Sabtu, 12 September 2009

Hasil Kajian: Memperoleh Rezeki Ibarat Hujan
Posted on Tuesday, August 25 @ 05:49:38 MYT
Topic: Kajian Al-Qur'an






Saya menyeru agar anda baca dengan teliti artikel ini, renungkanlah dan VOTE artikel ini sebagai tanda sokongan anda. Lihat blok Article Rating di sebelah kanan, pilih berapa bintang yang mahu anda beri, kemudian klik Cast my Vote! Komen anda juga amat dialu-alukan.



AMALAN-AMALAN UNTUK MURAH REZEKI

Umat Islam disuruh berusaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh rezeki yang halal. Usaha itu secara asasnya boleh dibahagi dua iaitu usaha fizikal dan usaha rohaniah. Ia sepatutnya diseimbangkan, maksudnya tidaklah wajar usaha saja tanpa disertai amalan rohaniah, dan tidak wajar melakukan amalan rohaniah saja tanpa berusaha dari sudut fizikal.



DOA REZEKI YANG BERKAT AJARAN RASULULLAH SAW

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, dan kurniakan padaku keluasan pada tempat tinggalku, dan berkatilah pada rezeki yang Kau kurniakan padaku."
(Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)


MENGENAI REZEKI

Sebelum membincangkan mengenai usaha rohaniah bagi mendatangkan, melancarkan, mempercepatkan dan meluaskan rezeki dan kekayaan, eloklah kita sama-sama memperhatikan hal-hal penting mengenai rezeki, sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Qur'an:

ALLAH PEMBERI REZEKI KEPADA SEKELIAN MAKHLUK

Allah SWT Yang Maha Pencipta sekelian makhlukNya dan Dia Maha Kaya. Allah SWT sentiasa memberikan rezeki kepada sekelian makhlukNya sama ada makhluk itu manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan, sama ada di daratan atau di lautan, di langit atau di bumi, kesemuanya sentiasa diberi rezeki oleh Allah SWT dan ia tidak akan habis. Antara sekelian makhluk ciptaanNya, manusia diberikan kelebihan dari sudut rezeki, sebagaimana maksud firmanNya:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah Al-Isra’ 17:70)


DOA MOHON KEKAYAAN AJARAN RASULULLAH SAW

"Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal (hingga aku terhindar) daripada yang haram. Kayakanlah aku dengan anugerahMu, (hingga aku tidak meminta) kepada selainMu".
(Riwayat At-Tirmidzi)


Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). (Surah Hud 11:6)

Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-’Ankabut 29:60)

Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah... (Surah Saba’ 34:24)

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (Surah Al-Isra’ 17:31)

ALLAH MEMBAHAGIKAN REZEKI DALAM KEHIDUPAN


Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: "Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahala)nya, dan keduanya disukai Allah SWT ialah : Subhanallahi wa bi hamdih, subhaanallaahil 'azhiim.(Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia, Maha Suci Allah Yang Maha Agung)
(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2316)


Jelas bahawa hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada makhlukNya. Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Rezeki yang dibahagikanNya tidaklah sama antara seorang dengan seorang yang lain. Atas kehendakNya, manusia memperolehi rezeki dan kekayaan yang berbeza-beza, dan rezeki dalam kehidupan di dunia ini telah dibahagi-bahagikan oleh Allah SWT, sebagaimana maksud firmanNya:

Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya.. (Surah An-Nahl 16:71)

..Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain, (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Surah Az-Zukhruf 43:32)


JADUAL 1


Maka rezeki dan kekayaan manusia dalam kehidupan di dunia ini telah dibahagi-bahagikan dan ditentukan oleh Allah SWT. Kita diperintahkanNya untuk berusaha secara zahir dan batin iaitu bekerja sambil berdoa bagi meningkatkan rezeki dan kekayaan, dan ia menjadi bekal ibadat untuk mencapai redha Allah SWT semata-mata.

ALLAH BERKUASA MELUASKAN DAN MENYEMPITKAN REZEKI

Umat Islam diseru agar rajin bekerja dan berusaha agar sesiapa yang dulunya miskin berubah menjadi kaya. Sebaliknya seseorang yang telah kaya dan banyak rezeki boleh menjadi miskin akibat kekayaannya tidak pernah disyukuri untuk beramal, tapi telah menggunakan kekayaan itu untuk tujuan kesombongan dan melakukan maksiat menderhakai Allah. Maka Allah SWT berhak memperluaskan atau menyempitkan rezeki sesiapa saja yang dikehendakiNya. Maksud firmanNya:


IMEJ 1


Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar): Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat. (Surah Ar-Ra'd 13:26)

Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. (Surah Al-Isra’ 17:30)

Begitu juga maksud firmanNya dalam Surah Al-Ankabut :62, Surah Ar-Rum :37, Surah Saba' :36, Surah Az-Zumar 39:52, Surah Saba' :39 dan Surah Asy-Syura :12.

ALLAH PERINTAHKAN MANUSIA BERUSAHA MENCARI REZEKI

Umat Islam diperintahkan agar berusaha mencari rezeki yang halal dan tidak hanya duduk diam atau hanya berdoa. Ini sesuai dengan maksud firmanNya:


IMEJ 2


Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah Al-Jumu’ah 62:10)

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Surah Al-Ma’idah 5:88)

Kita diperintahkan agar berusaha mencari rezeki yang halal, dan memohon rezeki dari Allah, dan kita diperingatkan agar menyembahNya dan bersyukur kepadaNya agar kita menjadi insan yang bahagia lagi mulia serta beruntung di dunia dan di akhirat:

...Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu, oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadaNya, (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan. (Surah Al-'Ankabut 29:17)


JADUAL 2


BERBAGAI JALAN MENCARI REZEKI

Allah SWT Yang Maha Bijaksana telah memberikan berbagai jalan usaha mencari rezeki seperti menjalankan usahaniaga perdagangan, perusahaan, pertanian, perternakan, makan gaji, atau mengolah sumber-sumber alam. Allah SWT memerintahkan agar kita memilih jalan yang diredhaiNya dalam hal mencari rezeki:


JADUAL 3


... padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba... (Surah Al-Baqarah 2:275)

Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah Al-Baqarah 2:22)

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah, dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula, (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). (Surah Al-Mulk 67:15)

Allah SWT Yang Maha Pemberi Rezeki. Segala rezeki dan kekayaan kurniaanNya adalah merupakan jalan untuk beribadah kepadaNya, dan kita wajiblah mensyukuri segala nikmat kurniaanNya itu. Ini patut saya catat sebagai peringatan kepada anda dan diri saya sendiri, agar kita bersyukur ketika kita susah apatah lagi ketika kita senang, kaya raya, punya kedudukan atau pengaruh.


IMEJ 3


ALLAH TUMPUAN PERMOHONAN REZEKI

Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Dialah sebaik-baik Pemberi Rezeki kepada sekelian makhlukNya. Maka kepada Allah sajalah semestinya kita memohon agar dipermudahkan dan diperluaskan rezeki, serta dipercepatkan kedatangan rezeki dan agar kita dihindarkan dari kemiskinan.

Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Dhariyat 51:58)

... dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia. (Surah Al-Hajj 22:58)


JADUAL 3


... dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki. (Surah Al-Maidah 5:114)

... Katakanlah (wahai Muhammad: Pahala, balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki. (Surah Al-Jumu'ah 62:11)


IMEJ 4


Maka selain dari rajin berusaha mencari rezeki yang halal, kita patutlah melengkapkan usaha itu dengan ikhtiar batin, bertawakkal dan berdoa kepada Allah SWT. Ada berbagai amalan untuk memohon luas rezeki, yang mana sebahagiannya akan dicatat selepas ini, namun secara asasnya kita perlulah selalu memohon ampun kepadaNya (banyakkan taubat dan istighfar), selalu mengingatiNya (dengan berbagai cara termasuk membaca Al-Qur'an dan mempraktikkannya, tasbih, tahmid, takbir, tahlil) dan berdoa kepadaNya agar kita dikurniakan rezeki halal yang melimpah-ruah, dan kita perlu bertekad untuk memanfaatkan rezeki tersebut ke jalan yang Dia redhai.

JALAN UNTUK MURAH REZEKI

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (Surah Al-Jinn 72:16).

Apakah amalan yang patut kita lakukan setiap hari dalam khususnya memohon agar Allah SWT luaskan atau permudahkan rezeki untuk kita, tapi mungkin kita telah mengabaikannya? Sebagai orang Islam, tidaklah wajar jika kita hanya memohon murah rezeki dari Allah SWT tetapi kita tidak melaksanakan perintahNya. Maka eloklah kita sedari dulu bahawa Allah SWT adalah AR-RAHIIM (Maha Penyayang) dan Dia akan utamakan pemberian rezeki yang halal lagi melimpah-ruah kepada orang-orang yang beriman dan yang ikhlas beribadah kepadaNya.

Dari berbagai sumber, punca masalah sempit rezeki antaranya ialah: (1) Tidak mengingati Allah SWT (2) Meninggalkan atau mengabaikan Solat 5 waktu (3) Enggan membayar zakat (4) Derhaka kepada ibu-bapa (5) Mengelak melangsaikan hutang jika berhutang (6) Banyak dosa besar (7) Makan harta riba (8) Makan harta anak-yatim (9) Suka berbohong atau menipu (10) Terlibat memberi dan menerima rasuah (11) Membiarkan ahli keluarga derhaka (12) Tidak menjaga kebersihan tubuh - contohnya buang air kecil tanpa dibersihkan betul-betul. (13) Kedekut ilmu (14) Suka mengadu-domba (15) Suka menabur fitnah.

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hambaNya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

BERIMAN, BERTAQWA, BERIBADAH

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah RA)

Dalam surah al-A’raf ayat 96, Allah SWT menjelaskan keutamaan takwa dalam konteks dimurahkan rezeki,yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan."

Bertaqwa kepada Allah, kerana ia penyebab murah rezeki. Firman Allah:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. (Al-Talaq: 2-3).

BANYAKKAN ISTIGHFAR

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi SAW: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا * يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا * وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: Sehingga aku berkata: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak, dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai. (Surah Nuh: 10-12).

Minta ampunkan dosa sendiri. Perkara yan paling utama menjamin turunnya rezeki daripada Allah SWT ialah istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Menurut al-Nawawi, taubat hukumnya wajib atas individu Muslim. dengan memperbanyakkan istigfar, Allah SWT akan menurunkan rezeki kepada hambaNya itu.

Dalam JADUAL 3, saya paparkan istighfar yang elok untuk kita selalu baca, iaitu "Astaghfirullahal 'azim, allazi la ilaha illa hu alhaiyul qaiyum wa'atubu ilaik". Dari sudut matematik ianya BERULANG SETARA 777. (IMEJ 4).

TINGGALKAN PERBUATAN DOSA

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi SAW: "… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

Menjauhi maksiat. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

وإن الرجل ليحرم الرزق بالذنب يصيبه

MAksudnya: Sesungguhnya seseorang lelaki disekat rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya. Direkod oleh Ibn Majah (no: 4022). Dinilai sahih oleh al-Hakim.

SENTIASA INGAT ALLAH

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. FirmanNya: "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra’d: 28)

"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah ( dengan menyebut nama ) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbilah kepadaNya di waktu pagi dan petang ( Surah Al-Ahzab , Ayat 41-42 )

Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raf ,ayat 205)

Dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. (Surah Jumu'ah: Ayat 10)

BERBAKTI DAN DOAKAN IBU BAPA

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda SAW juga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi SAW: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

Kebahagiaan dan juga kesenangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada seseorang itu adalah bergantung restu ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, berbakti kepada orang tua adalah amalan yang wajib dilaksanakan agar kita peroleh kemurahan rezeki. ingatlah doa ibu bapa untuk anak anak mereka adalah mudah dikabulkan oleh Allah SWT.

BUAT BAIK, TOLONG ORANG YANG LEMAH

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi SAW: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

TUNAIKAN HAJAT ORANGLAIN

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW: "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

BANYAK BERSELAWAT

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

BANYAK BUAT KEBAJIKAN

Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

Beri Makan Kepada Haiwan. Setiap Muslim hendaklah meletakkan dalam fikirannya bahawa bantuan Allah SWT akan turun kepada seseorang itu apabila ia membantu makhluk Allah SWT yang lain di muka bumi ini. Tidak kiralah sama ada makhluk itu anak Adam, mahupun binatang-binatang ataupun tumbuhan.Sedangkan batu pun sentiasa bertasbih kepada Allah SWT, inikan makhluk Allah SWT yang bernyawa.

Jangan Menyeksa Binatang. Menyeksa binatang adalah melanggar Sunnahtullah dan sama seperti merosakkan ciptaan Allah SWT. Dalam Islam ini sudah pasti dilarang sama sekali kerana setiap amalan buruk itu akan dibalas oleh Allah SWT sama ada terus di dunia ataupun di akhirat kelak.

BERPAGI-PAGI

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

MENJALIN SILATURRAHIM

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

Sambung Silaturahim. Yang dimaksudkan sambung silaturahim menurut Mulla ‘Ali al-Qari ialah berbuat ihsan (baik) kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan perkahwinan. kita dituntut melakukan kebaikan terhadap mereka dan mengambil berat tentang hal mereka. Terdapat hadis menunjukan kepentingan menghubung silaturahim untuk mendapat keberkatan rezeki. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: " Sesiapa yang ingin diperluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menjalinkan silaturahim." (HR Bukhari)

KEKAL DALAM WUDUK

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda SAW bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

MEMBAYAR ZAKAT

Zakat merupakan salah satu Rukun Islam dan wajib dikeluarkan setiap individu Muslim yang berkemampuan. Setiap apa yang ditetapkan oleh Allah SWT itu ada ganjaran bagi mereka yang melaksanakan dengan hati yang ikhlas semata mata kerana Allah SWT Zakat juga merupakan salah satu cara membantu golongan fakir miskin dan sudah semestinya Allah SWT akan membantu mereka yang membantu saudara mereka.

BANYAK BERSEDEKAH

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang. Allah SWT telah berjanji melalui firmanNya bahawa akan menggantikan apa saja yang didermakan di jalanNya.

MEMBIASAKAN SOLAT TAHAJJUD

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

MEMBIASAKAN SOLAT DHUHA

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

Solat Dhuha ialah solat pada waktu matahari naik bermula dari matahari tinggi sepengganla dan tamat waktunya apabila gelincir matahari. ia dikerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat, boleh empat rakaat, enam rakaat atau lapan rakaat. Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya melakukan amalan ini.Bila melakukan solat dhuha kepada Allah SWT mintalah semoga Allah SWT membuka pintu rezeki.

Sebagai umat Islam, kita wajib yakin bahawa segala sesuatu adalah milik mutlak Allah SWT. Seiring hakikat itu dan ketika ekonomi negara yang gawat ini, eloklah untuk kita semua bermuhasabah dan kembali mendekati Allah SWT.

Mengapa tidak segala keluhan seperti bajet lari, hutang bertimbun dan pelbagai kesusahan lain diadukan kepada Allah SWT? Dia bersifat Ar-Razzak iaitu Yang Maha Memberi Rezeki.

Satu kaedah mudah untuk mendekati Allah SWT ialah dengan mengerjakan solat sunat dhuha. Hanya dengan dua rakaat setelah matahari naik kadar tinggi "segalah" - kira-kira 30 minit setelah terbit matahari - kita boleh mengadu untung nasib kepadaNya.

Bermula dengan niat solat sunat itu, iringi bacaan al-Fatihah dengan surah al-Kafirun, al-Ikhlas atau al-Syams pada rakaat pertama serta Surah al-Dhuha pada rakaat kedua. Lakukan solat ini dengan keyakinan ia mampu memberi ketenangan dan kemurahan rezeki.

Setelah selesai solat disunatkan pula berdoa dengan doa memohon kurniaan rezeki:

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya Razzaq. Sesungguhnya Dhuha itu adalah Dhuha Mu, Kecantikan itu adalah KecantikanMu, Kemulian itu ialah kemuliaanMu, Keindahan itu adalah keindahan Mu, Keagungan itu adalah keagungan Mu, Kebesaran itu adalah kebesaranMu dan Keselamatan itu adalah keselamatanMu. Ya Allah sekiranya rezekiku masih berada di langit maka dengan rahmatMu turunkanlah ia, sekiranya masih berada di dalam bumi keluarkanlah dan sekiranya berada dilaut nampakkanlah. Sekiranya ia haram, Kau sucikanlah, sekiranya ia jauh Kau dekatkanlah dan seandainya ia dekat Kau permudahkanlah. Sekiranya ia sedikit Kau banyakkanlah dan seandainya banyak Kau berkatilah. Serta kurniakanlah keselamatanMu ke atas diriku dan keluargaku.

"Ya Allah. Demi DhuhaMu, kecantikanMu, kemuliaanMu, keindahan Mu, keagungan Mu, kebesaranMu dan keselamatanMu Kau tempatkanlah aku dan kaum keluargaku di antara orang-orang yang soleh dan mendapat sentiasa memperoleh rahmat dariMu. Amin."

Ingatlah bagaimana kuatpun seseorang bekerja mencari wang, rezeki tetap di tanganNya. Justeru umat Islam disaran berjinak-jinak dengan amalan mudah ini kerana selain rezeki bertambah, banyak kelebihan disediakan oleh Allah SWT.

Antaranya keampunan dosa seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa yang sentiasa melaksanakan dua rakaat dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan".

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: "Atas tiap segala sendi daripada seseorang kamu berkehendak sedekah. Maka tiap-tiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Begitu juga menyeru kepada yang makruf adalah sedekah. Mencegah mungkar adalah sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dua rakaat solat sunat dhuha".

Begitulah hebatnya solat ini. Bagaimanapun bukan semua orang mahu berkorban masa untuk melaksanakannya. Ramai yang rela memperuntukkan waktu bersembang sambil menghirup kopi di warung daripada mengerjakan solat sunat yang tidak lebih 10 minit ini.

Memang solat sahaja tidak mendatangkan rezeki. Tetapi sekurang-kurangnya dengan usaha dan diiringi doa, kita akan lebih berjaya. Selain itu, amalan yang dilaksanakan menerusi solat merupakan bukti betapa setiap individu Muslim diperintah untuk selalu bersyukur.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim Ayat 7)

BERSYUKUR KEPADA ALLAH

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) FirmanNya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

ZIKIR DAN MEMBACA AYAT-AYAT QUR'AN

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul Husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir Surah At-Taubah (Ayat 128-129) atau Ayat Laqad Ja'akum jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Baca Surah Al-Waqiah. Amalan ini juga sangat elok diamalkan dengan membaca setiap pagi agar seseorang itu tidak akan dilanda papa atatu kemiskinan dalam kehidupannya. Ini juga merupakan antara amalan harian Rasulullah SAW

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

Banyakkan membaca Tasbih, Tahmid, Tahlil, Takbir dan Zikir Hauqulah setiap hari. Lihat JADUAL 2 dan JADUAL 3. Kumpulan zikir ini dari sudut matematik mempunyai Nilai Mufrad BERULANG 818. (IMEJ 3). Semasa Rasulullah SAW bertemu Nabi Ibrahim Khalilullah (peristiwa Isra' Mikraj), Nabi Ibrahim telah berpesan kepada Rasulullah SAW agar menyuruh umat baginda membanyakkan membaca zikir ini. Yang diajarkan itu ialah secara bersambung iaitu "Subhanallahi wal hamdulillahi wa la'ilaha ilallahu wallahu akbar." (Nilai Mufrad BERULANG 616) dan "La haula wala quwwata illa billahil 'aliyil 'azim". (Nilai Mufrad BERULANG 484).

Lihat pula JADUAL 1. Saya paparkan Jadual Tasbih ringkas yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu "Subhanallahi wa bihamdih. Subhanallahil 'azim". Dari sudut Nilai Mufrad, ia BERULANG SETARA 444. (IMEJ 2).

BERDOA

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.

Doa dan zikir merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah SWT. Mengingati Allah SWT sama ada dengan zikir ataupun doa merupakan penyebab kepada kemurahan rezeki dan keberkatannya, penjauh dari segala bala bencana dan mudarat.Mereka yang tidak berdoa adalah golongan yang sombong dan bongkak, ini kerana mereka lupa bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah SWT

Selain daripada berusaha dan bertawakkal, kita juga amat dianjurkan untuk selalu berdoa dan memohon kepada Allah. Di bahagian awal artikel ini saya paparkan dua doa murah rezeki yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. untuk kita mengamalkannya.

Berdoa dimurahkan rezeki, seperti doa baginda pada waktu pagi selepas solat Subuh:

اللهم إني أسألك علما نافعا ورزقا طيبا وعملا متقبلا

Maksdunya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon daripada Engkau ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. Direkod oleh Ibn Majah (No: 925).

BERIKHTIAR BERSUNGGUH-SUNGGUH

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintaiNya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

BERTAWAKAL

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. FirmanNya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)." (At-Thalaq: 3)

Nabi SAW bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.

KESIMPULAN

Saya ada mencatat mengenai zikir-zikir yang mempunyai Nilai Mufrad BERULANG 444, 777, 818, 616 dan 484 dalam artikel ini. Itu bukanlah bermaksud agar kita hanya amalkan zikir-zikir yang berulang saja. Ia adalah perkongsian maklumat dan berita gembira mengenai cantiknya Islam itu. Mungkin juga Fenomena Berulang yang kita temui dalam zikir-zikir ini (yang sememangnya dibaca berulang-ulang) menjadi pendorong kepada kita agar banyak berzikir mengingatNya selepas ini, dan kita teruskanlah hingga ke akhir hayat kita.

Secara keseluruhannya, marilah kita sama-sama menjadi hambaNya yang lebih taat dan lebih bertaqwa. Kemudian kita serahkanlah kepadaNya untuk mengurniakan sebanyak mana rezeki yang dikehendakiNya ke atas diri kita masing-masing. Dan kita perlu ingat bahawa rezeki yang dikurniakanNya itu adalah sebagai jalan untuk kita melaksanakan ibadah seterusnya kepadaNya. Maka sama-samalah kita melaksanakan perintahNya agar memanfaatkan rezeki tersebut ke jalan yang diredhaiNya. InsyaAllah.













Semoga Allah merahmati kita semua. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular