Ahad, 16 Oktober 2011

Amalan-amalan Khurafat dan Sifat-sifat Tercela di Kalangan Jemaah Haji Asia Tenggara dan Panduan Menghindarinya



Amalan-amalan Khurafat dan Sifat-sifat Tercela di Kalangan Jemaah Haji Asia Tenggara dan Panduan Menghindarinya
Mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan pekerjaan haji menjadi suatu cita-cita murni yang sepatutnya wujud pada tiap-tiap diri umat Islam. Pada kelazimannya orang yang belum lagi hendak melaksanakan kewajipan tersebut, mereka tidak sangat bersedia dengan ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk ibadat tersebut. Apabila hampir dengan waktunya barulah secara bergopoh-gapah mempelajarinya mengikut kemampuan yang ada padanya.
Banyak umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk mengerjakan haji, malah ada yang tidak memahami walaupun perkara-perkara yang asas, akibatnya apabila mereka mengerjakan ibadat tersebut, terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadat tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan jemaah yang kurang arif tentang ibadat itu dan malu hendak bertanya kepada orang lain. 
Di samping tidak mendalami hukum hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan hukum-hukum mengenai akidah, maka berlakulah campur aduk di dalam ibadat haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan khurafat dikerjakan sebaik-baiknya, atas kefahaman bahawa amalan-amalan itu dituntut oleh syarak, sedangkan yang sebenarnya sebaliknya.
Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan di dalam ibadat haji, terutama khurafat-khurafat yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi fatwa secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kitab atau kenyataan-kenyataan dari nas-nas yang muktabar tentang perkara yang dibisik-bisikkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun temurun dari dahulu hinggalah sekarang. Oleh yang demikian, maka diajarlah kita membicarakan perihal khurafat tersebut.
PENGERTIAN KHURAFAT
Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:
خرف خرافة خرافات
Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna cerita karut atau karut marut.
Di dalam al-Munjid disebut:
خرف قسد اخرفة افسده
الخر افة حديث الخرف المضحك
Al-khurafat juga disebut sebagai الحديث الباطل مطلقا percakapan yang tidak betul sama sekali.
Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan pada umumnya diketahui maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa Melayu. Khurafat maksudnya kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala bencana atau membawa tuah keberuntungan.
Di dalam kitab Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:
Yang bermaksud:
“Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu hingga sekarang tentang adanya bagi seekor burung atau ada hari-hari atau bulan-bulan yang boleh memberi kesan pada kebahagiaan atau kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam membatalkannya kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.
KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di antara khurafat mereka, mereka mempercayai kepada arah burung yang berterbangan memberi kesan kepada nasib mereka. Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi mereka, maka dikaitkan dengan suatu kepercayaan-kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama khusus pada keadaan burung yang melintasi mereka.
Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh
Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh
Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh
Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid
Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada bala bencana akan menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku dan sebagainya yang mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut.
Masyarakat jahiliah juga percaya jika burung hantu (al-Bumah) menghinggapi dan berbunyi di atas sesuatu rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja, dukacita yang tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.
Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di Tenggara Asia yang terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang ini. Padahal semua itu adalah khurafat belaka.
KHURAFAT MENODAI IBADAT HAJI
Ibadat haji adalah suatu ibadat yang semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak dicampur dengan batil. Apatah lagi khurafat hendaklah dijauhi sama sekali. Khurafat boleh mencemar ibadat haji dan menjadikannya ibadat yang sia-sia kerana perbuatan khurafat menjejaskan akidah dan kadang-kadang merosakkannya. Perlu diingat bahawa khurafat boleh membawa kepada syirik kerana ianya menyentuh persoalan iktikad. Jikalau sudah iktikad rosak kerana khurafat, maka orang yang rosak akidahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadatnya.
Namun demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak menyedari bahawa mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak menunai haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka di dalam ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri. Kepada golongan ini seboleh-bolehnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh Tok-tok Guru yang mentadbir atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan mengada-adakan berbagai-bagai perbuatan yang tidak diajar oleh orang-orang tadi lalu mereka menerima pakai fatwa-fatwa dari orang yang tidak bertanggungjawab.
Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian untuk menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut diamalkan. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara sembunyi-sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhi yang khurafat.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap yang selain-lainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan kebaikan hanya Allah. Yang menolak segala kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk bergantung. Firman Allah, surah al-Zumar, ayat 38: Yang bermaksud:
“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke atasku sesuatu kemudaratan, adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepadanya bertawakal semua orang yang bertawakal”.
Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu, bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-amalan khurafat.
Yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”.
Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Buruk sangka (dalam amalan khurafat) adalah syirik (dua kali) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.
Yang bermaksud:
“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jangan ada buruk sangka (kerana khurafat) dan alfa’lu adalah jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah dia alfa’lu itu: sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh seseorang”.
Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda: “sesiapa yang kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya) sehingga boleh memesongkan diri menerusi hajatnya, maka sesungguhnya ia telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan kejahatan yang datang darimu dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau”.
Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang tersebut, jelas memperlihatkan konsep baik buruk hanya dari Allah S.W.T. Allah yang mengatur segala-galanya, bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.
Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan sedemikian menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan dan bertawakkal kepada Allah.
KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI. Dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.
KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
  1. Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
  2. Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah
  3. Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
  4. Setelah balik nanti mesri berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.
KHURAFAT DI TANAH SUCI
  1. Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
  2. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
  3. Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
  4. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
  5. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.
  6. Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
  7. Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
  8. Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
  9. Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
  10. Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
  11. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
  12. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.
  13. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.
  14. Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
  15. Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
  16. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
  17. Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.
PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
  • Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
  • Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
  • Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
  • Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.
CARA-CARA MENGHINDARINYA
Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. Tajuk siri khurafat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat haji dengan ditekankan keburukannya.
Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau tempat melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.
Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.
TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI
Selain dari khurafat yang tersebut di atas, ditambah pula dengan adanya tingkah laku buruk yang sering kedapatan di kalangan jemaah haji umumnya termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadat haji ibadat yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah.
Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa terowong al-Muassim pada tahun 1990 dan peristiwa pijak memijak di atas Jambatan Mina pada tahun 1994 yang semuanya memakan korban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk jemaah haji.
Tingkah laku dan tuturkata manusia itu adalah sebagai cermin peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai dirinya, mulialah pekertinya. Kalaulah itu benar-benar menjadi cermin diri, maka alangkah buruknya keadaan umat Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang utama pada nilai diri kita.
Di Mekah umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar, bergaduh, tengking menengking, herdik mengherdik, menolak, melanggar, memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu yang bersembahyang, menyepak al-Quran, meletak al-Quran di atas lantai, mengubah (mengalih) al-Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan segala kekuatan untuk mencium batu hitam (al-Hajarul Aswad). Memegang tangan berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf. Perbuatan yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak diberi simpati. Yang tua uzur tidak dihirau dan pelbagai perangai lagi yang boleh dilihat.
Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur katanya. Walaupun ketika sedang tawaf dan saei, masih bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadah yang sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan dalam perbualan-perbualan, seolah-olah mereka bukan di hadapan Allah di dalam ibadat yang shahdu.
Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran di sepanjang masa berada di Mekah dan Madinah seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus berlaku tanpa sebarang takut kepada dosa yang perbuatan di Tanah Haram.
Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar yang berlaku di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajibnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba menghindarnya.
BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW diutuskan Allah adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.
Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian yang menekankan kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam latihan dan syarahan-syarahan. Bakal-bakal haji hendaklah dipupuk dengan budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya, lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Yang bermaksud:
“Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkuat, maka bertawakkallah kepada Allah. Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkaya, maka hendaklah meyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi manusia yang termulia, maka hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”.
Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah. Bertawakkal kepada Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan keredaan, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.
Mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji adalah suatu tuntutan syarak. Dari ibadat itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat haji amatlah banyak. Salah satunya untuk mengingati Allah. Oleh itu, perbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah, berzikir kepada Allah di dalam masa kerja haji dan sesudahnya khususnya di Arafah dan Mina.
Salah satu rahisa Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan munkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya, maka tentulah tidak akan berlaku pekara-perkara munkar di tanah suci.
Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negetif berlaku kerana semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu sia-sia.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Yang bermaksud:
“sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara jahat dan fasik, maka kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.
PENUTUP
Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diresapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.
Pengetahuan tentang ibadat haji adalah pengetahuan fardu ain yang sepatutnya diketahui oleh masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang berkesan di dalam kurikulum-kurikulum sekolah menengah dan di peringkat universiti agar dengan ilmu yang manfaat itu setiap yang pergi menunai haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.
Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika dipergunakan ibadat itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari bersungguh-sungguh daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari keikhlasan beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud dan tujuannya. Dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.
Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW.
Wallahu ‘Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini