Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Info grafik kemalangan maut.
Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Keadaan kereta yang remuk dalam kemalangan di KM14.5 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam menuju Kuala Lumpur, semalam.
Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Ameer Asyraf, Nurul Maizura, Adam
SHAH ALAM - Penuntut tunggal yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga rakannya masih bagaikan masih tidak tahu apa sebenarnya berlaku, selepas tragedi itu.
   
“Nasib kawan-kawan lain tidak diketahui. Mereka dalam perjalanan ke hospital,” kata Nurfarina Mokhtar ketika menghubungi rakannya, Nadiea Syahira Che Azhar, selepas kereta Perodua Viva dinaiki bersama tiga kawannya hilang kawalan dan terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari I City, Shah Alam.

Penuntut yang maut dikenali sebagai pemandu, penumpang Adam Ab Rahman, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali.

Nurfarina cedera ringan. Kesemua mangsa berusia 18 tahun itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Nadiea Syahira, 18, berkata, ketika kejadian itu, Nurfarina tidur di tempat duduk sebelah pemandu dan tersedar apabila terdengar dentuman kuat.

“Nurfarina menangis apabila menghubungi saya kira-kira jam 6 pagi. Dia cedera di muka, keadaannya stabil dan masih trauma,” katanya.

Nurfarina merupakan penuntut Teaching English Second Language) di Pusat Asasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Rakan baik Ameer Asyraf, Amirul Aiman Roslan, 18, berkata, dia mengenali Ameer sejak tingkatan satu lagi di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).

“Tidak sangka ketika kami menyambung pengajian di UiTM, kami tinggal sebilik,” katanya.

Amirul berkata, arwah selalu berkata kepadanya, dia bosan tinggal di kolej itu kerana tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat di dalam bilik memandangkan arwah sangat aktif dalam bidang sukan.

“Sekiranya dia bosan, dia akan ikut ke mana rakannya pergi walaupun rakannya hanya mahu mengeluarkan duit di mesin pengeluaran duit (ATM),” katanya.

Sepupu Ameer Asyraf, Mohd Redzuan Mansor, 31, pula berkata, dia terkejut dengan kejadian menimpa sepupunya itu kerana tidak sangka nenek Ameer Asyraf baru meninggal dunia, Isnin lalu, akibat sakit tua, kini sepupunya pula maut kemalangan.

“Ameer seorang yang periang dan aktif dalam ragbi. Dia pernah mewakili SDAR,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kereta dinaiki empat sekawan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta itu remuk dan dipercayai pemandu dan seorang perempuan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar. Seorang lelaki ditemui maut dalam kereta, manakala seorang lagi selamat,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera ringan dirawat di hospital sama.

Sehubungan itu, Ruslan meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi bantu siasatan atau menghubungi Balai Polis Trafik Shah Alam di talian 03-55202222.

Sumber Sinar Harian