Isnin, 14 Januari 2013

Akhirnya MADRASAH SALIHIAH dan PEJABAT TAKAFUL IKHLAS dirobohkan

Operasi roboh madrasah
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
11 Januari 2013
Operasi roboh madrasah
SEBELUM... Kerja-kerja menanggalkan cermin dimulakan sejak 
tiga hari lalu sebelum operasi meroboh dimulakan.
 
Operasi roboh madrasah
SELEPAS... Keadaan tapak Madrasah Salihiah selepas selesai 
dirobohkan lewat petang kelmarin
 
ALOR SETAR – Kerja-kerja meroboh bangunan Madrasah Salihiah, di sini telah mula dilaksanakan sejak kelmarin selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah dan bersetuju menerima lot tanah baru menggantikan tapak tanah wakaf berkenaan oleh kerajaan negeri.

Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abdul Ghani Ahmad berkata, pihaknya bersyukur kes Madrasah Salihiah yang menimbulkan kontroversi sejak setahun lalu akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Katanya, beliau juga bersyukur kepada Allah kerana hasrat kerajaan negeri untuk membina surau yang lebih baik di tapak Kompleks Perniagaan Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai sejak 32 tahun yang lalu akhirnya berjaya.


“Kontroversi berkenaan telah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menunggu dan bersabar hampir setahun apabila kes madrasah berkenaan yang berusia lebih 100 tahun ini dibawa ke Mahkamah Tinggi, di sini.

“Kerajaan negeri juga akur dengan perintah mahkamah dan tidak bertindak melanggar undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga telah mengizinkan jawatankuasa madrasah berkenaan mengambil barang-barang keperluan mereka yang terdapat dalam bangunan itu sebelum kerja-kerja meroboh dimulakan.

“Kita juga membenarkan sekiranya mereka nak merobohkan sendiri bangunan berkenaan supaya tidak menimbulkan masalah,” katanya.

Katanya lagi, kes ini berjaya diselesaikan secara baik setelah jawatankuasa madrasah berkenaan akur dengan nasihat Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mahu kes ini diselesaikan segera demi melihat kompleks perniagaan yang canggih dan lengkap dengan surau baru bagi menggantikan Kompleks Perniagaan Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kemelut berpanjangan Madrasah Salihiah yang berusia lebih 100 tahun itu berakhir dengan penyelesaian di luar mahkamah setelah kedua-dua pihak bersetuju menarik balik tuntutan di Mahkamah Tinggi, di sini pada 3 Januari lalu.

Menurut laporan itu, difahamkan defendan ketiga, iaitu kerajaan negeri akan memberi lot tanah di hadapan Jalan Lumpur untuk menggantikan tapak tanah wakaf yang menjadi kontroversi sebelum ini bagi membina Kompleks Aman Central.

Selain bangunan madrasah baru dua tingkat setengah yang bakal dibina di atas tapak baru, terletak kira-kira 200 meter dari tapak lama, dengan saiz tanah lebih luas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular