Khamis, 28 Jun 2012

Suami ISteri: "Belajar Bercakap"



alt


Isteri A berkongsi, sebagai seorang student yang berjumpa suami jarang-jarang...
"Dah lah jarang berjumpa, bila jumpa, suami tak tanya pun khabar saya.." luah isteri ini yang baru sebulan dua bernikah.
"Suami tahu tak...?" tanya saya.
"Takkan itu pun nak bagitahu...?" jawabnya.
Isteri B pula berkongsi, banyak perkara-perkara 'kecil' yang dia suka suaminya lakukan.. Antaranya,
"Bila keluar pergi kerja, saya suka kalau suami cium dahi saya.."
"Suami tahu tak..?" tanya saya.
"Malulah nak bagitahu..."jawabnya.
Saya bukanlah orang yang arif lagi berpengalaman luas tentang pernikahan, apatah lagi pernikahan sendiri yang baru mencecah usia dua tahun. 'Masih belum menghadap realiti', kata sesetengah orang. Biasanya, setahun dua usia pernikahan dikatakan masih di fasa 'honeymoon',  jadi masih banyak perkara yang kita tidak nampak dan lalui.
Saya hanya kongsikan tentang persediaan pernikahan di sini berdasarkan apa yang telah dilalui dan dari pengalaman teman-teman lain yang juga telah berumahtangga.
Jangan abaikan perkara kecil
"Perkara kecil" seperti  tanya khabar 'Sayang apa khabar?' dan 'sepotong ciuman' ini adalah antara perkara yang perlu dikomunikasikan, jika tidak hal yang kelihatannya kecil ini perlahan-lahan memudarkan cinta di hati pasangan. Isteri rasa tidak disayangi, padahal banyak lagi kebaikan dan bentuk kasih sayang suami padanya.
Belajar bercakap
"Saya banyak belajar dari perceraian ini walaupun perit.. Di awal-awal perkahwinan dulu kami terlalu sibuk dengan kerja, hingga banyak perkara tidak sempat dikomunikasikan dengan baik. Kami selalu berselisih pendapat..." luah seorang isteri yang berakhir pernikahannya setelah 3 tahun bersama.
"Belajar bercakap..." maka itulah jawapan saya apabila ditanya  'Apakah persediaan sebelum bernikah?' oleh seorang teman yang bakal menginjak kaki ke alam pernikahan.
Kembali kepada 'belajar bercakap', bagi saya ia teramat penting. Bahasa modennya, berkomunikasi.
Sangat-sangat penting. Walau sibuk bagaimana sekalipun, tidak ada kesempatan untuk berdua menatap muka, jika kita ada masa untuk sms client tentang urusan yang berkaitan, untuk emel report dan segala dokumen lain atas urusan kerja, maka gunakanlah segala teknologi ini untuk menyusun seindah bicara mengkomunikasikan harapan dan kehendak pada pasangan. Untuk meneguhkan rumahtangga dalam pelayaran hidup yang sementara.
Bangunkan komunikasi
Sebelum bernikah, ada di antara kita yang begitu 'menjaga', hingga komunikasi tidak dibangunkan. Atau minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada perkongsian tentang apa dan bagaimana kehidupan suami isteri yang diharapkan.
Ada pula yang 'tidak menjaga', terlebih komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga komunikasi menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami isteri. Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada hubungan yang terlarang.
Maka sebelum bernikahan, kita berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.
Ungkapkan harapan dan perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan kepercayaan dan ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan dan kekekurangan diri seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan kefahaman. Luruskan expectationsyang meleset dari jangkauan supaya kelak tidak merasa 'tertipu' dengan penampilan luaran pasangan.
Hal-hal yang dikomunikasikan sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah teramat penting dalam menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang dibina.
Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.
"Komunikasi berkesan... Apakah ini...? Complicated sangatkah?"
Ya, perkahwinanan akan jadi complicated bila kita tidak pandai bercakap. Tidak pandai menyuarakan keinginan dan tidak bijak menyuarakan ketidakpuasan hati tentang rumahtangga dan pasangan.

Bangunkan keserasian
Kita susah untuk serasi bersama suami isteri jika tidak tahu bagaimana menyatakan penghargaan dan kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tidak terluah. Tidak tahu cara yang betul atau memang tidak suka untuk berkongsi. Dan, banyak juga yang tidak sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah menjadi ayat dan bait-bait kata yang mencederakan perasaan pasangan.
Tidak dilupakan juga, lelaki dan perempuan 'bahasanya' berbeza walaupun maksudnya sama. Bukalah buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan perempuan.
Pada lelaki, bukalah 'women's dictionary'.
Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.
Contoh lain dialog suami isteri:
"Takde apa..ok je.." jawab si isteri walau mukanya menunjukkan 'ada apa-apa'.
"Oklah, kalau tak ada apa-apa, abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah tunggu..." maka suami pun 'selamba' meninggalkan isteri yang mungkin ada masalah yang ingin diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan airmata, suami keluar dengan rasa tenang hati kerana merasakan 'semuanya ok, tak ada apa-apa'.
Wahai isteri, tidak semua para suami itu mampu membaca fikiranmu... Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.
Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu... Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.
Tidak perlu salahkan sesiapa, bukan salah sistem pendidikan yang tidak pernah ajar tentang psikologi pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan salah ibu ayah kita yang sering bercakap dengan bahasa yang saling menjatuhkan – lalu kita pun mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..
TAPI.. mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.
Muhasabahlah cara kita berkomunikasi dengan pasangan, adakah CARA kita bercakap telah membantu menenangkannya, menggembirakan, memujuk, atau CARA kita bercakap sering 'membelasah' dan 'meremeh-remehkan' pasangan walaupun kita tidak berniat untuk meremeh-remehkannya, hingga hatinya terhiris terluka.
Setelah dua tahun bernikah ini, saya masih belajar meningkatkan komunikasi suami isteri. Selama dua tahun bernikah ini, saya juga telah komunikasikan banyak benda kepada suami. Komunikasi secara berdepan, melalui esemes (SMS) , wai-em (YM), emel dan lain-lain cara komunikasi yang ada...
Minggu-minggu terakhir sebelum bernikah, banyak pendedahan-pendedahan dari pihak suami kepada saya (bakal suami waktu itu). Beliau secara telus mengungkap pengharapannya kepada saya bakal isteri, beliau juga tidak segan mengkhabarkan kelemahan dan kelemahan diri buat persediaan untuk hidup bersama. Beliau turut menceritakan perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka panjang setelah bernikah.

Ia tidak berhenti di situ. Setelah bernikah, komunikasi itu perlu kita teruskan dengan jujur dan hikmah. Setelah hidup berdua, sebumbung dan sekatil, kita makin mengenali karakter pasangan, kita makin memahami erti hidup berumahtangga.
Komunikasikan lagi apa yang telah kita dapat dari pasangan dan rumahtangga sejak minggu-minggu dan bulan-bulan awal , apa perkara yang kita syukuri pada ALLAH tentang pasangan, apa perkara yang kita ingin diri kita dan suami perbaiki, duduk bersama suami isteri memuhasabah tentang hubungan suami isteri secara berkala – mingguan dan bulanan.
Mulakan dari awal perkahwinan
Di awal perkahwinan, menbina keserasian dengan komunikasi ini sangat-sangat penting. Wajib menyediakan masa untuk bercakap dari hati ke hati. Kita sedang membina sistem rumahtangga, kita sedang mencari kesefahaman, kita sedang ingin menumbuhkan penghormatan dan kasih sayang pada insan asing yang telah bergelar suami atau isteri kita.
Setiap sesuatu sikap dan pemberian yang baik dari pasangan, kita hargai dan berterima kasih. Walaupun ia amat kecil pada kita. Supaya pasangan kita tahu dirinya telah berbuat sesuatu yang baik dan betul sebagai suami dan isteri.
Setiap sesuatu sikap dan tindakan pasangan yang tidak kita sukai, kita perlu luahkan walau kita bimbang dirinya akan berkecil hati dengan teguran kita. Supaya suami atau isteri tahu, dirinya telah berbuat sesuatu yang pasangan tidak selesa dan tidak gemari.
Yang boleh diubah, kita perbaiki. Yang memang tidak boleh atau terlalu sukar untuk diubah, kita terima dengan lapang hati. Ketika itulah rumahtangga mampu menjadi medan kasih sayang dan amal bakti setulus hati. Komunikasi yang baik akan melimpahkan keharmonian dan mendamaikan hati dalam melalui ujian dan dugaan kehidupan seharian.
Sebelum bernikah.. ya, kita tahu di dalam sebuah rumahtangga akan ada elemen kewangan, hubungan intim, mertua-ipar duai, kerjaya, anak-anak, hobi, leisure, aktiviti dan tanggungjawab lainnya... tapi kita hanya akan faham tentang elemen-elemen itu bila ia mula menimbulkan konflik dalam rumahtangga. Bila kita menghadapinya, ketika itulah kita akan mempraktikkan teori tentang pernikahan yang kita tahu.
Maka komunikasi teramat perlu untuk meredakan dan meluruskan konflik yang timbul.
Berkomunikasilah... Bagaimana pendapatan suami isteri dan kewangan keluarga dibahagi-bahagikan. Supaya suami isteri tak bersangka-sangka bahawa mereka hanya menghabiskan duit untuk kepentingan sendiri. Supaya suami isteri boleh bersinergi mengukuhkan bajet keluarga.
Berkomunikasilah... Apa cabaran dan kebaikan dalam pergaulan dengan mertua dan ipar duai. Jika tidak suka atau tidak selesa dengan gelagat mertua atau ipar duai, nyatakan secara jelas dan berhikmah pada pasangan. Jangan sekadar buat muka masam mencuka dengan kehadiran mereka yang tidak disenangi, jangan mencela tak tentu hala, namun duduk berbincang suami isteri, apa jalan tengah untuk meluruskan isu ini.. Perjalanan pernikahan kita masih panjang, tidak mungkin mampu kita hadapi jika perbalahan subur sentiasa.
Berkomunikasilah... Untuk mengindahkan hubungan intim suami isteri, untuk terus menyuburkan cinta kasih sesama pasangan. Harus bagaimana untuk saling memuaskan pasangan, harus bagaimana mencari masa berkualiti untuk bermanja-manja suami isteri sewaktu urusan anak-anak, tekanan kerja dan kewangan tidak pernah jauh dari fikiran.
Pastinya komunikasi tentang hubungan intim bukan di hadapan anak-anak, bukan sewaktu tengah lapar di meja makan, bukan ketika fokus memandu, tapi ketika ada ruang bermesra-mesra, ketika itulah sedikit-sedikit membina keserasian hubungan seksual. Bukankah ada kajian menunjukkan kadang-kadang bertahun-tahun baru suami isteri dapat menikmati hubungan seksual yang memuaskan...?
Namun segala isu ini- kewangan, keluarga mertua, hubungan intim dan lain perkara - kuncinya adalah komunikasi. Supaya timbul  istilah menzalimi pasangan dalam hak-haknya. Supaya kita dapat mencicip sedikit kebahagian dalam rumahtangga yang kita bina bersama.

Akui kesilapan sendiri, maafkan pasangan SELALU
Nada bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin kelukaan kecil.
Maka usah bertangguh dan merasa berat memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada pasangan.. Mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan kerana ALLAH. Saya teringat sebuah pepatah:
"Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan."
Ya, kerana kita bernama manusia tidak berhenti melakukan kesilapan perkataan dan tindakan. Berusaha yang terbaik memperbaiki diri, dan maafkan saja perkara-perkara yang amat sukar diperbaiki.
Saya rasa seperti baru semalam bernikah, dengan cinta dan rindu yang selalu ada pada suami. Nah, bukan cinta rindu ini sentiasa ada kerana tidak ada konflik, konflik mingguan dan bulanan memang ada untuk kita semua...
Saya juga perempuan seperti kalian, ada masa duduk di kerusi isteri yang bagus lagi menenangkan dan ada masanya di kerusi isteri yang suka membesarkan masalah kerana mengikut melulunya perasaan... 
Namun bila sering konflik besar dan kecil datang menduga – bila konflik-konflik ini kita luruskan dengan komunikasi yang baik, kasih sayang akan makin berkembang segar. Kita merasa difahami, pasangan merasai disayangi, malah komunikasi yang baik membawa dua-dua suami isteri melalui kehidupan yang damai dan harmoni walau hujan masalah secara berkala menimpa.

Biodata Penulis

Nurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik.Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular