Khamis, 12 April 2012

Pertabalan Seri Paduka catat sejarah


Pertabalan Seri Paduka catat sejarah


2012/04/12


  • Foto
    TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah melafazkan ikrar sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
  • Foto
    Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 diiringi Najib di Istana Negara, semalam.
  • Foto
    PERTABALAN Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 21 September 1970 diiringi Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah titah rakyat agar tingkat usaha majukan negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Bukan saja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya,” titah baginda pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam.

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain adalah Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim ditabal Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 ketika berusia 42 tahun dan kini, empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Seri Paduka bertitah: “Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya.”

Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan rakyat. 
“Maka jadilah insan yang mulia sebagai mana dituntut agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, rakyat negara bukan saja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

“Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif dan serba mencabar. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati,” titah baginda.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan negara maju, aman dan harmoni.

“Perkukuhkan diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua.

“Kemajuan dari segi kebendaan saja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

“Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang sekian lama telah diamalkan,” titah baginda.

Baginda bertitah: “Sesungguhnya, setelah lebih empat dekad berlalu seperti dipertentukan oleh Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan beta pada kali dulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

“Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan baginda betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini