Rabu, 25 Julai 2012

Apakah Sebenarnya Shisha Itu Dan Apakah Hukumnya?


Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.
Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?
Apakah Sebenarnya Shisha Itu?


Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
  1. Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.
  2. Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.
  3. Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.
  4. Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.
Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha
Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) ) dan ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.
Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha
Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.
Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.
Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.
Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.
Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.
Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).
Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.
Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:
Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan
boleh membawa maut.

Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri
Agama Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Kerana itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.” (Surah an-Nisa 29)
FirmanNya lagi:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda Baginda :
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah kepadanya.
Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Tidak ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”
Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta, kedua-duanya perlu dielakkan.
Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan kaedah:
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau menggunakan shisha itu juga adalah haram.
Menyentuh mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.” (Surah al-A‘raf 157)
Antara maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di atas adalah seperti berikut:
“Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”

Hukum Penggunaan Shisha
Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.
Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

Sumber: http://jomfaham.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular