Silap langkah bantu keluarga guna kad kredit
 
BAHAGIA bersama isteri dan tiga orang anak, Roslan, 40, merupakan seorang bapa dan suami yang bertanggungjawab dan mempunyai kerjaya sebagai seorang pengurus di syarikat multinasional.

Sebagai tempat bergantung kepada keluarganya, Roslan mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan dan kos hidup keluarganya.

Lebih kurang dua tahun lalu, kakak ipar Roslan telah disahkan menghidap kanser.

Memandangkan kakak iparnya tidak berkahwin dan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan perubatannya, Roslan telah membantu dengan membiayai separuh daripada perbelanjaan perubatan kakak iparnya dengan menggunakan kad kredit. Di sini bermulalah kesilapan Roslan dalam menguruskan kewangannya apabila dia telah menangguhkan pembayaran bulanan rumahnya untuk membayar bil kakak iparnya.

Roslan sedar dia tidak mampu untuk menampung perbelanjaan kakak iparnya kerana pada masa sama ada komitmen lain yang perlu dibayar setiap bulan.

Di saat itu, Roslan telah mula memohon lebih banyak kad kredit dan pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan tersebut.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ayah mertua Roslan pula diserang penyakit angin ahmar dan menyebabkan dia juga terpaksa menanggung perbelanjaan ayah mertuanya yang tidak bekerja.

Ini bermakna, di samping menanggung keluarganya, Roslan terpaksa menanggung perbelanjaan bil perubatan kakak ipar dan ayah mertuanya.

Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Ditakdirkan kakak ipar Roslan meninggal dunia akibat dari penyakit kanser yang dihadapinya. Walaupun sudah banyak wang yang dibelanjakan oleh Roslan untuk bil perubatan, namun kakak iparnya masih tidak dapat diselamatkan. Namun begitu, Roslan masih lagi dibelenggu hutang kad kredit yang digunakannya untuk membayar bil perubatan kakak iparnya itu.

Roslan sedar  masalah kewangan yang dihadapinya dan bertekad untuk menyelesaikannya sebelum menjadi lebih parah. Apabila mendapat tahu tentang perkhidmatan percuma yang ditawarkan AKPK, Roslan terus datang ke pejabat AKPK dan berjumpa dengan kaunselor AKPK.

Kaunselor tersebut membuat jadual penstrukturan semula pembayaran bulanan pinjaman Roslan kepada bank yang dipersetujui oleh pihak bank dan Roslan. Dengan ini, Roslan mampu untuk membayar balik pinjaman dari pihak bank dan juga menanggung perbelanjaan keluarganya tanpa masalah.

Kisah benar ini menunjukkan bahawa keadaan di luar kawalan kita mungkin timbul dan di luar kawalan. Dengan adanya AKPK yang merupakan agensi di bawah Bank Negara Malaysia, kita dapat menangani masalah tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai AKPK, anda boleh layari laman web www.akpk.org.my atau menghubungi talian bebas tol POWER! AKPK Infoline di 1-800-88-2575.

Individu yang memerlukan khidmat nasihat kewangan secara percuma boleh hubungi AKPK di nombor telefon 1-800-88-2575 atau layari laman web www.akpk.org.my

sumber : Sinar Harian