Logo Adik Wan Arif Ferdaus
SHAH ALAM - Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 8, beransur pulih selepas empat hari demam panas kesan tiga rawatan­ kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Ibunya, Zetty Ramli, 28, berkata, sebelum ini anaknya tidak boleh makan dengan sempurna kerana ulser mulut, tetapi selepas menerima rawatan dia semakin berselera dan bertenaga.
Menurutnya, Isnin depan, anaknya akan menjalani rawatan kimoterapi kali keempat.
Doktor menasihatkan supaya Wan Arif berehat dan makan ubat mengikut waktu yang telah ditetapkan.
“Selepas empat lagi kimoterapi selesai dijalankan, abang (Wan Arif) akan menjalani pembedahan kanser di kaki kirinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, setakat ini kesihatan Wan Arif stabil dan menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini sering murung kerana kesakitan yang dialaminya.
“Sekalung penghargaan kepada semua pihak sudi menghulurkan sumbangan­ pembedahan anak saya dan juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Sinar Harian yang banyak membantu memberi maklumat mengenai tahap kesihatan anak saya,” katanya.
Wan Arif Ferdaus yang menghidap kanser di kaki kiri tahap empat memerlukan pembedahan dengan segera bagi membolehkan dia meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Setakat ini, jumlah terkumpul meningkat kepada RM43,000. Keluarganya memerlukan RM80,000 untuk menampung kos pembedahan dan pemindahan tulang titaniumnya.