar istilah berbunyi Arab?
2. Mahal dan membebankan
Kenapa harga nasi goreng yang dibeli di warung tepi jalan murah manakala nasi goreng yang dibeli di kafe hotel mahal? Apakah jual beli nasi goreng di kafe hotel membebankan mereka yang tidak mampu justeru menjadikan ia haram?
Islam tidak pernah menetapkan had keuntungan seseorang peniaga. Harga tertakluk kepada persetujuan penjual dan pembeli. Jika pembeli tidak bersetuju dengan harga yang disebut oleh penjual, maka dapat berlaku proses tawar menawar dan jika masih belum ada persetujuan, pembeli bebas untuk tidak membeli.
Dari sudut operasi, sejak tahun 2003 perbankan Islam sudah pun mempunyai mekanisma ‘floating rate’ yang membolehkan bayar bulan-bulan sama sahaja dengan perbankan konvensional malah proses jual beli yang berlaku dapat mengelakkan pelanggan dari perlu membayar bulan-bulan yang sangat tinggi apabila Bank Negara Malaysia melonjakkan kadar Overnight Policy Rate (OPR) melebihi kebiasaan kerana keuntungan bank tertakluk dengan harga jualan.
Dalam Islam juga sebab pengharaman mesti objektif dan bukan subjektif seperti mahal dan membebankan. Ahmad mungkin berasa air sirap di pasar malam RM 1 itu mahal, tetapi Ali mungkin berasa RM 1 itu murah.
Jika “membebankan” dapat menjadi sebab haram, maka tanyalah budak 7 tahun, “Puasa Ramadhan itu membebankan atau tidak?”
3. Perbankan Islam tak boleh untung banyak
“Kalau pun tiada larangan jual mahal, jual murah dah lah,” hati kita terdetik.
Perbankan Islam beroperasi dalam konteks entiti perniagaan dan bukannya badan kebajikan. Jika mahu mendapat bantuan, pusat zakat adalah tempatnya. Perbankan Islam hari ini juga bukan organisasi mikrokredit seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Jadi apabila menyebut entiti perniagaan, maka untung adalah matlamatnya dan sudah tentu dengan cara yang halal.
Malah hadis menyebut, memberi hutang mendapat lebih banyak pahala dari memberi sedekah.
Apa yang Islam larang adalah menipu dan bukannya membuat untung. Keuntungan sesebuah bank itu akan disalurkan semula kepada depositor seperti pemegang akaun mudharabah dan juga pemegang saham melalui dividen tahunan. Jika perbankan Islam tidak boleh buat untung dari operasi perbankan, bagaimana pengurus dana patuh Shariah misalnya boleh mendapat untung dan memberi keuntungan tersebut semula kepada kita semua ?
4. Zaman Nabi tidak ada bank
Betul. Zaman Nabi juga tidak ada facebook, twitter, internet, blog, emel, kereta, kapal terbang, kasut BATA dan seterusnya.
5. Dokumentasi menyusahkan
Dokumentasi bank riba lebih mudah kerana proses utama adalah beri pinjam. Manakala kebanyakan dokumentasi bank Islam perlu minimum dua set perjanjian jual beli untuk keluar daripada riba. Jika dokumentasinya sama, baru lah betul dakwaan yang menyatakan, “Perbankan Islam cuma tukar istilah.”
6. Ekonomi Islam mesti equity-based financing, sharing risk, sharing profit.
Debt-based financing dan equity-based financing saling melengkapi. Beri kemudahan hutang pun Allah suka, buat perkongsian pun Allah suka. Noktah.
7. Tidak Guna Dinar Dirham
Bank selaku orang tengah (financial intermediary) mempunyai fungsi tersendiri dalam apa jua bentuk matawang. Satu hari nanti apabila ‘gold standard’ atau dinar dirham digunakan semula, peranan bank tidak berubah kerana cek yang kita pakai hari ini, orang Islam juga yang cipta. Dikeluarkan di Baghdad, Iraq dan ditunaikan di Maghribi.
Zaman Nabi saw gunakan dinar dirham tetapi masyarakat Arab masih tetap bergelumang riba dan Nabi saw memerangi riba selumat-lumatnya.
Oh, bank dicipta Yahudi sebab tu bank haram.
Eh, tapi boleh pula istilah dinar dan dirham diambil dari orang Rom (penganut agama Nasrani) iaitu denarius dan drachm?
8. Apa pun yang disebut, itu semua alasan menghalalkan back-door riba!
Selepas Quran, maka hadis adalah pegangan kita. Berikut adalah hadis Shahih dari Imam Muslim dan Imam Ahmad:
Dari Abu Sa’id al-Khudri, satu hari Bilal r.a. membawakan Nabi saw 1 sa’ (timbangan kurma) kurma yang berkualiti dan baginda pun bertanya sumber kurma tersebut. Bilal pun menjawab, “Saya ada 2 sa’ kurma yang berkualiti rendah dan saya tukar dengan 1 sa’ kurma berkualiti ini.”
Lantas baginda pun berkata, “Tidak! Ini adalah riba, jangan buat begitu. Kamu sepatutnya menjual dulu 2 sa’ kurma berkualiti rendah dan hasil jualannya barulah digunakan untuk membeli kurma yang berkualiti tinggi.”
Maka apabila Nabi saw menunjukkan cara keluar dari riba adalah melalui jual beli sebegini adakah baginda mengajar kita melakukan back-door riba?
Apakah perbezaan barter trading yang dilakukan oleh Sahabat itu tadi dan jual beli yang Nabi saw suruh buat sedangkan hasilnya sama iaitu mendapat 1 sa’ kurma berkualiti ?
Saya memilih beriman dengan hadis Nabi.
Sumber: http://www.pakdi.net