Selasa, 6 Ogos 2013

Susulan Kes Culik...Wan Aisyah Kembali Bertemu Dengan Ibu

Wan Aisyah Kembali Bertemu Dengan Ibu
Wan Exzam membawa keluar anaknya Wan Aisyah Wan Exzam, 3, dari Balai Polis Sungai Nibong sambil diiringi oleh bekas isterinya Arbaiyah Md Zin di George Town, pada Isnin. Kanak-kanak berkenaan dilarikan oleh teman lelaki ibunya, Shahrizal Yusof pada 30 Julai lepas di Rawang, Selangor. Wan Aisyah diserahkan oleh ibu Shahrizal di Balai Polis Sungai Nibong pada pukul 11.30 pagi Isnin. -FotoBERNAMA
 
GEORGE TOWN: Kanak-kanak perempuan Wan Aisyah Wan Exzan yang dilaporkan hilang selepas didakwa dilarikan teman lelaki ibunya di Rawang, Selangor pada Jumaat lepas, ditemui di bandar George Town di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kanak-kanak tiga tahun itu diserahkan kepada polis oleh seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai ibu kepada lelaki yang melarikan kanak-kanak itu.

Katanya kanak-kanak itu diserahkan di Balai Polis Sungai Nibong, di sini pada 11 pagi ini.
"Kanak-kanak itu dalam keadaan selamat dan difahamkan ibunya (dari Gombak) dalam perjalanan ke sini (Balai Polis Sungai Nibong)," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi pada Isnin.
Wan Aisyah dilaporkan hilang oleh ibunya pada 2 Ogos selepas menyerahkannya kepada suspek di sebuah pasar raya di Rawang sebelum lelaki itu menghilangkan diri bersama anaknya.

Ibunya yang dikenali sebagai Cikgu Arbaiyah dalam laman Facebook sebelum itu turut membuat aduan polis bahawa beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM25,000 kepada lelaki terbabit pada hari sama sebagai modal perniagaan.

Berita tentang kehilangan Wan Aisyah mendapat perhatian meluas di laman media sosial apabila orang ramai menggesa tindakan pantas pihak polis untuk mencarinya.
Ibu kanak-kanak itu, Arbaiyah Md Zin, 30-an mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana anaknya ditemui semula dalam keadaan selamat.

Dia yang tiba dengan seorang lelaki dipercayai bekas suaminya di Balai Polis Sungai Nibong kira-kira 4.40 petang dilihat terus memeluk anak perempuannya itu.
Polis turut mengambil keterangan daripadanya hampir dua jam sebelum dibenarkan pulang.
"Terima kasih kepada semua kerana saya dapat semula anak dalam keadaan selamat," kata guru matematik di sebuah sekolah menengah di Rawang itu kepada pemberita.

Difahamkan ibu kanak-kanak itu berkenalan dengan lelaki yang melarikan anaknya itu di laman sosial Facebook bulan Mei tahun ini dan merancang untuk berkahwin selepas Aidilfitri.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis Pulau Pinang akan bekerjasama dengan polis negeri Selangor untuk menjejaki suspek, Shahrizal Yusof, 44.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan" katanya.

Beliau berkata menurut keterangan ibu Shahrizal, suspek telah membawa Wan Aisyah pulang ke rumah mereka di Teluk Kumbar di sini pada pukul 5 pagi ini dan meminta kanak-kanak itu dihantar ke balai polis berdekatan.

Sumber Mstar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini