Khamis, 20 Mei 2010

Luka Tertusuk Jarum Amat 'Membahayakan'

Luka Tertusuk Jarum Amat 'Membahayakan'
Oleh Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pengamal penjagaan kesihatan seperti di hospital dan klinik sememangnya terdedah kepada kemalangan yang disebabkan oleh peralatan tajam termasuk luka tertusuk jarum suntikan.

Antara peralatan 'tajam' yang biasa digunakan di hospital dan klinik ialah jarum fistula dan jarum mengambil darah.

Pada satu persidangan kesihatan antarabangsa yang diadakan di sini baru-baru ini, Dr Lisa Black menceritakan satu pengalaman buruk beliau pada 13 tahun lepas yang telah membawa 'awan hitam' dalam hidupnya hingga sekarang.

"Saya memegang picagari dan cuba membersihkan saluran IV (intravena) pesakit dengan air saline. Pesakit tiba-tiba bergerak dan meronta-ronta.

"Pergerakan beliau (pesakit) menyebabkan darahnya mengalir balik ke dalam picagari yang saya pegang. Secara tiba-tiba pula picagaru tersebut terjatuh dari genggaman saya dan jarumnya tertusuk pada tapak tangan yang sebelah lagi".

Beliau, yang merupakan seorang penceramah jemputan memberitahu mengenai kejadian tersebut kepada para peserta yang terdiri daripada pengamal perubatan antarabangsa pada seminar tersebut.

Dr Black, yang kini ialah seorang pakar rujuk kesihatan, menderita teruk akibat episod tersebut yang berlaku pada tahun 1997.

Sembilan bulan selepas kejadian tersebut, beliau disahkan HIV positif.

Pengamal perubatan itu, yang berumur 28 tahun ketika kejadian itu berlaku, juga disahkan mengidap virus Hepatitis C (HCV). Semuanya kerana kemalangan tertusuk jarum tersebut.

KEMALANGAN TIDAK DILAPORKAN

Mengikut sumber-sumber di kalangan pengamal perubatan, kadangkala insiden cedera tertusuk jarum suntikan tidak dilaporkan.

Statistik di Amerika Syarikat menunjukkan hampir 60 peratus daripada insiden tertusuk jarum suntikan yang melibatkan jururawat di hospital negara itu tidak dilaporkan.

Situasi 'Tiada Maklumat, Tiada Masalah' mengenai insiden-insiden tersebut berlaku disebabkan oleh keengganan pihak yang terlibat melaporkan kejadian berkenaan hingga menyebabkan penyelesaian terhadap masalah tersebut sukar dicari.

Ada di kalangan pengamal perubatan mengatakan peralatan alternatif bagi 'sharps' atau peralatan perubatan tajam agak memakan masa untuk muncul disebabkan masalah bajet.

LUKA PERALATAN TAJAM

Peralatan tajam memang berbahaya kepada pengendalinya terutama jika tidak dikendalikan dengan betul kerana hujung tajamnya boleh menusuk kulit pekerja kesihatan.

Hujung peralatan yang tajam mungkin membawa mikro organisme yang bahaya seperti bakteria serta virus yang boleh membawa jangkitan penyakit berbahaya.

Manakala harga bagi merawat penyakit-penyakit ini pula bukanlah murah.

"Bil bagi rawatan yang saya perlukan sahaja sudah mencecah AS$1.0 juta dan angka sudah tentu memang tinggi," kata Dr Black kepada peserta persidangan.

Lebih menyedihkan ialah apabila ada majikan di sesetengah hospital tidak mengambil langkah-langkah menjaga keselamatan kakitangan jururawat daripada bahaya disebabkan 'sharps'.

"Peralatan tanpa jarum bolehlah digunakan sebagai alternatif. Peralatan selamat sepatutnya menggantikan peralatan tajam. Jarum suntikan hanya patut digunakan bila perlu", tambah Dr Black yang kini mengajar kursus kejururawatan.

MASALAH KERJAYA

Bagi Dr Black, beliau juga mengalami situasi 'merudum' dalam kerjayanya.

Beliau pernah dipecat sebanyak dua kali kerana melakukan kesilapan ketika waktu bekerja.

"Saya tidak sangka kecederaan tertusuk jarum yang saya alami boleh menyebabkan saya menjadi penat dan tidak dapat memberi perhatian dalam tugas harian.

"Saya juga terpaksa mengubah kehidupan dan menerima kenyataan yang saya kini adalah satu lagi angka dalam statistik mereka yang menghidap HIV dalam pekerjaan.

"Saya juga terpaksa membiasakan diri kepada keperluan mengambil 16 biji pil sehari bagi mengekang virus HIV (dalam badan) daripada merebak".

Bagaimanapun Dr Black bernasib baik kerana luka tertusuk jarum yang dialaminya telah didokumentasikan dan segala keperluan ujian telah dijalankan.

Perbelanjaan rawatan beliau kerana terkena jangkitan HIV serta HCV semasa bertugas ditanggung oleh pihak majikan tetapi ada mereka yang kurang bernasib baik kerana tiada dokumentasi (laporan).

PENCEGAHAN

Kini, teknologi adalah kunci kepada lapan peratus daripada langkah-langkah pencegahan luka tertusuk jarum suntikan.

B. Braun, pakar dalam pembuatan serta penghasilan dan pemasaran produk dan perkhidmatan perubatan adalah antara pembekal utama dunia bagi produk alternatif 'sharps' ke pusat perubatan serta kemudahan penjagaan kesihatan (hospital dan klinik).

Dengan mempunyai pengalaman luas serta kecekapan selama 170 tahun, B. Braun iaitu sebuah syarikat Jerman terlibat dalam khidmat memperbaiki langkah keselamatan bagi pesakit, pengamal perubatan serta kakitangan penjagaan kesihatan yang lain sperti jururawat.

Jarum serta picagari 'guna hapus' (disposable) serta kateter (catheter) IV yang mempunyai penutup kini terdapat secara meluas di pasaran dunia, semuanya kerana usaha dan inovasi syarikat-syarikat seperti B. Braun.

TINDAK BALAS

Dr Black juga berkongsi pengalaman beliau berhubung peralatan baru di perkenalkan di hospital serta dengan 'respon' yang ditunjukkan kakitangan hospital tentang penggunaan peralatan tersebut dibandingkan peralatan konvensional.

"Sesetengah jururawat pada mulanya enggan menggunakan peralatan baru. Itu adalah perkara biasa kerana bagi sesuatu yang baru perlu dipelajari, sudah tentulah mengambil masa yang agak lama bagi mencapai kesesuaian serta mudah menggunakannya. Tetapi, awas. Kecederaan yang disebabkan 'sharps' boleh berlaku bila-bila masa, apatah lagi ketika anda tidak menjangkakannya berlaku.

"Perlaksanaan prosedur kerja yang lebih selamat serta mengamalkan langkah keselamatan serta teknik yang betul boleh menghalang pengamal penjagaan kesihatan daripada terkena jangkitan penyakit berbahaya," tambah beliau.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular