Rabu, 5 Oktober 2011

5 kategori marah


 





RASULULLAH dalam satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad lalu berkata: ‘Berwasiatlah kepadaku ya Rasulullah’. Lalu baginda bersabda: ‘Jangan engkau marah’. Baginda mengulanginya tiga kali.”
Setiap manusia mempunyai sifat marah dan sabar sebenarnya adalah penghalang sifat itu. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya, apabila hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api yang bersumber daripada api Allah SWT yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati.

Ada lima kategori marah iaitu cepat marah atau marah tidak bertempat, marah pertengahan (mampu mengawal marahnya atau marah bertempat), marah sederhana, tidak tahu marah dan marah keterlaluan.
Imam al-Ghazali mengatakan, ada 10 punca menjadi penyebab sifat marah iaitu rasa bangga diri, takjub kepada peribadi sendiri, berlebihan dalam gurau senda dan melampaui batas, bercakap perkara sia-sia selain gemar membuat fitnah.
Lima lagi puncanya ialah gemar berbantah dalam sesuatu perkara, khianat, tamak kepada harta juga pangkat, gagal mengendalikan nafsu dan emosi serta hasad dengki selain iri hati.
Apabila seseorang itu marah, pergerakan fizikalnya turut berubah. Api kemarahan yang semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina juga merendah-rendahkan orang yang dimarah dan pelbagai lagi.
Marah bukan berlaku pada orang yang kebanyakan saja, malah individu yang punya kedudukan atau status seperti ustaz, ustazah, guru, ulama, doktor dan sebagainya.
Persoalan akhlak, maruah diri dan undang-undang tidak lagi menjadi penilaian kerana yang penting ‘sikap aku betul, orang lain salah’.
Kadangkala orang ramai boleh menilai bahawa individu berkaitan itu ada sifat mazmumah seperti ego, tidak menerima kebenaran, berbangga dengan kedudukan, jawatan, sijil, ijazah, ilmu yang dimiliki, sedangkan semua ilmu itu menjadi amanah Allah SWT. Inilah marah yang dikeji.
Marah yang dipuji adalah marah pertengahan iaitu marah bertempat. Contoh, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Rasulullah SAW mengajar kita dalam hadisnya: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.” Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. begitu juga dalam mencegah kemungkaran. Kita perlu ada marah dalam hal itu.
Contoh marah pertengahan berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali terbabit dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya dan tiba-tiba musuhnya meludah mukanya.
Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya.
Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah SWT tetapi kerana marah kepada kamu kerana kamu meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah. Sama-sama kita renungkan di mana kategori marah kita selama ini untuk kebaikan masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular