Sabtu, 11 Ogos 2012

Kisah Akhil Hayy...Akhil Hayy Tidak Mahu Artis ‘Berhijrah’ Jadi Mangsa Orang Politik


Ust Abdullah Hussin dan Ust Akhil Hayy di JB pada awal tahun 2010

Sejak semalam heboh diperkatakan Ust Akhil Hayy seronok menasihatkan sesetengah artis yang baru berhijrah agar jangan jadi bodoh macam dirinya dahulu. Memang dia tidak kata secara jelas begitu, tetapi sesiapa yang baca berita semalam memang maksudnya begitulah. Apalagi ditambah berita pada hari ini, mengatakan dahulunya dia dipergunakan sehingga tidak sedar mengutuk lagu Sejati nyanyian Awie. Apakah beliau tidak sedar ceramahnya ketika menyanyikan Sejati itu adalah untuk menuntut ROYALTI MINYAK rakyat kelantan. Itu hak rakyat Kelantan yang dinafikan dan kini Najib mula buka mata untuk melihat tuntutan royalti itu.

Laporan Mstar hari ini.



Lagu itu dinyanyikannya ketika berceramah sekitar tahun 2006-2007, tetapi ketika Najib sudah buka mata, Akhil Hayy pula sekarang berasa menyesal dan tidak akan sekali-kali dipergunakan lagi oleh sesetengah pihak berkepentingan. Tidakkah Akhil Hayy sedar siapakah pihak yang berkepentingan itu?. Bukankah tuntutan royalti itu demi kepentingan rakyat Kelantan?. Tetapi (mengikut laporan Mstar ini) kini Akhil sudah sedar dan tidak terus DIPERBODOHKAN oleh kepentingan rakyat ini...kasihan.

Selepas tahun 2007, Akhil mula mendapat perhatian di dalam dunia hiburan. Ada yang kata dunia hiburan mula melihat kemunculan Akhil Hayy ini kerana siri ceramahnya yang menarik kerana ada nyanyian merdunya. Maka semakin hari semakin kurang kemunculan Akhil Hayy di atas pentas-pentas ceramah PAS, kerana mendapat permintaan yang semakin tinggi di dalam dunia hiburan. Adakah PAS pernah mempertikaikan tindakannya yang kembali ke dunia hiburan?. Tidak pernah. Sehinggalah pada tahun 2010...

Tentu ramai yang masih ingat kisah peribadi Akhil Hayy pada tahun itu. Tidak perlu diceritakan semula kisah yang melibatkan Akhil Hayy-Maizura-Waheeda itu kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri sekarang. Tetapi apa yang hendak diimbas kembali, saat kontrovesi melanda Akhil Hayy, sahabat-sahabatnya di dalam PAS tidak pernah membuangnya. Begitu teruk Akhil Hayy dicemuh di dalam media (pada ketika itu), namun PAS Johor masih sudi memberinya ruang untuk berceramah. Apa kata PAS Johor apabila ditanya mengapa perlunya menjemput Akhil Hayy yang sedang dilanda kontroversi ketika itu?.


Kenyataan PAS Johor - 'Kenapa PAS Johor Bahru Panggil Akhil Hayy'


Maka akhirnya Akhil Hayy pun diberi ruang berceramah di Kg Kurnia, Kebun Teh dan digandingkan bersama Ust Abdullah Hussin yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Johor. Ust Abdullah ini difahamkan adalah sahabat lama Akhil Hayy dan menyokong agar Akhil Hayy dipanggil berceramah kerana hendak sangat bertemu mata dengan Akhil Hayy. Beliau juga ada banyak perkara yang hendak sampaikan dan berkongsi bersama memandangkan lama mereka tidak bergandingan.

Menariknya dalam ceramah malam itu, Akhil Hayy sendiri yang menceritakan kisah dirinya tanpa disuruh. Maka berceramahlah beliau bahawa isterinya Waheeda sudah berniqab tanpa disuruh dan berkata ini adalah hikmah dan kurnia Allah kepada beliau. Beliau juga berkata keluarga Waheeda ramai yang terdiri dari orang-orang Umno, malah bapa mertuanya sendiri adalah ketua cawangan Umno dan tidak berhalangan untuk Akhil Hayy terus berdakwah. (Tentu bapa mertuanya semakin sayang kepada Akhil Hayy kini).

Akhirnya semua orang tahu kesudahan kisah Akhil Hayy ini. Untungnya beliau ini tidak pernah dipandang buruk oleh ahli-ahli PAS kerana bagi ahli-ahli seumur hidup PAS, segala kenyataan yang memburuk-burukkan Akhil Hayy di dalam media arus pedana tidak boleh dipercayai. Ahli-ahli PAS percaya bahawa media yang memburuk-burukkan Akhil Hayy itu sebenarnya bukanlah sebab isu peribadinya, tetapi sebab Akhil Hayy ini adalah penceramah yang mesra PAS. Samalah seperti mana media-media arus perdana memburuk-burukkan tok guru mereka. Begitulah sucinya hati mereka ini, dan begitu tinggi sekali mereka meletakkan kekaguman yang hebat kepada Akhil Hayy.

Akhil Hayy ketika berceramah di Kebun Teh, Johor Bahru.

Akhil Hayy popular kerana lantang mengecam kerajaan pusat yang menafikan hak royalti minyak di Kelantan. Nyanyian lagu 'Royalti' yang diubah dari lagu Sejati menjadi siulan anak-anak muda Kelantan. Malangnya laporan akhbar semalam dan hari ini mengatakan Akhil Hayy menasihatkan kepada golongan artis yang baru berhijrah agar 'jangan jadi sepertinya dulu'. Jadilah seperti dirinya kini yang cerdik dan tidak lagi mudah diperbodohkan.

Apa kata-kata ahli seumur hidup PAS apabila saya tanyakan pandangan mereka kepada Akhil Hayy sekarang?. Mereka percaya itu hanyalah mainan media perdana yang memutarbelitkan kenyataan Akhil Hayy...

Untungnya Akhil Hayy...


Akhil Hayy Tidak Mahu Artis ‘Berhijrah’ Jadi Mangsa Orang Politik 
 

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Ustaz Akhil Hayy menasihati golongan artis yang baru berhijrah dan kembali mendekati agama Islam supaya berhati-hati agar tidak dipergunakan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, keadaan itu sering berlaku tanpa disedari bagi kebanyakan artis yang baru berhijrah di mana ia bermula dengan jemputan menghadiri sesebuah taklimat untuk berkongsi kisah perubahan diri masing-masing.
"Kalau saya cakap, pasti ada pihak yang marah nanti. Tetapi ia pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat.
"Lain pula jadinya apabila majlis taklimat yang dianjurkan itu akan berubah menjadi kempen menyerang mana-mana parti yang tidak disukai mereka.
"Memang digalakkan untuk berkongsi pengalaman hijrah kita kerana ia juga salah satu permulaan dakwah, tetapi kita mesti bijak menyampaikan kata-kata tanpa sebarang pengaruh daripada persekitaran yang mungkin menekankan isu-isu politik," katanya.
Akhil Hayy
Tambah Akhil, tidak salah sekiranya seseorang artis itu menyokong mana-mana parti politik sama ada Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS kerana ia adalah hak masing-masing.
Bagaimanapun, golongan artis yang berhijrah ini diminta untuk berhati-hati dan berfikirlah adakah motif penghijrahan itu untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang tercicir dahulu atau mahu memperjuangkan politik?
"Saya rasa, usahlah kita beria-ia berkempen tentang hal politik kerana itu bukanlah kepakaran kita.
"Walaupun Islam ada perjuangan politiknya, tetapi sebagai umat Islam yang kembali ke fitrah asal, biarlah kita mendalami ilmu agama terlebih dulu sebelum ingin berdakwah atau membetulkan kesalahan orang lain.
"Saya faham, apabila sudah berubah ke landasan yang betul, terdapat satu semangat dan ketenangan yang membuatkan seseorang itu begitu berkobar-kobar mahu berkongsi perasaan itu.
“Saya juga begitu, tetapi seperti yang saya katakan, dalami ilmu agama Islam itu secukup-cukupnya sebelum melangkah ke fasa lain pula," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular