Khamis, 1 Disember 2011

Adab dan Cara Menyambut Kelahiran Anak Dalam Islam


Adab dan Cara Menyambut Kelahiran Anak Dalam Islam








  • Membersihkan/memandikan bayi
    Sesudah sahaja bayi baru dilahirkan, maka adalah diperlukan untuk membersihkan/dimandikan bayi itu dengan betul dan baik agar posisi bayi itu bersih dan sihat. Selalunya amanah membersihkan bayi yang baru lahir itu adalah dibawah tanggungjawab jururawat,bidan,bapa anak atau mereka yang penyayang serta pengasih kepada bayi serta berkebolehan meyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibesihkan perlulah dililit/dipakaikan dengan kain tuala yang bersih dan lembut sebaiknya berwarna putih.



  • Azan dan Iqamat
    Sunat untuk diazan dan diiqamat bayi sesudah kelahirannya. Cara-caranya; bayi hendaklah dipegang dengan menghadap ke arah kiblat. Azankan pada telinga kanannya dahulu dan kemudian barulah diiqamatkan pada telinga kiri bayi. Serta disunatkan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada bayi tersebut.Bacaan tidak perlulah dibaca terlalu kuat cukup sekadar memperdengarkan bacaan pada bayi sahaja. Salah satu hikmah melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang bayi dengar.



  • Tahnik
    Sunat 'Tahnik' selepas anak dilahirkan. Tahnik adalah amalan memindahkan benda yang manis seperti kurma kepada lidah bayi yang baru dilahirkan. Kalau tidak ada kurma, boleh digantikan dengan makanan lain yang manis seperti madu dan sebagainya. Ia dilakukan dengan meletakkan kurma yang lembut di hujung jari. Kemudian gerakkan jari tersebut ke dalam mulut bayi ke kiri dan ke kanan sehingga ia meliputi mulut bayi tersebut dengan kurma tadi. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan. Selain itu, tujuan lain adalah untuk melancarkan percakapan anak kecil selain mengetengahkan anak kecil itu agar kelak selalu berkata manis dan benar.



  • Memberikan nama
    Sunat memberikan nama yang mempunyai makna yang baik kepada anak sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempengaruhi keperibadian anak tersebut. Menamakan anak boleh dilakukan pada hari pertama kelahiran sesudah bayi itu diazan dan diiqamatkan atau pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.



  • Menggunting rambut (bercukur)
    Sunat menggunting rambut (tahallul kecil) bagi anak yang baru dilahirkan. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiran, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran.
    Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain.
    Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.



  • Aqiqah
    Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir.Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu,kerbau,unta ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Hukum aqiqah ialah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan bagi yang berkemampuan. Melaksanakannya adalah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga bayi tersebut. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sejak anak dilahirkan tanpa sebarang tempoh masa. Ia lebih baik dilakukan pada hari ke-7, ke-14 atau ke-21. Aqiqah untuk anak lelaki ialah 2 ekor kambing atau dua bahagian lembu. Untuk anak perempuan pula kadarnya ialah seekor kambing atau satu bahagian lembu (seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian).



  • Berkhatan
    Perkara ini menjadi sunat kepada anak perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki. Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
    a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
    b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
    “ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”

    Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
    (Riwayat Al-Baihaqi). Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia. Para saintis moden telah menggalakkan khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.


*Sumber: 
1. Bab Adat Resam Kelahiran: Kaum Melayu, Buku Kerja Program Integrasi Keagamaan, Program Latihan Khidmat Negara Malaysia; Edisi kedua 2008, m/s 33-35http://budaktechnician.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular