Jumaat, 30 Disember 2011

Gambar-Gambar Solat yang jarang kita lihat.

Gambar-Gambar Solat yang jarang kita lihat.

Oleh: zharifjenn

"Pelbagai alasan orang tak nak solat – seluar kotor lah (dah tau kotor kenapa pakai?) , tak sempat (sibuk pergi open house), tak ada masjid/surau dan yang paling menyedihkan apabila kawan tak solat kita pun tak solat kononnya takut dipanggil alim sedangkan solat adalah kewajipan kita.

Peringatan untuk diri sendiri juga anda – tiada alasan untuk ponteng solat. Malaikat di bahu kiri kita tidak pernah jemu mencatatkannya.



Semoga gambar-gambar di bawah memberi sedikit keinsafan kepada kita supaya tidak lalai menunaikan kewajipan kita sebagai seorang hamba.











Untuk melihat byk lagi gambar + video --->Klik sini
"

Himpunan Hadis

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Rahsia Hari Jumaat



  • 0di

  • 263
     

Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat
Amalan Sunat Hari Jumaat



Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi.
Sesudah itu bersegeralah ke masjid. Sabda Rasulullah SAW:
” Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah”
Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang sembahyang.
Solat Sunat dan Bacaan Surah Pilihan
Kerjakanlah sembahyang tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadis dinayatakan: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga”
Jangan tingggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.
Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma’uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 – 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.
Kemudian beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.

Sumber: http://www.mafhq.mil.my

ISU MADRASAH SALIHIAH - DEPA TANYA KERAJAAN NEGERI JAWAB


Latarbelakang:
PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta ingin memulih dan memajukan Kompeks Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan sahaja memulihkan bangunan terbengkalai tetapi keseluruhan kawasan di sekitar itu. Pelaburan besar itu bakal memberi peluang ekonomi serta peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negeri ini. Isu yang timbul ialah dalam kawasan yang mahu dibangunkan itu terdapat tanah wakaf berkeluasan 0.08 hektar dan di atas tanah itu ada bangunan yang dinamakan Madrasah Salihiah. Pemegang amanah harta wakaf itu adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Kerana harta wakaf itu terbabit dalam pelan pembangunan maka ia dicadang untuk dirobohkan sementara dan dibangunkan sebuah surau baru di tempat yang sama.

Dakwaan yang timbul dan penjelasannya:

1. Perobohan surau adalah tindakan zalim

Kerajaan negeri tidak lakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap tanah wakaf yang libatkan kepentingan Islam. Ia dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah yang diketuai oleh Dato' Sheikh Badaruddin Hj Ahmad. Majlis Fatwa bermuzakarah dan memutuskan bahawa surau tersebut boleh diroboh berdasarkan kaedah Istibdal iaitu berlaku pindah wakaf kepada manfaat yang lebih besar. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada MAIK selaku pemegang amanah surau untuk mendapatkan wakaf yang baharu. Di lokasi yang dirobohkan akan dibina surau baru yang lebih luas boleh mengisi 400 jemaah dalam satu masa berbanding 200 jemaah dalam surau lama. Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baharu diberi lagi. Roboh satu dapat dua dan lebih manfaat!

2. Mufti Kedah dipaksa turut kehendak kerajaan negeri

Yang Berbahagia Dato' Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berada di bawah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini adalah Yang DiPertuan Agong, bukannya lantikan oleh Menteri Besar. Justeru tuduhan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas. Mufti juga tidak membuat keputusan berseorangan, mereka bermuzakarah secara mendalam dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah yang terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh dipertikaikan.

3. Surau baru berada dalam kompleks membeli belah, sukar dimasuki

Surau baru yang akan dibina berada di aras bawah kompleks dan boleh dimasuki dari luar pada bila-bila masa walaupun kompleks beli belah ditutup. Ia menampakkan syiar sebuah surau dari luar, ada kubah dan boleh melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Sedangkan Madrasah Salihiah yang ada sekarang hanya di buka waktu Zohor dan Asar. Pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak dimakmurkan sepanjang lima waktu.

4. Surau bernilai 100 tahun, ada nilai sejarah mesti dipertahankan

Sebenarnya bangunan surau yang kononnya bernilai 100 tahun di atas tapak itu sudah diroboh tahun 2007 dan dibina sebuah bangunan yang baharu (yang ada kini). Sebahagian besar bangunan itu adalah ruang pejabat yang disewakan kepada sebuah syarikat insuran, hanya satu ruang digunakan untuk bersolat. Bangunan itu baru berusia 4 tahun dan pampasan yang diberikan dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan tersebut.

5. Seluruh bangunan Madrasah Salihiah yang berusia 4 tahun itu adalah surau atau Rumah Allah

Rumah Allah adalah gelaran untuk bangunan surau atau masjid yang menepati syarat. Antara syaratnya ialah tandas mesti terpisah dari bangunan utama musolla seperti mana hampir kesemua masjid yang terdapat di dunia ini. Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil Rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang diguna untuk surau macam surau yang terdapat di mana-mana bangunan lain juga.

6. Surau itu dimakmurkan oleh kira-kira 200 jamaah pada setiap waktu solat

Tidak benar. Hanya ada beberapa buah rumah orang Islam berhampiran surau itu kerana ramai yang sudah berpindah. Orang Islam yang masih tinggal, lebih selesa berjemaah di Masjid Zahir. Solat berjemaah di surau itu biasanya hanya waktu Zohor dan Asar, dihadiri beberapa orang yang bekerja di situ. Waktu Maghrib, Isya dan Subuh, pagar pun berkunci. Jika benar surau itu mempunyai 200 anak khariah, mengapa tiada seorang pun yang datang bersolat Subuh di surau? Ramai yang berdemonstrasi membantah bangunan itu dirobohkan tempohari mengaku ahli khariah tetapi sebenarnya mereka adalah penduduk Taman Wira Mergong, bukannya ahli khariah di situ. Bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insuran dari sebuah madrasah atau surau.

7. Sepatutnya ganti wakaf (RM1.48 juta) dibuat di sekitar lokasi tersebut juga

Cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya bagaimana hendak memenuhkan surau ganti wakaf yang dicadangkan itu sedangkan kawasan tersebut bukan perkampungan yang ramai orang Islam. Bukankah lebih baik memikirkan untuk memenuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang dibina itu. Dan lebih baik juga RM1.48 juga diguna untuk membina surau di mana-mana kawasan ramai penduduk. Bukan setakat untuk solat tetapi juga untuk pelbagai kegiatan umat Islam yang lain. Pahala yang mengalir kepada pihak yang mewakaf tentulah lebih besar.

8. Di sekitar itu juga terdapat gereja, mengapa gereja tidak dirobohkan sekali

Gereja tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan. Andainya gereja sengaja mahu dimasukkan, maka ganti gereja juga terpaksa dibuat di kompleks membeli belah itu. Adakah umat Islam negeri ini bersedia melihat sebuah gereja di kompleks membeli belah?

9. Pemaju Aman Central adalah orang kafir, mengapa beri peluang orang kafir majukan ekonomi mereka?

Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju tersebut. PKNK adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak boleh bersikap ‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.’ Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung.

10. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, Rumah Allah (masjid atau surau) diroboh untuk sebuah shopping complex

Tidak benar. Masjid Alor Malai pernah diroboh untuk pembangunan menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi ‘panas’ kerana pihak pembangkang kini merasa ‘terlebih pandai’ dari para ulamak yang ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah. 
 

Temui Jawapanmu Pada Sebuah Istikharah, Bukan Sekadar Cinta



Memang, rasa suka dan cinta itu membantu dalam proses khitbah dan ber-baitul Muslim.
Malah, penting juga pada setengah keadaan, dalam keadaan terkawal, dipanjangkan proses taaruf, agar ada rasa kecendurangan dan suka pada yang mahu dinikahi. Malah, ada seorang ikhwah pernah mengatakan, ”Pentingnya cinta itu lebih diutamakan daripada se’kufu’an dari sudut fikrah dan dakwah!”



Astaghfirullah.
Memang kita boleh memilih jalan hidup kita. Dan tentunya, apa sahaja jalan yang kita pilih, tentu akan berhadapan dengan ranjau serta durinya. Kerana ujian itu sahajalah tempat Allah menguji iman kita, dan tempat dia mengatakan kepada kita: ‘I love you my servant!’
Alangkah indahnya, di saat kita memilih salah satu jalan itu, kita memilihnya kerana Allah? Walaupun mungkin di sudut hati kita, ada kecenderungan mahupun kecintaan pada sesuatu yang lain. Dan tidak sedikit orang yang terkelabui malah tertutup hatinya di saat memilih pasangan hidup, akibat penangan cinta.
Lantas, pada istikharahnya sendiri, sudah memiliki kecenderungan pada yang dicintai.Kerana itu, aku amat memahami mengapa murabbi ku mendidikku untuk berkahwin dengan dakwah sebelum dengan ikhwah. Bukan kerana dia syadid, ataupun owh-mai-gowd macam malaikat, tapi kerana dia mahu mengajarkan aku sesuatu yang amat penting dalam hidupku; ‘No matter what happen to you in this life, jangan tinggalkan dakwah! Dan kembalikan hidupmu pada dakwah di saat penyelewangan mula berlaku.’
Bila kita memilih Allah dalam setiap perkara, di situ kita akan mengarahkan seluruh kehidupan untuk Dia. Malah menarik semua manusia yang berada dalam radar graviti kita, ke arah Dia. Dan tentu ini tidak mudah sama sekali.Malahan, setelah berkahwin, kita akan memastikan radar baitul muslim kita akan berpaksi dan kembali kepada Allah.Bukan sekadar pada sebuah cinta semata-mata.
Aku tahu kamu sedang mengalami dilema ini maka istikharahlah dengan sebenarnya.Aku katakan pada kamu dengan penuh kecintaan, istikharahlah.Istikharahlah!Dengan sekhusyuk dan sejujur hatimu supaya Allah menunjukkan jalan yang terbaik buat kamu dan supaya apa sahaja yang Allah takdirkan buat kamu, samada sukar mahupun senang, Allah akan bantu seluruh kehidupan kamu dan dakwahmu, dalam keadaan apa sekalipun.
Kerana Allah telah menyelamatkan diriku pada sebuah istikharah.Dan,setelah beristikharah dengan ramainya manusia.Sehinggalah aku amat bersyukur pada Allah, di saat Dia membukakan pada kami, tentang satu kisah dahulu yang sebenar. Walaupun pada satu detik, sebagai manusia biasa, aku serba salah dalam menolaknya.
Namun, Allah telah menyelamatkan aku, sehingga kebenaran terpamer pada dunia. Dan tentu aku amat bersyukur pada Allah, kerana dia membantu aku memilih Dia sebelum cinta, dan akhirnya cinta itu datang dengan sendirinya setelah Dia.
Di saat kamu benar-benar berpegang pada Allah, kamu kira Allah akan melepaskan tangan kamu?

Sumber: http://www.iluvislam.com/

Isnin, 19 Disember 2011

Ajal dalam van jenazah

Ajal dalam van jenazah
Oleh : SH PAHANG/WAN JUHAIDA WAN HASSAN
Tarikh : December 19, 2011
Van jenazah terbabas, dua maut
RAUB – Van jenazah milik Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang terbabas selepas pemandu dipercayai hilang kawalan di kilometer 333 Jalan Raub, mengakibatkan dua lelaki maut dan dua lagi cedera parah.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi melibatkan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang, Selangor, selepas selesai menghantar jenazah ke Kuala Krai, Kelantan.

“Mangsa solat subuh di Kuala Krai terlebih dahulu sebelum bertolak pulang selepas urusan penghantaran jenazah selamat disempurnakan.

“Pemandu van itu, Zaini Tamsir, 42, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan seorang penumpang kerusi belakang, Saffii Sajat, 61, juga meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, dua lagi mangsa cedera parah termasuk anak Zaini iaitu Zulhilmie, 15, yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan penumpang kerusi belakang, Amran Sewa, 40-an, yang patah tangan kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital dan dua mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Daerah Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Ketika kejadian cuaca cerah dan kemalangan mengakibatkan laluan trafik menjadi sesak untuk beberapa ketika sebelum berjaya dipulihkan pegawai keselamatan bertugas,” kata Mohd Nazlan

Khamis, 15 Disember 2011

Hassan Ali...

Cerita Hasan Mungkin Tidak Dicalon Terlalu Awal

APAKAH motif Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip membuat penjelasan mengenai kedudukan bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu Hasan Ali kemungkinan tidak akan dicalonkan untuk pilihan raya umum ke-13 nanti. Alasan yang diberikan ialah kerana Hassan kurang mendapat pencalonan di peringkat kawasan.

Menurut Saari, nama Hasan berada di bawah tiga individu lain yang dicadangkan oleh kawasan di mana kerusi yang disandang kini Gombak Setia, kedudukan itu menyebabkan Hasan tidak layak kerana hanya tiga calon yang mendapat undi terbanyak saja layak untuk dipertimbangkang menjadi calon.

Sudah pasti bila Saari membuat penjelasan itu ada motif tertentu. Ia bukan saja-saja hendak melepaskan kata. Apakah ia merupakan mesej bahawa Hasan tidak akan dipilih untuk jadi calon disebabkan beberapa isu kontroversi ditimbulkan Hasan dan dikira telah merosakan parti sebelum ini, begitukah?

Ataupun ia sebagai testing terhadap pengaruh Hasan di Selangor yang digambarkan oleh media massa tertentu begitu meluas sekali di samping dia juga mendapat sokongan kerajaan. Atau testing juga kepada Hasan sendiri untuk menyatakan sikap beliau terhadap Pas ekoran tindak tanduknya yang tidak direstui parti?

Pada saya kalaulah itu alasan diberikan Saari Sungip ia kurang tepat dan bijaksana. Ia seolah membuka budu di tengah kedai dan kurang rempah politik. Tidak semestinya calon yang mendapat sokongan dari kawasan yang hanya boleh dipertimbangkan. Sebelum ini berapa ramai calon Pas untuk sesuatu kawasan tidak pun mendapat sokongan atau perlu sokongan kawasan. Itu... calon bidan terjun tidak pun memerlu tapisan kawasan.

Tetapi mereka diletakkan juga atas kapasiti untuk membantu parti. Kawasan pula menerima ada dasar samiat na watha na. Pas berbeza dengan parti-parti lain dan inilah mengukuh dan mengistimewakan Pas.

Berasaskan itu Saari sepatutnya tidak menyuara mengenai kedudukan Hasan begitu. Pada saya banyak buruk daripada baik dengan apa yang Saari lakukan. Kalaupun Hasan hendak digugurkan kerana dia memberi reputasi buruk kepada Pas, janganlah dibuat sekarang kerana pilihan raya masih jauh.

Atau pun seperti dikatakan tadi Pas Selangor hendak menguji sejauh mana Hasan akan menjadi masalah kepada Pas. Juga menguji sejauh mana ketulusan Hasan. Hasan sendiri pernah berkata beliau sedia dipecat kalau tindakan beliau membela Jais yang membuat serbuah ke gereja itu bagi menyatakan pendirian tegasnya dalam memperjuangkan akidah.

Hasan mengaitkan tindak tanduk itu dengan akidah. Tetapi apakah pula pendirian beliau mempertahankan Khusarin yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor satu masa dulu juga atas prinsip akidah?

Bagi pandangan saya juga apa yang Saari lakukan itu kurang baik kerana ia boleh menimbulkan suasana tidak manis bagi Pas. Sudah tentu selepas ini penjelasan Saari itu akan jadi isu. Saari sepatutnya tidak membuka mulut awal-awal. Senyapkan dulu dan jangan bermurah sangat dengan media massa. Buruknya mesra media Saari itu akan dianggap sebagai dendam.

Musuh senantiasa mengintai peluang untuk menganggu Pas. Media massa penjilat buntut terutamanya akan cuba mendapat ulasan Hasan mengenai perkara itu. Dan Hasan pula yang dilihat mesra dengan media massa penjilat buntut tidak dapat mengelak dan akan memberi ulasan kalau tidak hari ini, esok kalau tidak esok lusa. Ulasan itu pula akan dijawab oleh sebelah sini, maka ia akan berleluasa dan berpanjanganlah polimeknya.

Polimek itu kalau tidak dapat dibatasi akan menambahkan masalah dalam Pas dan juga PKR. Sebab Hasan bukan kecil anak, ada pihak akan cuba melindungi dan bertindak menjadi suaka politik kepadanya. Kalau kebetulan Hasan pula merasakan dirinya tersisih dan sudah tidak berguna lagi saat ini prinsip seseorang hatta dia seorang ahli pakar motivasi boleh goncang juga.

Harap Hasan tidak mengambil kira sangat dengan pandangan Saari itu. Soal dicalon atau tidak bukan semata-mata bergantung kepada kawasan atau negeri. Kuasa memilih calon dalam Pas terletak di tangan Presiden parti. Layak atau tidak akan ditentukan pula oleh majlis syura ulama. Lainlah kalau Presiden juga tersihir dengan kenyataan Saari itu tidak mustahil Hasan akan tersepak keluar, tidak akan dicalonkan.

Jasa dan budi Hasan bukan sedikit. Saya percaya Presiden Abdul Hadi Awang tidak mudah 'semabur' di dalam hal ini. Hassan pula kalau benar tidak akan terpilih hendaklah sedia mengotakan kata-katanya, "saya redha kalau saya tidak diperlukan lagi" itu ayat yang Hassan pernah lafazkan. Hasan dan sesiapa belajarlah menjadi jiwa besar seperti Khalid al Walid. Masalahnya ada dalam Pas jiwanya sekecil hati lipas, sekali kena terus tercabut kedua belah kepak. [wm.kl.7:55 pm 10/12/11]

24 Jam Dosa di Facebook

Tuan Guru Nik Aziz dimaki hamun Part 4

Selasa, 13 Disember 2011

4 dilantik anggota jemaah pemangku Sultan Kedah

4 dilantik anggota jemaah pemangku Sultan Kedah

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melantik satu jemaah pemangku Sultan Kedah bagi memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna selepas keberangkatan baginda ke Istana Negara esok.

azlanAnggota jemaah yang dilantik terdiri daripada adinda baginda Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Tunku Annuar dilantik sebagai pengerusi Jemaah Pemangku Sultan.

Istiadat pemasyhuran Jemaah Pemangku Sultan berkenaan diadakan di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, hari ini.

Upacara mengangkat sumpah semua anggota jemaah diadakan di depan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Haminah Hamidun.
Tuanku Mizan berangkat pulang

Sultan Abdul Halim akan berangkat ke Istana Negara hari ini bagi melaksanakan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun.

NONESementara itu, keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya, Datin Seri Che Sharifah Ismail.

NONETuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai ”muskat” turut menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.

- Bernama

Roti Canai Terbang Batu Pahat.mp4

Tuanku Sultan Kedah Berangkat ke Ibu Negara

Sultan Kedah harap Malaysia terus aman


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
Sultan Kedah
KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berharap Malaysia akan terus aman damai dan semua kaum hidup dengan persefahaman dan bertoleransi.
Baginda gembira kerana secara keseluruhannya perpaduan rakyat adalah baik serta boleh ditingkatkan jika semua pihak meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kaum atau politik.

Sultan Abdul Halim yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Jan 1970 hingga 20 September 1975, mengimbau kembali peristiwa pahit pada 13 Mei 1969 dan berharap ia tidak harus dibiarkan berlaku lagi.

“Kadangkala orang politik mengambil jalan mudah untuk mengekalkan populariti dengan memainkan isu agama dan perkauman. Inilah yang membuatkan keresahan dan kucar-kacir dalam masyarakat,” titah baginda.

Sultan Abdul Halim, 84, yang berkelulusan dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam dari Wadham College, Oxford, United Kingdom bersyukur kerana pertama kali baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan Perdana Menteri pada masa itu dan kali ini anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib pula menjadi Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai kemajuan dan pencapaian negara sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan, baginda bertitah, Malaysia telah mencapai usia yang matang.

“Jadi pemimpin dan rakyat haruslah juga matang membuat sesuatu tindakan.

“Kekuatan negara kita terletak kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam serta untuk kemajuan masa hadapan, dua perkara ini haruslah dipertahankan,” titah baginda yang pernah menyertai perkhidmatan awam negeri Kedah pada 1950an sebelum dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah pada Mac 1957 apabila ayahandanya, Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid, berangkat ke luarnegara.

Baginda menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan Sultan Badlishah dan ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959.

Jumaat, 9 Disember 2011

Sultan Kedah Berangkat ke Kuala Lumpur Selasa Ini


ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berangkat ke Kuala Lumpur Selasa ini untuk majlis perlantikan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang ke-14.

Baginda bersama Tuanku Sultanah Haminah Hamidun akan diarak dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas sebelum menaiki pesawat khas pada 8.10 pagi.
Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri, Pengurusan Korporat, Mohd Rizal Mohd Radzi, acara dimulakan seawal 6.45 pagi dengan keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah ke anjung Istana Anak Bukit diikuti bacaan doa dan laungan azan.
"Ia disusuli dengan permainan Nobat 'Raja Berangkat' sebelum baginda Sultan dan Sultanah berangkat dari Istana Anak Bukit ke LTSAH menaiki kenderaan khas tidak berbumbung," katanya semasa memberi taklimat media di sini hari ini.

Mohd Rizal berkata, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah kemudian diarak sejauh kira-kira lima kilometer ke LTSAH dan di sepanjang perjalanan akan dialu-alukan oleh kira-kira 50,000 rakyat dari seluruh negeri Kedah.

"Seluruh rakyat Kedah diminta bersama-sama menghantar Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah ke lapangan terbang. Mereka diharap berkumpul di kiri kanan jalan dari Istana Anak Bukit ke lapangan terbang dari jam 6 pagi," katanya.

Beliau berkata, di empat perhentian bas sepanjang perjalanan akan diadakan pertunjukkan silat kepada orang ramai dan di lapangan terbang, Tuanku Sultan akan memeriksa perbarisan kehormat sebelum berangkat. Katanya, LTSAH akan ditutup kepada orang ramai selama satu jam mulai 7.30 pagi.

Sehari sebelum itu akan diadakan istiadat perlantikan Jemaah Sultan di Istana Anak Bukit pada jam 9 pagi. - BERNAMA

Khamis, 1 Disember 2011

Adab dan Cara Menyambut Kelahiran Anak Dalam Islam


Adab dan Cara Menyambut Kelahiran Anak Dalam Islam








  • Membersihkan/memandikan bayi
    Sesudah sahaja bayi baru dilahirkan, maka adalah diperlukan untuk membersihkan/dimandikan bayi itu dengan betul dan baik agar posisi bayi itu bersih dan sihat. Selalunya amanah membersihkan bayi yang baru lahir itu adalah dibawah tanggungjawab jururawat,bidan,bapa anak atau mereka yang penyayang serta pengasih kepada bayi serta berkebolehan meyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibesihkan perlulah dililit/dipakaikan dengan kain tuala yang bersih dan lembut sebaiknya berwarna putih.



  • Azan dan Iqamat
    Sunat untuk diazan dan diiqamat bayi sesudah kelahirannya. Cara-caranya; bayi hendaklah dipegang dengan menghadap ke arah kiblat. Azankan pada telinga kanannya dahulu dan kemudian barulah diiqamatkan pada telinga kiri bayi. Serta disunatkan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada bayi tersebut.Bacaan tidak perlulah dibaca terlalu kuat cukup sekadar memperdengarkan bacaan pada bayi sahaja. Salah satu hikmah melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang bayi dengar.



  • Tahnik
    Sunat 'Tahnik' selepas anak dilahirkan. Tahnik adalah amalan memindahkan benda yang manis seperti kurma kepada lidah bayi yang baru dilahirkan. Kalau tidak ada kurma, boleh digantikan dengan makanan lain yang manis seperti madu dan sebagainya. Ia dilakukan dengan meletakkan kurma yang lembut di hujung jari. Kemudian gerakkan jari tersebut ke dalam mulut bayi ke kiri dan ke kanan sehingga ia meliputi mulut bayi tersebut dengan kurma tadi. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan. Selain itu, tujuan lain adalah untuk melancarkan percakapan anak kecil selain mengetengahkan anak kecil itu agar kelak selalu berkata manis dan benar.



  • Memberikan nama
    Sunat memberikan nama yang mempunyai makna yang baik kepada anak sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempengaruhi keperibadian anak tersebut. Menamakan anak boleh dilakukan pada hari pertama kelahiran sesudah bayi itu diazan dan diiqamatkan atau pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.



  • Menggunting rambut (bercukur)
    Sunat menggunting rambut (tahallul kecil) bagi anak yang baru dilahirkan. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiran, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran.
    Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain.
    Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.



  • Aqiqah
    Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir.Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu,kerbau,unta ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Hukum aqiqah ialah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan bagi yang berkemampuan. Melaksanakannya adalah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga bayi tersebut. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sejak anak dilahirkan tanpa sebarang tempoh masa. Ia lebih baik dilakukan pada hari ke-7, ke-14 atau ke-21. Aqiqah untuk anak lelaki ialah 2 ekor kambing atau dua bahagian lembu. Untuk anak perempuan pula kadarnya ialah seekor kambing atau satu bahagian lembu (seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian).



  • Berkhatan
    Perkara ini menjadi sunat kepada anak perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki. Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
    a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
    b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
    “ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”

    Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
    (Riwayat Al-Baihaqi). Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia. Para saintis moden telah menggalakkan khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.


*Sumber: 
1. Bab Adat Resam Kelahiran: Kaum Melayu, Buku Kerja Program Integrasi Keagamaan, Program Latihan Khidmat Negara Malaysia; Edisi kedua 2008, m/s 33-35http://budaktechnician.blogspot.com

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular