Gambar Hiasan. Gambar Hiasan.
 
"NAK ada barang kenalah berhutang. Nak tunggu duit ada selonggok depan mata, sampai bila nak dapat? Mana ada orang tak berhutang di dunia ini..."
"Ambillah dulu barang ni, guna kad kredit. Cukup bulan boleh bayar." Jika difikirkan soal hutang, seperti tali membelit diri. Semakin banyak berhutang semakin menjerut diri.
Tabiat suka berhutang bagaikan gali lubang tutup lubang, sampai bila pun tak habis. Silap hari bulan, tertimbus diri sendiri dek hutang menimbun.

Setiap kali pembentangan bajet negara, ramai ternanti-nanti habuan atau bebanan yang diterima rakyat. Masing-masing mengharapkan pelbagai bantuan kerajaan yang boleh meringankan kos sara hidup masa kini.
Pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober lalu turut menarik perhatian ramai apabila diumumkan beberapa perkara berkaitan ekonomi rakyat.

Ini termasuk pertambahan barangan dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti bahan api (Ron95, diesel), bahan makanan dan ubat-ubatan tertentu.
Persoalannya, apa jua bentuk bantuan dihulurkan dan inisiatif diberikan oleh mana-mana pihak, namun ia tidak merubah apa-apa statistik hutang rakyat di negara ini. Di manakah silap dan salah yang perlu ditangani isu hutang ini?
Untuk mengupas isu tersebut, Institusi Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) menganjurkan Seminar Beban Hutang Isi Rumah: Punca dan Penyelesaian di Dewan Besar Ikim, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 September lalu.

Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, pola hutang isi rumah yang meningkat setiap tahun menjadikan negara kita tertinggi di Asia iaitu 81.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2012, meningkat kepada 86.8 peratus (2013).
"Kerajaan cuba mengatasi hutang isi rumah yang meningkat bukan mudah. Sebenarnya ia adalah gelagat kita berhutang ikut nafsu, hidup di luar kemampuan. Contohnya, gaji dapat RM1,000 sebulan, tapi berbelanja RM2,000. Sepatutnya kita belanja ikut kemampuan.
"Masyarakat hari ini perlu dididik mengenai kepentingan membuat keputusan penggunaan berlandaskan pendapatan. Sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelakkan diri dibelenggu masalah kewangan yang akan membebankan apabila hutang dituntut kelak," katanya.

Tambahnya, kos sara hidup bukan semata-mata membabitkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan atau bagaimana meningkatkan pendapatan sedia ada, malah ia adalah bagaimana menguruskan perbelanjaan setiap bulan dengan baik.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhannya." (Surah Al-Israa': 26-27)

Nik Mustapha berkata, peningkatan hutang isi rumah negara boleh menyebabkan ekonomi negara merundum seperti mana berlaku di beberapa negara maju di benua Eropah seperti Greece dan Amerika Syarikat.

"Dalam Islam, amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana ia menimbulkan keburukan dari segi ekonomi dan sosial.

"Begitu juga dengan individu yang terpaksa menanggung hutang hingga menjadi muflis. Bukan sahaja muflis dan gagal di dunia, malah akan muflis di akhirat kerana tidak sempat melangsaikan hutang mereka.
"Pengurusan kewangan secara berhemat demi hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) mampu membimbing ke arah kualiti hidup yang baik dan menjamin keselamatan diri dan keluarga, serta dijauhkan daripada kefakiran dan kekufuran," katanya.