Selasa, 10 April 2012

Solatlah Wahai Anakku


Solatlah Wahai Anakku

baby

Lembutku kenang, kasihmu ibu, di dalam hatiku kini menanggung rindu, kau tabur kasih, seumur masa, bergema syahdu oh di dalam nadiku. 
Begitu syahdu bait lirik lagu yang dipetik daripada sebuah filem yang diadaptasikan dari sebuah novel karya penulis Tere Liye yang telah mencapai tahap"best seller" di negara jiran kita. Bukanlah tujuan saya untuk membuat promosi atau iklan untuk hasil seni orang lain. Apa yang ingin dikongsikan dalam ruangan kali ini ialah mesej yang dapat dirungkai daripada filem berkenaan iaitu kepentingan solat. Solat adalah tanggungjawab penting bagi setiap insan dan merupakan perkara pertama yang akan dihisab. Soalan yang berlegar-legar, apakah betul solat kita, apakah diterima oleh Allah? Semoga Allah menerima solat kita semua, Insya Allah, Amiin. 
Berbalik kepada topik asal, melatih anak- anak untuk memulakan solat seawal 5 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam  menyarankan kita melakukan tarbiah solat kepada anak dengan cara yang berhikmah. Anak yang telah sampai umur 7 tahun jika mumayyiz (tahu membezakan antara perkara baik dan buruk), disuruh atas dasar sunnah mendirikan solat.Jika mereka telah berumur 10 tahun, wajiblah diperintahkan mereka mendirikan solat. Dibolehkan untuk  memukul (dengan niat mendidik)  jika mereka enggan mendirikannya.
Berdasarkan pengalaman sendiri, cara pemaksaan dilihat tidak efektif kerana tiadanya nilai ikhlas menerusi modus operandi ini. Mereka mungkin akan melakukannya, tetapi dengan rasa marah dan tidak sabar. Kekangan masa kadang-kadang melalaikan kita untuk memantau amali solat yang dilakukan oleh anak-anak. Apa yang menarik, ada di kalangan anak-anak yang terbiasa melihat ibu bapanya solat, secara tiba-tiba akan menuruti gerak solat seperti mengangkat takbiratul ihram, rukuk atau sujud.
Adakalanya penulis tersenyum sendiri taktala mengingatkan bagaimana almarhumah bonda mengajar dan seterusnya menjelaskan bahawa solat itu kewajipan yang teramat penting. Penting untuk menjaga diri semasa dunia dan membantu diri di akhirat kelak. Analogi bahawa diri ini terdiri daripada elemen rohani (amalan) dan jasmani (fizikal/jasad) memerlukan makanannya setiap hari. Sekiranya tidak solat mahupun melakukan kebaikan, ternyata rohani dalam keadaan lemah. Berbanding jasmani yang beroleh makanan setiap hari melalui rutin makan minum, rohani memerlukan ketaatan dalam beribadah secara konsisten. Alhamdulillah, cara ini amat efektif buat diri penulis dan cuba diturunkan kepada anak-anak sendiri.


Berbalik kepada novel dan filem yang disebutkan di atas, secara peribadi, saya merumuskan mesej yang diketengahkan ialah solat adalah kewajipan yang mesti didahulukan, merentasi segala perkara. Justeru, pemahaman tentang semua elemen di dalam solat seperti rukunnya, bacaan, praktikal serta perkara berkaitan sah dan batalnya perlu diambil perhatian khusus. Kita biasa mendengar, solat tiang agama. Ya, ianya berdasarkan Hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang berbunyi:
"Solat itu ialah tiang agama, maka barang siapa yang mendirikannya maka sungguh dia telah menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya sungguh mereka telah meruntuhkan agama."
(Hadith Riwayat Bukhari daripada Umar Radiallahu 'Anhu).


Kepentingan Solat
Solat merupakan ibadat yang disyariatkan dalam Islam.
Allah berfirman dalam ayat 72, Surah Al-An'aam yang bermaksud: Dan (diperintahkan):
Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak). Ibadat solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di Akhirat nanti.
Analoginya, setelah menjalani peperiksaan penting, debaran menunggu keputusan pencapaian adalah satu saat yang mendebarkan. Begitu juga solat, apakah memenuhi skema yang diredhai Allah?Jadi, tidaklah pelik jikalau solat wajib dipupuk sejak kecil lagi, bukan ketika sudah mencapai usia akil baligh. Amat menyedihkan juga, jika kita lebih menitikberatkan pendidikan yang lebih bersifat duniawi. Sebagai ibubapa yang bijak, kita seharusnya tahu memastikan keseimbangan dunia dan akhirat buat anak-anak kita seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77  yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
Seterusnya, solat adalah penangkis terhadap segala anasir-anasir negatif yang boleh membawa kepada keburukan.
Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 45 yang bermaksud:
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".
Kesan solat yang sempurna dapat dilihat daripada ketenangan jiwa, sifat zuhud dan sabar dalam kehidupan harian. Mungkin kadangkala kita dapati ada orang yang masih melakukan maksiat dan perkara buruk walaupun taat dalam ibadat solatnya. Dalam konteks ini, memahami konsep solat secara mendalam yang membawa kepada kekusyukan dan tawaduk merupakan elemen penting yang perlu diutamakan. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tetapi lebih dari itu.
Solat yang berkesan menjadikan sesorang itu fokus dalam pengibadatannya dan segala apa yang berlaku di sekelilingnya tidak didengari. Ini kerana seluruh jiwanya dibulatkan untuk solat dan kesannya terlihat pada keluhuran peribadi seseorang itu.
Menerusi solat, pelbagai jati diri positif diterap seperti taat, sabar, ikhlas, muhasabah dan banyak lagi. Sifat taat seorang hamba terhadap perintah Penciptanya. Solat fardhu merupakan ibadah yang ditentukan waktunya bagi setiap seseorang yang mukallaf. Justeru, kita dapat melihat sesetengah orang mengingkari kewajipan solat tanpa alasan yang dibenarkan oleh Syar'ie.
Leka melakukan kerja-kerja rumah, menonton televisyen, berbual-bual kosong merupakan sebab-sebab biasa yang boleh kita perhati apabila seseorang itu sewenang-wenangnya mengingkari solat. Melewat-lewat atau meremehkan solat juga tidak digalakkan dalam Islam kerana sifat taat setiap hamba diuji di sini. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 238 yang bermaksud:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk".
Solatlah Wahai Anakku
Bekalan terbaik buat seorang Muslim setelah meninggalkan alam fana ini ialah amalnya. Dari Abu Hurairah Radiallah 'Anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda :
"Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya."(Hadith Riwayat Bukhari).
Doa pastinya datang dari segala ibadah terutamanya solat. Ayuh kita perbaiki diri sendiri, keluarga dan seterusnya menyebarkannya kepada masyarakat. Saya melihat kepentingan solat yang wajib kita terapkan kepada anak-anak kita. Semoga kita dijauhkan dari golongan yang rugi di sisi Allah, di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat kelak. ~Wallahu A'lam~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Terdapat ralat dalam alat ini