BAGAIMANAKAH MEMUSTAJABKAN DOA RAMADAN?Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Doa! Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.
Peranan Jiwa
Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.
Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).
Kesucian Nurani
Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan.
Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya. Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih).
Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya)
“Berdoalah kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan