Selasa, 24 Ogos 2010

Muthu bangga pandu Tunku ke Dataran Merdeka
Ogos 24, 10 1:12pm
Kongsi 4
R Kalimuthu, 85, telah berkhidmat dengan Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra lebih 40 tahun tetapi pengalaman paling indah ketika bekerja dengan Bapa Kemerdekaan Malaysia itu adalah pada malam 30 Ogos 1957.

“Saya bangga sebab pada malam itu sayalah pemandu yang membawa Tunku dan keluarganya ke Padang Kelab Selangor untuk menurunkan bendera Union Jack kerana pada malam itu dengan rasminya negara ini tidak lagi dijajah," katanya yang lebih senang dipanggil Muthu ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Technocity Fasa I di Kulim hari ini.

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 negara yang akan diraikan Selasa depan, gegak-gempita laungan "MERDEKA" oleh rakyat negara ini di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1957 masih menjadi satu nostalgia kepadanya.

Setiap tahun bila terdengar laungan “Merdeka” di radio atau televisyen, kata Muthu kenangan itu pasti menyebabkannya menangis kerana bangga berada dalam sebuah negara yang aman dan merdeka.
Adat Melayu

Muthu mula berkhidmat dengan bekas perdana menteri itu secara rasmi pada 1957 tetapi menjadi pemandu Almarhum Tunku Abdul Rahman secara sambilan ketika almarhum bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaya di Kuala Lumpur sejak 1948.
Muthu turut mempunyai kenangan bersama ayahanda Perdana Menteri Malaysia sekarang, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana pernah menjadi pemandu kepada Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman bercuti panjang atau ke luar negara.

“Adalah beberapa kali saya menjadi pemandu Tun Razak semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan sering berada di rumah Tun serta masih teringat ketika itu Datuk Seri Najib, agaknya waktu itu berumur tujuh atau lapan tahun, dan adik-adiknya masih kanak-kanak lagi," kata Muthu.

Hasil pergaulan dan perkhidmatannya dengan almarhum Tunku lebih 40 tahun, beliau banyak belajar adat istiadat Melayu, lebih-lebih lagi adat diraja Kedah.

Muthu yang pandai memasak berkata mungkin kerana beliau dan keluarganya faham akan hal berkenaan, mereka telah dapat berkhidmat dengan keluarga Tunku hampir 50 tahun.

Muthu yang bersara sejak 1982 dengan pencen RM360 sebulan (kini mendapat kenaikan RM120 lagi) selepas itu bekerja secara kontrak sehingga kematian almarhum Tunku Abdul Rahman pada Disember 1990 dan tugas pemandu kepada balu almarhum diambil alih oleh anaknya K Markandran.Jatuh terlentang

Selain daripada peristiwa perisytiharan Hari Kemerdekaan negara, satu insiden yang tidak dapat dilupakan adalah ketika beliau menyelamatkan almarhum Tunku Abdul Rahman daripada jatuh terlentang di atas batu-batu kerikil di tepi pantai berhampiran kediaman almarhum di Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 1982.

"Masa tu hanya saya bersama dengan almarhum sedang berjalan mengambil angin petang bila Tunku yang sedang berjalan tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh terlentang tapi dengan kuasa tuhan saya sempat menyambar almarhum daripada jatuh terkena batu-batu yang tajam di situ," katanya.

Bagaimanapun, selepas 53 tahun negara merdeka dan tidak lagi dapat menyumbang bakti kepada pemimpin-pemimpin negara, Muthu kini hidup bersendirian.

"Sudah lapan tahun saya begini. Anak-anak dan isteri sudah menjauhkan diri mungkin kerana saya orang susah hanya bergantung hidup atas pencen RM480 sebulan dan menyewa rumah di Kulim," kata Muthu.

Beliau berkata selain pencen bulanan, ada juga dua daripada 14 anaknya yang tinggal berdekatan sekali sekala datang membantu tetapi tidak dapat berbuat demikian selalu kerana "mereka pun ada tanggungjawab masing-masing".

Muthu mempunyai 14 anak hasil dua perkahwinannya dengan C Suppamah (yang meninggal dunia 2003) mendapat lima orang anak dan dengan S Thenam, 62, sembilan anak, serta 27 orang cucu dan 11 cicit.

Muthu amat berharap untuk memiliki sebuah rumah untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya kerana kini beliau semakin hari semakin uzur dan sering diserang penyakit kejang otot menyebabkan kakinya keras dan tidak dapat bergerak apatah lagi berjalan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular