Latar Belakang Almarhum Ustaz Fadzil Noor
Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara
ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan
Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam
menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu
bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah
seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara
ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd
Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam
sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh
politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat
tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang
dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan
kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening
menggambarkan ketajaman berfikir. Beliau memang dilahirkan sebagai
pemimpin ummah.
Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi
terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi
Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains,
ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di
universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini.
Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat,
beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah
dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara
ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang
tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh
dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan
masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah
rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.
Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses
pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah Illahi kepada
umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada
ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di
bangku menengah lagi.
Latar belakang keluarga
Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan
Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul
Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937
di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor
Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.
Takdir Illahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan
kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu
beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya
adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah
seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan
seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu
ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.
Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz
Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan
dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.
Pendidikan
Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang
sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan
dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh
yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi
pemimpin yang kredibel.
Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil
bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal
di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian
menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang
berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu
Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di
tempat yang sama sehingga tahun 1962.
Anak muda ini berjiwa
besar dan sentiasa kehausan ilmu. Beliau bercita-cita besar untuk
belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau
menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di
Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling
berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa
kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan
Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967
dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau
bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi
juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk
memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur
kebaktian di tanahair.
Perkahwinan
Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah
Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah
Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah
berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka
yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah
membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman,
Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau
bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga
yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan
bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan
Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.
Bakat Kepimpinan
Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat
kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan
beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab
Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah
dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada
beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu
mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang
jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik
Arab Mesir (PMRAM).
Berada di Mesir ketika negara itu diterkam
hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman
Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir
terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar
pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang
sangat berharga kepada ustaz Fadhil. (Universiti tersebut masih
mempunyai kebebasan kala itu ).
Perkhidmatan
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai
tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir.
Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan
Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.
Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM
ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di
Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau
dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai
pemimpin masa depan.
Sebagai orang yang celik undang-undang,
Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak
pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak
yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di
sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM
membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali
sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan
kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.
PAS
di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam
pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan
politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari
Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia
Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah
untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’
supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan
bahtera yang ampuh.
Aktiviti Kemasyarakatan
Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin
masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah
memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)
cawangan Negeri Kedah.
Beliau pernah menganggotai Angkatan
Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di
negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang
kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam
kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis
kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad
70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha
memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh
Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran
tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.
Fadzil Nor
telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun
1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila
Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar
ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda
kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada
tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi
kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai
kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada
Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani
Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar
Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan
ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an.
Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai
menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai
UMNO.
Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama
perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu
kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai
penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program
usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia
Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang
dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi,
apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.
Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam
gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata
beliau:
"Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda.
Rasulullah menyebut dalam hadisnya : "Golongan mudalah yang membantu perjuangan dakwah"
Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu
golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda
mereka menghabiskan masa dengan hiburan, mereka mahu golongan muda
mereka tenggelam dalam kesesatan.
Inilah cita-cita kaum
Quraisy, dalam kebingungan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda
dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh
meneruskan kezaliman dan kejahatan.
Tetapi apabila mereka
melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan
Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur
tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan
Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini,
ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda. Inilah menyebabkan
Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan
Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang
maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam
ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.
Russia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin
Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin
Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari
mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang
menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."
Ustaz Fadzil juga
merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974,
sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan
ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan
kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu
yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga
kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan
Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.
Ustaz Fadzil menyedari ulama
mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok
yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman
menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad
dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam
Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.
" Peranan ulama
seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan
Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’
dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan
menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah
bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua
peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’
juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah
dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.
Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi
penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti
dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali
membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam
tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene
mengena dengan Islam."
Beliau sangat rapat hubungannya dengan
masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara,
menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan
memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang
dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang
diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk
meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan
mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat
disayangi
Penglibatan dalam Politik
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS
sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan
politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya.
Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan
untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri
Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu
untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan
sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah
mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan
peristiwa Lubuk Merbau (1985).
Beliau telah dilantik menjadi
Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri
Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan
daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti
untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa
tahun 1981 hingga 1983.
PAS telah menghadapi transformasi
kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan
kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang
diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua
di Malaysia.
Bintang beliau seumpama kejora di dada langit
malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang
Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS
untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi
saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa
Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah dimana
dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.
Pembabitan
awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun
1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di
negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala
Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah
dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang
mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak
muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi
dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa
menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu
Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum
kepada pengundi kawasan itu.
Pada tahun 1980, beliau sekali
lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya
berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi
bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya
mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut
sehingga Pilihan Raya Umum 1995.
Pada 1982 beliau menang
dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim
dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986
menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji
Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan
majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga
iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Pada Pada Pilihan
Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya
Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana
Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat
22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat
manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam
merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).
Di DUN
Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’
Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini
cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang
menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk
orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan
melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah
menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen
Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang
daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi
peribadi daripada luar kelompok PAS.
Allahyarham juga berusaha
keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan ,
akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak
diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan
mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada
daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam
menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS
dan juga aktivis ABIM sebelumnya.
Ustaz menunjukkan
keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa
memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek
menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat.
Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA,
terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap
ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz
Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.
Beliau juga
sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan
latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz
sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak
kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan
pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di
perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing,
beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan,
kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel
atau Amerika.
Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan
para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam
situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan ,
beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh
Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk
mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku
reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh
selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta,
mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah
Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak
memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh
yang bersatu.
Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini
sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan
baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah
keluarga besar.
Perjalanan akhir yang memilukan
Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam,
semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam
masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah
perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk
medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi
namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa
mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan
selepas meninggalkan alam yang fana ini.
Pada kira-kira jam
10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk
menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai
menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah
Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun
di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus
tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar
zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul
Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks
pendidikan PAS Kedah.
Manusia telah bertali arus mendatangi
Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana,
tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk
menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk
perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian,
langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata
kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat
dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari
kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan
hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan
itu.