Isnin, 2 April 2012

Awek Bertudung 'Stunt-woman'


POSTED BY A U T A M A N - - 0 COMMENTS
ILIA bersedia melakukan lagak ngeri Merry Go Round.

BERBEKALKAN sebuah motosikal kapcai berkuasa 110cc, gadis berusia 26 tahun ini mampu memukau penonton dengan pelbagai aksi lagak ngeri.

Sedikit pun tidak nampak kekok, Ilia Iryani Shuib berjaya mengawal motosikal seberat hampir 100 kilogram tersebut sama seperti sedang bermain basikal.

Aksi-aksi lagak ngeri yang dinamakan sebagai Jet Ski, Chainsaw, Merry Go Round dan 12 O’Clock itu mudah sahaja dilakukannya.

Secara fizikal Ilia Iryani bukanlah seorang gadis kasar. Sukar untuk mempercayai bahawa seorang gadis bertudung dapat mempamerkan aksi yang jarang dilakukan wanita Melayu itu.

Biarpun motosikal kapcai mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding jentera berkuasa besar, baginya penggunaan motosikal daripada jenis tersebut memberi cabaran yang lebih besar.

“Melakukan aksi stunt dengan motosikal berkuasa kecil sebenarnya lebih sukar berbanding motosikal berkuasa besar.

“Motosikal biasa ini direka untuk pemanduan di jalan raya sahaja berbanding superbike yang digunakan untuk memandu laju dan dilengkapi ciri-ciri untuk aksi stunt,” terang gadis berbintang Scorpio ini.

Pada mulanya Ilia tidak begitu menggemari sukan tersebut, apatah lagi dia hanya mahir menunggang motosikal setelah berusia 22 tahun.

Namun, dia mula jatuh cinta dengan aktiviti lagak ngeri bermotosikal ketika menuntut dalam tahun satu di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

“Secara kebetulan saya menjadi ahli jawatankuasa penganjur pertandingan skuter dan ditugaskan untuk mendapatkan penajaan. Semasa mengunjungi pejabat syarikat motosikal RKM, saya telah ditawarkan untuk belajar melakukan lagak stunt itu.

“Sebenarnya saya agak takut kerana tidak pernah meminati bidang itu. Tetapi setelah mencuba, ia memang memberikan saya kepuasan,” ujarnya yang membeli sebuah skuter Yamaha Ego S sebaik sahaja memperoleh lesen B2 empat tahun lalu.

Dalam tempoh dua tahun melakukan latihan bersama RKM, pelbagai aksi lagak ngeri bersama motosikal kapcai menjadi mudah di tangannya.

AKSI Jet Ski yang dilakukan Ilia dalam filem Adnan Sempit 2.

GP Sepang

Ilia mengikuti latihan di bawah seorang jurulatih bertauliah apabila mempunyai kelapangan daripada jadual kelas. Latihan sejak tahun 2008 hingga 2009 itu telah mematangkan Ilia dalam bidang tersebut.

Sebagai seorang wanita bertudung yang menyertai sukan lasak seperti itu, Ilia pasti berdepan dengan cemuhan.

“Ada yang menggelarkan saya sebagai ‘rempit bertudung hina Muslimah’ selepas terlibat melakukan aksi stunt dalam filem Adnan Sempit 2.

“Tapi selagi saya tidak melanggar undang-undang mahupun batasan syariat, saya akan meneruskan minat saya ini,” katanya yang sering terjatuh ketika melakukan latihan.

Ilia pernah membuat persembahan aksi lagak ngeri bermotosikal semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Sepang pada tahun 2009.

“Ramai penonton luar negara tidak percaya bahawa wanita bertudung mampu melakukan aksi stunt motosikal,” ujar anak ketiga daripada enam adik-beradik ini.

Kini minatnya yang mendalam dalam sukan tersebut menambahkan lagi kecintaannya terhadap jentera itu.

Bagi gadis kelahiran Seri Kembangan, Selangor ini, menunggang motosikal merupakan pilihannya berbanding kereta.

“Banyak kelebihan menunggang motosikal. Saya tidak perlu bersesak-sesak dengan kenderaan lain semasa kesesakan lalu lintas. Jadi saya lebih suka menunggang motosikal untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana.

“Lagipun motosikal lebih mudah dikawal berbanding memandu kereta,” ujarnya yang kini berusaha mendapatkan lesen memandu kereta.

Biarpun hebat beraksi dengan jentera dua roda itu, Ilia tidak mahir mengenai selok-belok enjin kenderaan itu.

“Kalau motosikal saya rosak di tengah jalan, saya akan panggil mekanik sahaja. Saya tidak pandai membaiki motosikal, hanya tahu tunggang,” ujarnya sambil ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular