Rabu, 14 September 2011

Dua Pelajar Tingkatan 5 Antara Lapan Suspek Kes Samun Restoran Mamak Ditahan ..


SHAH ALAM: Polis Selangor menahan lapan lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima dan dua pengawal keselamatan sebagai suspek rompakan bersenjata secara berkumpulan di dua buah restoran mamak pada 28 Ogos dan 8 September lepas di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek pertama ditangkap di Pangsapuri Rimba Jaya, Klang pada 8 September pukul 11 malam selepas rompakan ke atas restoran mamak dilakukan pada pagi hari yang sama.
Penangkapan suspek pertama membawa kepada penahanan tujuh lagi suspek sehingga Ahad lepas (11 September) dan kesemua suspek yang berumur antara 17 dan 27 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Bagaimanapun, beliau berkata polis masih mencari seorang lelaki dikenali sebagai S.Veeramuthu, 19, dari Kapar bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Katanya, seorang daripada suspek yang ditahan adalah antara mereka yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun sebuah rumah di Gombak.
Beliau berkata, kejayaan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes samun restoran mamak ini berjaya menahan suspek walaupun mereka cuba menyembunyikan identiti mereka dengan memakai topi keledar dan jaket semasa merompak adalah hasil intipan yang berkesan.
Polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha yang dilaporkan dicuri di Shah Alam, sebuah beg laptop, topi keledar dan jaket yang dipakai mereka semasa melakukan rompakan.
Dalam perkembangan lain, Tun Hisan berkata polis menahan tiga lelaki pada 8 September lepas yang merupakan di antara sembilan suspek dalam kes samun bersenjata sebuah gudang beras di Taman Perindustrian Rawang sehari sebelumnya.
Suspek pertama ditahan di sebuah premis di Sungai Buloh dan dua lagi ditahan di kawasan perumahan di Sungai Buloh pada hari yang sama.
Hasil siasatan awal, polis menemui semula tiga lori bersama sebahagian muatan beras yang dilarikan suspek-suspek yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori di sebuah kawasan di Sungai Buloh pada hari yang sama, katanya.
Beliau berkata, sejumlah 54 kampit beras daripada pelbagai jenama turut ditemui semula yang merupakan sebahagian daripada beras yang disamun bernilai RM220,000.
Beliau berkata, polis juga sedang mencari seorang daripada enam suspek yang masih bebas dikenali sebagai K.Nalluu, 24, dari Selayang bagi membantu kes itu.Ketiga-tiga suspek berumur antara 25 dan 30 tahun kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini